Jumaat, 4 Februari 2011

Fatwa Anak Muda

Saya membaca kitab Al Fatwa Bainal Indhibath wat Tasayyub, karangan Prof Dr Yusuf Al Qaradhawi.Di sana, ada beberapa kritikan terhadap anak-anak muda yang gopoh dalam ber'fatwa' disamping tidak dinafikan semangat mereka terhadap Islam.Dengan itu, ada baiknya saya menaqalkan sebahagian daripada kalam beliau untuk manfaat kita bersama.

Telah berkata Prof Dr Yusuf Al Qaradhawi dalam muqaddimah kitabnya:

"Aku telah melihat sebahagian daripada anak muda yang (mempunyai kesedaran) beragama telah masuk dalam (jalur fatwa) yang sempit, kemudian mereka bercakap tentang agama Allah sedangkan mereka bukanlah ahli dalam bidang yang berisiko ini, sekiranya anda bertanya pada mereka tentang khas dan a'm, atau tentang (apa yang) diucapkan dan (apa yang) difahami, mereka tidak mengetahui sesuatu pun mengenainya (kecuali sedikit).Bahkan seandainya anda meminta mereka untuk meng i'rab jumlah atau syibh jumlah maka anda akan mendapati mereka (pemuda-pemuda tersebut)  kelu tidak terjawab akibat kebodohan yang memalukan."
Pada bab awal beliau mengulas kedudukan fatwa dan syarat-syaratnya, kemudian menyenaraikan sejumlah sikap-sikap generasi salaf dalam berfatwa.Berikut adalah sedutan daripada kisah-kisah mereka:

Ibnu Abi Laila telah berkata,"Aku mengenali 120 orang Ansar dalam kalangan sahabat Nabi SAW, apabila ditanya salah seorang daripada mereka mengenai sesuatu masalah, mereka akan meminta untuk dipindahkan soalan kepada sahabat yang lain, sehingga kembali kepada orang yang pertama.Tiada seorang pun dalam kalangan mereka apabila bercakap atau ditanya tentang sesuatu perkara, melainkan akan berasa lebih selesa dengan jawapan saudaranya yang lain.

Telah berkata Umar Al Khattab RA, "Mereka yang paling berani dalam berfatwa adalah yang paling berani (menghumbankan diri) ke neraka."

Telah berkata Ibnu Mas'ud,"Demi Allah, sesungguhnya barangsiapa yang memberi fatwa kepada manusia terhadap setiap (perkara) yang disoal keatasnya adalah orang gila."

Penghulu segala tabi'in dan yang paling faqih diantara mereka, Sa'id b Al Musayyib RH hampir tidak pernah berfatwa melainkan mengucapkan, "Ya Allah selamatkan aku dan selamatkan orang daripada (kekeliruan)ku.

Telah ditanya As Sya'bi tentang sesuatu masalah lalu dia menjawab,"Aku tidak tahu."

Berkata lelaki tersebut,"Adakah anda tidak malu mengatakan 'aku tidak tahu' sedangkan anda adalah yang paling faqih di Iraq?"

As Sya'bi lalu menjawab, "Malaikat juga tidak malu ketika berkata-Maha Suci Engkau (Ya Allah) kami tidak mempunyai pengetahuan melainkan apa yang telah Engkau ajarkan pada kami.

Ibnul Qasim berkata,"Aku telah mendengar Imam Malik RH berkata:Sesungguhnya aku benar-benar telah memikirkan suatu masalah sejak 10 tahun yang lalu, tiada satu pun pendapat yang benar-benar tepat (mengenai masalah itu) pada pandanganku hingga sekarang"

Ibnu Abi Hasan berkata,"Imam Malik telah disoal sebanyak 22 masalah, tiada yang dijawabnya melainkan 2 soalan sahaja, setelah berulang-ulang kali menyebut- لا حول ولا قوة إلا بالله

Para Khulafa' Ar-Rasyidin-yang dianugerahi kefahaman yang luas dalam ilmu agama- kebiasaaannya mengumpulkan para ulama dalam kalangan sahabat dan tokoh-tokohnya apabila menghadapi sesuatu masalah, lalu mereka bermesyuarat dan meminta pendapat antara satu sama lain.Bagaimana mereka tidak bersikap seperti itu sedangkan Nabi SAW sendiri kadang-kadang tidak memberikan jawapan sehingga ditanyakan kepada Malaikat Jibril terlebih dahulu.

Golongan salaf sangat mengingkari mereka yang terjun dalam bidang fatwa sedangkan mereka tidak mempunyai keahlian tentangnya.Demikian itu, ia dianggap kerosakan dalam Islam bahkan kemungkaran yang besar dan wajib untuk dicegah.Nabi SAW bersabda, maksudnya:

"Barangsiapa yang diberikan fatwa tanpa berdasarkan ilmu, maka dosanya ditanggung oleh orang yang memberi fatwa kepadanya."(Riwayat Imam Ahmad)

Syeikh Yusuf Al Qaradhawi kemudian mengulas,"Bagaimanalah tanggapan mereka (ulama-ulama salaf) pada sebahagian pemuda-pemuda yang memberi fatwa dalam perkara yang berisiko, dengan mudah dan penuh kenaifan, seperti ucapan mereka mengkafirkan individu-individu dan kelompok-kelompok tertentu, pengharaman kepada pengikut-pengikut mereka untuk menghadiri jemaah dan solat-solat Jumaat, atau ucapan selainnya (seperti) menggugurkan kewajipan berjihad sehingga tertegaknya Daulah Quraniyah dan Khilafah Islamiyah."

"Sedangkan kebanyakan daripada mereka (pemuda-pemuda tersebut) bukanlah 'ahli zikir' dalam ilmu syariah, tidak pula bersungguh-sungguh untuk duduk (di sisi) ahli zikir dan mengambil ilmu daripada mereka sehingga tamat.Pengetahuan mereka hanya diperoleh melalui bacaan pantas daripada kitab-kitab masa kini.Adapun, jarak antara sumber-sumber asal (daripada kitab tersebut) dan pembacaaannya, terdapat beratus-ratus tabir, sekiranya mereka membaca (sumber-sumber asal kitab tersebut) tidaklah mereka memahaminya kerana tidak memiliki kunci-kunci tertentu dalam memahaminya dan mencernanya."

"Maka, setiap ilmu baginya bahasa dan istilah-istilah, yang tidak difahami melainkan ahli-ahlinya yang khusus dalam bidang tersebut.Sebagaimana jurutera dan doktor tidak mampu untuk membaca buku-buku perundangan tanpa bimbingan guru, dan ahli-ahli hukum juga tidak mampu membaca buku-buku kejuruteraan (sepertimana yang sepatutnya), demikianlah seseorang tidak akan mampu untuk menekuni kitab-kitab syariah tanpa dibimbing oleh seorang yang ahli dalam bidang syariah."-Tamat-

Wallahua'lam


2 ulasan:

  1. salam haji, mohon share yer.

    BalasPadam
  2. silakan...smoga sama2 mndpt mnfaat

    BalasPadam