Jumaat, 11 Februari 2011

Cinta Nabi

 
Mendengar khabar kematian seorang ulama Jordan, Syeikh Fadhl Hasan Abbas.Saya dan beberapa orang sahabat sempat bertalaqqi dengan beliau beberapa hari sebelum kembalinya ke rahmatullah.Pada hari tersebut, Syeikh Fadhl Hasan Abbas memberitahu hasrat beliau untuk menunaikan umrah dan ziarah ke Madinah.

Seorang Pak Cik Arab mencelah,"Syeikh nak sambut Maulidur Rasul di Saudi,"dengan nada sinis.

Ulama-ulama Arab Saudi terkenal dengan pendapat mereka yang melarang sambutan Maulidur Rasul.Syeikh Fadhl Hasan Abbas tersenyum tanpa memberi sebarang komen mengenainya.Begitulah sikap kebanyakan ulama, ucapan mereka ringkas tidak dibuat-buat, mendatangkan kesan bagi yang mendengar, sedang diam mereka adalah insipirasi bagi yang menatap.

Semoga Allah SWT merahmati beliau dan ditempatkan bersama para solihin.-Tamat-

Kisah Cinta Nabi

Suatu hari, seorang lelaki telah datang berjumpa Nabi SAW lalu bertanya, "Bilakah saat (kiamat) itu?"

Maka Nabi SAW pun berkata, "Apakah yang telah kamu sediakan untuk menghadapinya?"

Lelaki tersebut berkata, "Aku tidaklah menyediakan bekalan amalan yang banyak melainkan aku sangat mencintai Allah dan RasulNya.

Lantas Nabi SAW bersabda, "Seseorang itu bersama orang yang dicintai pada hari kiamat"(Riwayat Bukhari & Muslim)

Saiyidina Anas b Malik RA yang meriwayatkan hadis ini berkata, "Tiadalah suatu perkara yang lebih menggembirakan hati kami melainkan setelah mendengar hadis ini.Aku mencintai Rasulullah SAW, Abu Bakar dan Umar, maka aku sangat berharap agar Allah menghimpunkan aku bersama mereka walaupun amalan aku tidaklah setanding amalan mereka.

Marilah kita bertanya pada diri, siapakah manusia yang bertakhta di hati ketika ini?Jika jawapannya orang politik pelupa akhirat, seniman tak kenal batas adat, ahli agama yang sesat atau jelitawan tak tutup aurat, anda mungkin berada dalam zon bahaya.Kecintaan anda pada mereka akan menjadi penyesalan yang tiada kesudahan di akhirat kelak.

Maulidur Rasul

Beberapa hari lagi umat Islam akan menyambut Maulidur Rasul.Ulama bersepakat bahawa Nabi Muhammad SAW lahir pada hari Isnin.Adapun tarikhnya diperselisihkan.Saya berlepas diri daripada membincangkannya di ruang sempit ini.Namun,harus ditegaskan bahawa mencintai Nabi SAW bukanlah bersifat musiman.Tidak sama sekali!

Cukuplah kisah batang pohon kurma menangis kerana berjauhan dengan Nabi SAW, menginsafkan kita.Batang tubuh kita tidak pernah disentuh kulit Nabi SAW yang mulia, jarak geografi kita juga lebih jauh daripada batang pohon kurma yang hanya dipisahkan beberapa depa dari Nabi SAW, dan zaman kita juga dipisahkan ribuan tahun daripada Baginda SAW.Alangkah indahnya hidup ini jika dapat menatap wajah Baginda SAW walau hanya sekali, walau dalam mimpi...

Wallahua'lam

1 ulasan: