Memaparkan catatan dengan label Tazkirah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tazkirah. Papar semua catatan

Jumaat, 19 Ogos 2011

Tazkirah Ramadhan 2

Ketika masih kanak-kanak, guru-guru di madrasah sering menceritakan kisah-kisah ganjil lalu disandarkan kepada Lailatul Qadr.Pokok sujud, air berubah menjadi beku, sungai berhenti mengalir dan lain-lain.Sekalipun kisah-kisah tersebut berselisih dengan akal, tapi ditelan juga dengan penuh rendah hati kerana yang menceritakan itu ustaz & ustazah.

Semakin usia meningkat, kefahaman juga bertambah hasil daripada ilmu & maklumat yang diterima.Demikianlah ilmu membuahkan yakin, menegapkan jiwa, meninggalkan manis di dada-dada penuntutnya.Tidak sedikit dalam kalangan kita yang merombak kebiasaan adat kepada ketulenan syariat justeru kerana keyakinan terhadap ilmu yang dipelajari.
Pokok Sujud

Firman Allah SWT, bermaksud:

"Tidakkah engkau mengetahui bahawa segala yang ada di langit dan di bumi tunduk sujud kepada Allah dan (di antaranya termasuklah) matahari dan bulan, dan bintang-bintang, dan gunung-ganang, dan pokok-pokok kayu, dan binatang-binatang, serta sebahagian besar dari manusia?..."(Surah Al-Haj:18)

"Dan bintang (di langit) serta pokok kayu-kayan, masing-masing sujud (tunduk menurut peraturanNya)."(Surah Ar Rahman: 6)
gambar hiasan

Malam Al-Qadr Lebih Baik daripada 1000 Bulan

Membaca kitab Fathul Bari, karangan Imam Ibnu Hajar Al-A'sqalani.Beliau menakalkan hampir 45 pendapat-pendapat ulama mengenai tarikh Malam al-Qadr.Kepelbagaian pendapat mengenainya menunjukkan ianya suatu yang tersembunyi & tidak diketahui melainkan Allah SWT.

Adapun, Imam An-Nawawi RH membantah pendapat tersebut lalu berkata, "Telah jelas hadis-hadis yang menunjukkan kemungkinan diketahui (tarikh Malam Al-Qadr), dan telah dikhabarkan melalui sebilangan besar para solihin, maka tiada makna barangsiapa yang mengingkarinya."

Ringkasnya, malam Al-Qadr adalah malam yang diturunkan Al-Quran & fadhilatnya lebih baik daripada 1000 bulan.FirmanNYA yang bermaksud:

"Malam Al-Qadr lebih baik daripada 1000 bulan"(Surah Al-Qadr: 3)
 
Surah Al-Qadr diletakkan selepas Surah Al-A'laq dalam mushaf Al-Quran.Umum mengetahui, 5 ayat awal dari Surah Al-Alaq merupakan wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW.Didalamnya, terdapat perintah supaya membaca...maka sebaik-baik bacaan adalah Al-Quran Al-Karim.

Maka, wajar sahaja Allah SWT menyebut kemuliaan malam penurunan (nuzul) Al-Quran, iaitu malam Al-Qadr, sesuai ianya sebagai Kalam Allah yang bermu'jizat lagi mulia.

Syed Qutb dalam Tafsir fi Zilal Al-Quran berkata, "Dan bilangan (seribu) tidak memberi erti keterbatasan (sekadar seribu)...akan tetapi ia menunjukkan bilangan yang banyak (tidak terbilang)..."  

Membaca Al-Quran, menghayati isi kandungannya dan mempraktikkan Al-Quran di dalam kehidupan merupakan kewajipan setiap manusia.Justeru, penurunan Al-Quran yang terkandung didalamnya sekalian kehendak manusia (merangkumi aqidah, ibadah, muamalah dan lain-lain) bukan sahaja lebih baik daripada 1000 bulan, bahkan lebih daripada itu.

Kesimpulan
 
Merujuk kepada kitab Fathul Bari, karangan Imam Ibnu Hajar Al-A'sqalani, dapatlah diketahui bahawa sebilangan besar daripada sahabat, tabi'in & golongon solihin lebih cenderung menyatakan malam Al-Qadr berlaku pada 10 malam terakhir dalam bulan Ramadhan.Diriwayatkan bahawa Nabi SAW mempergiatkan ibadah dengan menghidupkan malam-malam tersebut dengan solat sunat & iktikaf.

Bulan Ramadhan adalah bulan penyucian jiwa.Adapun Lailatul Qadr merupakan anugerah Allah SWT kepada para hambaNYA yang bertuah.Ia datang dihujung-hujung bulan Ramadhan dengan harapan 20 hari yang pertama telah mencukupi bagi insan menyiapkan diri menerima kunjungan suci tersebut.

Demikianlah kebiasaan tetamu kehormat ketika tiba di sesebuah kawasan.Sekian ramai mendambakan kunjungannya, namun bukanlah semua orang disapanya...hanya yang terpilih, sudah tentu yang paling dikasihinya!Ya Allah, golongkanlah kami dalam kalangan mereka....

Saiyidatina Ai'syah RA bertanya kepada Nabi SAW, "Wahai Rasulullah, apakah pandangan tuan sekiranya aku dapat mengetahui Lailatul Qadr, apakah yang harus aku katakan ketika itu?"

Nabi SAW bersabda, "Katakanlah...

 اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ كَرِيمٌ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي 

"Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, suka mengampuni maka ampunilah aku."(Riwayat At-Tirmizi, An-Nasa'i & Ibnu Majah)

Wallahua'lam

Sabtu, 6 Ogos 2011

Tazkirah Ramadhan 1

Seruan mengajak manusia supaya bertaqwa diulang-ulang sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu pada hari Jumaat.Sekian banyak isi kandung bumi ini, luas lagi langit & cakerawala, pesan taqwa juga yang menjadi inti penting perhimpunan mingguan umat Islam.Bahkan menjadi matlamat utama setiap peribadatan dalam Islam supaya umatnya mencapai maqam taqwa.Firman Allah SWT bermaksud:

"Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan mereka yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (tergolong dikalangan hamba-hambaKU) yang bertaqwa."(Surah Al Baqarah:21)

Menghirup udara Ramadhan, berpuasa didalamnya, harus fokus matlamat, bukan sekadar berlapar dan berdahaga...taqwa! 

"Wahai mereka yang beriman, diwajibkan kepada kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas mereka (yang telah datang) sebelum kamu supaya kamu bertaqwa"

Taqwa itu lebih tinggi nilainya daripada daging dan darah haiwan yang kamu korbankan...

"Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal (yang ikhlas berdasarkan) taqwa dari kamu"(Surah Al-Haj:37)

Apatahlagi Al-Quran merakamkan kata-kata Habil, anak Nabi Adam AS, yang menyebabkan sempit dada golongan salaf:

“Hanyasanya Allah menerima (amalan) dari orang-orang yang bertaqwa" (Surah Al-Maidah:27)

Pengertian taqwa banyak dinaqalkan daripada kalam para sahabat Radhiyallahu A'nhum & para ulama.Walaubagaimanapun, definisi taqwa dapat diringkaskan kepada maksud-melaksanakan segala perintah Allah & meninggalkan segala laranganNYA.

Ayuh kita bermuhasabah, sudahkah kita mencapai kehendak taqwa?Berapa ramai dalam kalangan manusia yang berat melaksanakan perintah Allah SWT, ringan pula melanggar perintahNYA...

اللهم أعني على ذكرك وشكرك وحسن عبادتك
"Ya Allah, bantulah kami pada jalan mengingatiMU, bersyukur atas nikmat-nikmatMU, dan keelokan dalam beribadat..."

Bersambung, insyaAllah

Wallahua'lam
 

Rabu, 25 Mei 2011

Kalau Sudah Meminjam...

Saya mulakan penulisan ini dengan mengajak pembaca sekalian, marilah kita 'beriman' sejenak...tinggalkan segala pemikiran kotor anda yang gelap pekat dengan hawa nafsu.Semoga Allah melapangkan dada dan menyucikan qolbu kita agar mudah menangkap cahaya kebenaran.Amin.

Segala yang ada pada diri kita hari ini hanyalah pinjaman.Tangan yang menulis, mata yang memerhati, kaki yang berjalan, telinga yang mendengar, masa yang berdetik dan segalanya, yang tidak akan selesai dihitung, kelak disoal oleh Allah SWT di padang Mahsyar.FirmanNYA:

"Kemudian, kamu pasti akan ditanya pada hari tersebut tentang segala nikmat (yang telah kamu kecapi)"(Surah At-Takathur:8)

Maka, adat orang yang meminjam itu berhutang budi dengan si pemberi pinjam.Dijaga benar barang yang dipinjam dengan teliti, tidak dirosakkan, apatahlagi menyalahgunakan pada kemurkaan tuan pemilik barang.Adakalanya resah si peminjam dengan barang yang dipinjamnya, sekalipun dia amat memerlukan.

"Selesai urusan ini cepat-cepat ingin dipulang pada Si Fulan (tuan pemilik barang),"tegas dalam hati.

Bagaimana pula urusannya dengan Allah?Tidakkah sepatutnya kita lebih cermat???Bukankah semua yang dipinjamkan pada kita itu lebih bernilai daripada emas dan berlian?Silakan gadai sebelah anggota anda dengan seuncang emas...aduh, mahalnya pemberian Tuhan walau sebiji mata!
Mintalah 'fatwa' dari fitrah nurani anda atas apa yang telah dilakukan!Jawapannya ada pada kita...samaada kita suka atau tidak!Berbohonglah dengan 1000 manusia, anda tidak mampu berbohong dengan diri sendiri.

Mohonlah keampunan daripada Allah SWT dan kemaafan daripada manusia sekiranya telah terlanjur menyalahgunakan nikmat kurniaan yang dipinjamkan, sesungguhnya DIA lah Yang Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang... 

Penutup 

Hidup tidak lama, usia yang meningkat menandakan 'peruntukan' makin berkurang...silap percaturan, muflis besar kita di akhirat nanti.Maka, saya berpesan dengan sebaik-baik pesanan...bertakwalah kepada Allah!

"Dan hendaklah kamu membawa bekal (dengan cukupnya) kerana sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu ialah taqwa (melaksanakan segala perintahNYA dan meninggalkan laranganNYA)..."(Surah Al Baqarah:197)

Wallahua'lam
_______________________________
*Tak puas hati dengan media massa dan media cetak kerana menyiarkan khabar-khabar yang tidak patut disiar.Lebih malang, sebahagian khabar-khabar penting tidak pula disebarkan sebagaimana selayaknya.

*Orang yang belajar agama (kurang setuju istilah agamawan kerana tiada istilah agamawan dalam Islam, kata Dr. Sultan U'kaylah) jangan tiru perangai macam itu.





Jumaat, 15 April 2011

Jangan Buang Masa

Sama ada suka atau tidak, setiap detik manusia menghampiri ajalnya.Disaat mereka bergelak ketawa, kain kapan sedang ditenun untuk mereka, buat pakaian berjumpa Tuhan.Ajal tidak pernah mensyaratkan sakit ataupun tua.

Justeru,tidak keterlaluan sekiranya kita berkata bahawa mereka yang mengingati mati itu adalah golongan cerdik.Wawasan mereka lebih jauh melangkaui wawasan sejengkal ciptaan manusia.

Oleh yang demikian, tiadalah hari-hari yang dilalui manusia melainkan untuk bekalan akhirat.Sama sekali tiada masa untuk melakukan perkara sia-sia, apatahlagi berbuat dosa.Hidup kita terlalu singkat untuk mencari-cari keburukan orang, sedangkan diri kita masih banyak kekurangan.

Imam Syafie RH berkata, "Dunia itu sesaat, maka gunakanlah ia pada jalan taat"
Renungan Sebentar

Marilah meluangkan masa ke kedai-kedai buku, atau perpustakaan.Carilah buku-buku yang meriwayatkan kisah-kisah hidup tokoh yang hebat sepanjang ketamadunan manusia.Anda akan dapati, manusia akan membacanya dalam tempoh yang sangat singkat.Andaikan sahaja setahun tempoh maksimumnya...

Demikianlah singkatnya hakikat hidup manusia, mungkin tidak lebih setahun.

"(Sangatlah dahsyatnya huru-hara hari itu, sehingga orang-orang yang bersalah merasa) pada masa melihatnya, seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu petang atau paginya sahaja."(Surah An-Nazia't:46)

Rugilah sekiranya amal-amal yang dilakukan kerana mengharap sesuatu daripada manusia.Maka, Surah Al-A'sr awal-awal lagi berpesan dengan kepentingan iman, supaya manusia tidak jatuh ke lembah syirik  sama ada besar atau kecil (riya'):

"Sesungguhnya manusia itu pasti dalam kerugian.Melainkan golongan yang beriman dan beramal soleh..." (Surah Al-A'sr:2-3) 

Dunia Tempat Bersusah-Payah

Berakit-rakit ke hulu,
Berenang-renang ke tepian,
Bersakit-sakit dahulu,
Bersenang-senang kemudian.

Menyelak kisah kesungguhan ulama zaman silam menuntut ilmu menyebabkan kita rendah diri dan malu.Kemajuan zaman ini dalam bidang teknologi, bahkan dunia yang semakin sempit dengan kemudahan komunikasi dan kenderaan pantas masih belum mampu menandingi ketinggian ilmu mereka.

1.Al-Mua'fi b. Zakaria berkata, "Aku berjumpa Ibnu Thabari RH beberapa jam sebelum kewafatannya.Maka ketika disebut dihadapannya doa Jaafar As-Sodiq RH, beliau dengan segera meminta pena dan kertas lalu menulisnya.

Aku berkata padanya, "Adakah kamu sedang menulis ketika dalam keadaan (tenat) seperti ini?"

Ibnu Jarir At-Thabari menjawab, "Seharusnya manusia tidak meninggalkan kewajipan menuntut ilmu sehingga sampai detik kematian."

2.Ibnu A'qil Al-Baghdadi berkata, "Sesungguhnya aku tidak menghalalkan sedetik dari umurku untuk dicuaikan sekalipun lidahku kelu untuk meneruskan hafalan dan mataku penat menatapi patah tulisan, aku akan berusaha menggerakkan fikiranku dengan memikirkan sesuatu permasalahan, aku tidak akan berasa lega dan berpuas hati melainkan setelah aku mendapati jalan penyelesaiannya.

3.Imam Fakhruddin Ar-Razi berkata, "Demi Allah, sesungguhnya aku benar-benar menyesal kerana tidak dapat menyibukkan diri dengan ilmu pada waktu makan.Sesungguhnya masa itu adalah sesuatu yang sangat agung.

4.Imam Al-Haramain diceritakan tidak memperuntukkan masa makan dan tidur dalam hidupnya.Beliau makan ketika benar-benar lapar, tidak tidur sehingga benar-benar mengantuk.

5.Bahkan umur-umur ulama seperti Imam Nawawi, 45 tahun, Imam Al-Ghazali, 53 tahun dan Hasan Al-Banna, 43 tahun, sangatlah singkat berbanding jasa yang disumbangkan kepada dunia Islam.

Benarlah bahawa ilmu itu milik bagi mereka yang bersusah-payah mencarinya.

Allah Maha Agung, mengatur hidup manusia dengan penuh hikmah.Ketika keangkuhan Husni Mubarak dijatuhkan oleh himpunan rakyat, baru-baru ini, nama Hasan Al-Banna disebut-sebut sempena tarikh kesyahidannya...nafas dakwahnya masih panjang sekalipun jasad dikandung tanah.

#Rujukan: Qiimatuz Zaman I'ndal Ulama', Abdul Fattah Abu Ghuddah.
Penutup

Umat Islam akhir zaman telah menzalimi diri mereka dengan mencuaikan masa & umur yang dikurniakan Allah SWT.Mereka bukanlah pengejar dunia yang berjaya, bukan juga penuntut akhirat yang taat beribadat.Akibatnya, mereka menanggung kemunduran yang memalukan.Menjadi tanggungjawab bagi semua umat Islam, beriltizam dengan agama, memanfaatkan masa dan umur buat hari esok yang pasti tiba.

"Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan hendaklah setiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat)..."(Surah Al-Hasyr:18)

15 April 2011, 19 tahun.

Wallahua'lam

Rabu, 6 April 2011

Belajar dengan Alam

Rasulullah saw. bersabda, "Perumpamaan orang beriman itu bagaikan lebah...
 
"Ia makan yang bersih mengeluarkan sesuatu yang bersih, hinggap di tempat yang bersih dan tidak merosak atau mematahkan (yang dihinggapinya)"(Al-Hakim)
 
Jangan jadi seperti lalat...suka hinggap di tempat-tempat kotor.
Jaga diri kita:

1)Jangan suka cari keburukan orang.
2)Jangan suka mencari & berhimpun di tempat-tempat keji.

Suka mencari keburukan orang dan suka 'hinggap' ditempat-tempat/laman-laman web 'kotor' merupakan perangai lalat...

Tirulah budaya kerja semut...disiplin dan kuat semangat, walaupun tubuhnya kecil.
Kalau semut mampu berbicara mungkin kita akan mendengar ia berkata,"Aduh, malasnya manusia...curi tulang."

Ulangkaji Kita Untuk Hari Ini

Ambil sekeping kertas dan sebatang pen, lihat gambar dibawah.Renung dengan sedalam-dalamnya...










Dalam masa 5 minit senaraikan manfaat haiwan ini kepada manusia keseluruhannya...Jika sudah selesai lihat gambar dibawah, dan anggaplah ia gambar anda.

Dalam masa 5 minit, senaraikan manfaat anda kepada manusia keseluruhannya...Kemudian bandingkan, manakah yang lebih banyak manfaatnya kepada orang ramai.Anda atau lembu?Selamat mencuba.

Wallahua'lam

Ahad, 20 Mac 2011

Nota Ringkas Untuk Diri

Islam adalah agama fitrah yang bersumberkan Al Quran dan Sunnah Nabi SAW.Risalahnya datang bukanlah me'rupa-paras'kan manusia kepada malaikat.Manusia adalah manusia, unsurnya tanah dan roh, dikurniakan akal dan nafsu.Allah SWT berfirman dalam Al Quran:

"Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak..."(Surah Ali Imran:14)

Nabi SAW bersabda:

"Setiap anak Adam melakukan kesilapan, dan sebaik-baik mereka yang melakukan kesilapan adalah yang bertaubat"(Riwayat Tirmizi)

Manusia diciptakan Allah SWT dalam keadaan lemah.Mereka tiada upaya membezakan hak dan batil, lemah menolak kemungkaran dan melaksanakan ketaatan (sekalipun mampu).Lalu agama ini mensyariatkan solat, didalamnya mereka memohon jalan yang lurus...
"Tunjukilah kami jalan yang lurus."(Surah Al Fatihah:6)

Ya, berpegang teguhlah pada jalan ini!!!Tiada jalan lain yang akan membawa kamu bahagia melainkan jalan yang telah ditempuh para Nabi, siddiqin, syuhada' dan solihin.
 
Namun begitu, jalan yang lurus itu kadangkala sempit, sehingga sukar untuk berpijak diatasnya...adakalanya luas sehingga manusia berbolak balik kekiri dan kanan.Istilah 'istiqamah' yang disebut-sebut bukanlah mudah seperti yang disangka.

Mujurlah, setelah diperintahkan supaya istiqamah, lalu Allah SWT membuka pintu keampunan dan meminta hambaNYA supaya beristighfar:

"Maka hendaklah kamu tetap teguh di atas jalan yang betul, serta pohonlah kepadaNya keampunan (atas dosa-dosa kamu yang telah lalu)"(Surah Fussilat:6)

Sejijik manapun insan, mereka masih mengharapkan belas kasihan daripada Tuhan.Dipasak kuat dalam hati bahawa "Rahmat Allah jauh lebih luas daripada kemurkaanNYA".Bersangka baik manusia terhadap Tuhan, maka ketahuilah sangka baik itu tidak sia-sia...

"Aku diatas sangka baik hambaKU keatasku..."(Riwayat Bukhari & Muslim)

Imam Al-Ghazali RH berkata:

"Ketahuilah, sesungguhnya 'teman' yang tidak akan berpisah dengan anda, pada setiap pertemuan dan permusafiran, dalam tidur dan bangun, bahkan pada hidup dan mati kamu...adalah Allah."(Bidayatul Hidayah)

Wallahua'lam

Selasa, 22 Februari 2011

Amanah Diri

'Beruzlah' seketika daripada menulis sesuatu di dalam blog ini.Banyak isu yang sengaja ditinggalkan sepanjang hampir 10 hari.Biarlah...semua itu lebih melapangkan dada dan menenangkan jiwa.

Menulis tidak terlepas daripada ikatan dosa dan pahala.Betapa ramai manusia yang menulis sesuatu dalam majalah, akhbar mahupun blog, tanpa pertimbangan agama, menyiakan-nyiakan hidupnya dan mereka yang membacanya.Dihabiskan tenaga dan masa pada perkara yang tiada faedah.

Tiada nilai nasihat, ilmu mahupun keimanan yang disajikan bagi mereka yang membacanya/melayarinya.Anehnya, ramai pula manusia yang berhimpun dan menanti-nantikan 'hidangan' yang akan meracuni suluk mereka.

"Bahkan hati mereka tenggelam di dalam kejahilan, lalai daripada (memahami ajaran Al-Quran) ini, dan mereka pula mempunyai lagi amal-amal (yang jahat) selain dari itu, yang mereka terus-menerus mengerjakannya"(Surah Al Mukminun:63)

Berpagi-pagi mereka dengan liat beribadah berpetang-petang pula dalam kelalaian.

Jangan disangka rumah yang besar dan mewah menjamin ketenangan penghuninya.Ahli falsafah berkata,"Sempitnya sesebuah kota bukanlah kerana banyaknya bilangan bangunan, hakikatnya sempit sesebuah kota kerana buruk akhlak penduduknya."

Berhati-hatilah jika berkawan dengan mereka yang buruk akhlak.Ketika anda melaksanakan ketaatan, anda riak, ketika terjatuh dalam lopak dosa, anda berasa tenang.Orang mukmin melihat dosa umpama gunung yang akan menghempap mereka sedangkan orang munafiq menganggap dosa umpama lalat yang menghinggap di hidung lalu pergi.

Usah dilihat kecil atau besar dosa, tapi lihatlah pada siapa kamu melakukan dosa.Tiadalah yang dinamakan kekasih melainkan dia melihat besar jasa kekasihnya pada pemberian yang sedikit, dan menganggap kecurangan besar pada kesalahan kecil yang dilakukan.

"Sedang orang-orang yang beriman itu bersangatan cinta (taat) kepada Allah"(Surah Al Baqarah:165)

Ya Allah, saksikanlah.Bukankah aku telah menyampaikan...

Wallahua'lam

Rabu, 29 Disember 2010

Selamat Tinggal 2010

Hidup manusia adalah suatu perjalanan.Kita meniti suatu permusafiran yang panjang dan melalui stesen-stesen yang pelbagai dalam kehidupan.Tahun berganti tahun, bulan bersilih bulan dan hari bertemu hari.....manusia sudah makin jauh meninggalkan usia mudanya.

Si anak kecil yang dahulunya diazankan ketika lahir, kini menjadi sang tua yang disolatkan untuk jenazahnya.Buya Hamka berkata, "Disaat anda hadir ke dunia (dilahirkan), manusia disekeliling bergembira disaat anda menangis, tiba suatu masa manusia menangis ketika anda meninggalkan mereka sedang anda bergembira di dunia sana."

Manusia makin jauh meninggalkan usianya, tetapi kita lebih mengetahui dekat dan jauhnya kita di sisi Allah SWT.Tiliklah pada diri, mana letaknya Allah di hati?Demikianlah kedudukan anda di sisi Allah.Ketahuilah firman Allah SWT yang bermaksud:

Dan Kami (Allah) lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya(Surah Qaf :16)

Hidup manusia itu 2 kali dan matinya juga 2 kali.

Mereka menjawab: “Wahai Tuhan kami! Engkau telah mematikan kami dua kali, dan telah menghidupkan (pula) kami dua kali,(Surah Ghafir :11)

Jangan sangka manusia yang hidup di sisi anda itu sama hidupnya mereka di sisi Allah.Berapa ramai manusia yang hidup itu, di sisi Allah mereka itu mati.Sedang manusia yang mati itu dinilai disisi Allah sebagai hidup.

Dan tidaklah sama mereka yang hidup dengan mereka yang mati. Sesungguhnya Allah, dapat menjadikan sesiapa yang dikehendakinya mendengar (ajaran-ajaran Kitab Allah), dan (engkau wahai Muhammad) tidak dapat menjadikan orang-orang yang di dalam kubur mendengar .(Surah Fatir:22)

Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki;(Surah Ali Imran:169)

Sepanjang perjalanan hidup, manusia menghadapi kesukaran dan kesusahan yang menyempitkan dada dan menyesakkan nafas.Demikianlah pendidikan Allah kepada manusia agar mereka merasai kepahitan dunia lantas mengejar kemanisan akhirat.Pejuang-pejuang Islam, mereka mencintai mati lebih daripada hidup.Kematian di bawah silauan pedang ternyata lebih disukai berbanding mati di atas tilam empuk.
Sayyid Qutb (semoga Allah merahmati beliau) mati ditali gantung kerana mempertahankan agama.Umat Islam mendapat manfaat besar daripada karya-karyanya.Beliau mati di mata zahir tetapi hidup di hati-hati manusia.Jasadnya dikandung tanah sedang namanya disebut-sebut manusia seolah-olah beliau berada di sekeliling kita.Tidak sedikit daripada pencinta agama yang menyebut kitab Sayyid Qutb, Tafsir Fi Zilalil Quran 'hidup' dengan darah 'syahid' pengarangnya.Mungkin inilah ertinya 'panjang umur'...

Dalam masa yang sama, berapa ramai manusia yang hidup tetapi hidupnya tidak ubah seperti bangkai.Hidupnya sia-sia, manusia tidak mendapat manfaat akan kehadirannya dan tidak terkesan pula akan kehilangannya.Nasihat yang diberi langsung tidak mengetuk hatinya untuk berubah.Hatinya kosong seperti rumah usang,kotor dan menjijikkan.Bukankah itu yang dinamakan bangkai bernyawa?

Kita berlepas diri daripada menerima 'kematian' sebelum datang kematian.

Tahun 2010 akan meninggalkan kita...saya menyeru pada diri saya dan anda semua marilah kita memperbaharui iman kita dengan membanyakkan menyebut kalimah    
 لا إله إلا الله
sepertimana yang dianjurkan oleh Nabi SWT kepada kita.Memperbaharui iman bukanlah bersempena tahun 2011 yang akan tiba dalam beberapa hari lagi, bahkan ia dituntut sepanjang masa.

Semoga kita dirahmati Allah SWT dalam kehidupan, dikurniakan taufiq dan hidayah, dimatikan dan dikumpulkan bersama golongan para solihin.Selamat tinggal 2010, ahlan wasahlan 2011.

Wallahua'lam


Ahad, 28 November 2010

Azan Mesej yang Dilupai

Umum mengetahui azan sebagai suatu method untuk menyeru manusia mendirikan solat.Gemanya berjalan serata bumi, setiap saat dan ketika menghidupkan hati-hati manusia beriman.

Tidak berhenti di situ, kanak-kanak yang baru dilahirkan, disunatkan oleh syarak untuk diazankan.Masuk ke telinga sang bayi yang masih belum mengetahui barang suatu huruf dengan kalimah-kalimah suci.

Seruan tauhid mengesakan Allah, seruan membesarkan Allah lantas mengecilkan makhluk yang lain, beriman dengan Nabi Muhammad, seruan perpaduan, kejayaan dan sekian banyak lagi hikmah yang tidak terhitung banyaknya terkumpul di dalam seruan azan.

Maka, terokailah seluruh dunia dan namakanlah suatu agama yang menyusun hidup manusia dengan teliti seperti Islam.Jawapannya mustahil!
Kata ulama, tempoh hidup manusia itu sangatlah singkat sekiranya dibandingkan dengan kehidupan di akhirat.Sebagaimana kita diazankan ketika lahir lalu disolatkan ketika roh bercerai daripada jasad...maka begitulah tempoh hidup manusia.Tidak lebih panjang tempohnya seperti antara azan dan iqamat!

Azan merupakan syiar bagi wilayah Muslimin samaada dalam kalangan majoriti mahupun minoriti.Allah melontarkan soalan dalam Al Quran maksudnya: 

Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh dan berkata: "Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri?" (Surah Fushilat:33) 

Diriwayatkan bahawa Saiyidatina Aisyah, Ikrimah, Qais b Abi Hazim dan Mujahid berpendapat ayat ini diturunkan memperihalkan para muazzin.

Hari ini laungan azan bukanlah suatu yang ganjil dalam dunia.Entah di mana silapnya, azan yang dilaungkan tidak menembus hati manusia.Penyeru dan yang diseru tidak memahami makna dan tujuan seruan itu dilaungkan.
Azan merupakan pengisytiharan manusia tauhid terhadap manusia di sekelilingnya.

Di saat ini, mereka yang menyekutukan Alllah akan berasa tergugat dengan kehadiran suara itu.Pendeta di gereja, sami di kuil dan pemuka-pemuka agama Musyrik tidak senang duduk.Jauh di sudut hati, mereka membenarkan apa yang dilaungkan oleh muazzin.Tidak sedikit daripada mereka yang terbuka hati kepada Islam setelah disimbah setiap hari dengan cahaya azan.

Pemerintah yang tidak bertuhan akan terhidu bau bahaya terhadap lafaz yang diisytiharkan muazzin,  Tiada Tuhan yang layak Di Abdikan Melainkan Allah.Nah, seolah-olah hidup dalam kalangan rakyatnya golongan yang akan menjadi pembangkang tegar terhadap pemerintahannya selagi tidak didaulatkan hukum Tuhan.

Golongan munafik yang berkudis parah di dalam hati juga demikian."Kenapa nama Muhammad itu yang dilaungkan?"bisik hati munafik.

Dalam masa yang sama golongan mukmin menyambut seruan tadi dengan penuh penantian lalu berhimpun di masjid.Ya, mereka berkumpul dengan penuh rasa sayang-menyayangi sebagai tetamu istana Allah.Barisan ditegakkan dan diluruskan lalu mereka bersujud penuh kehambaan kepada Allah.

Pemimpin mereka yang memberi arahan ditaati dengan penuh kekhusyukan.Mereka memulakan solat dengan bertakbir membesarkan Allah.Lalu, diakhiri dengan memaling muka ke kanan dan ke kiri memberi salam kepada makhluk-makhluk bumi.Semuanya bermula dengan laungan azan.



Maha Suci Allah, indahnya agama Islam ini.Padanlah mereka yang busuk hati dan kematu akal beriri hati dengannya.

Bagi mereka yang melalaikan solat dengan memuaskan nafsu tidur, sedangkan azan telah dikumandangkan kita berpesan dengan ayat Allah yang bermaksud:
  
Mereka berkata: "Aduh celakalah kami! Siapakah yang membangkitkan kami dari tempat tidur kami (kubur)?" Inilah yang dijanjikan (Rabb) Yang Maha Pemurah dan benarlah Rasul-rasul(Nya).Tidak adalah teriakan itu selain sekali teriakan saja, maka tiba-tiba mereka semua dikumpulkan kepada Kami.(Surah Yasin:52-53)

Sebagaimana tidur kita di dunia maka demikianlah tidur kita di akhirat.Sebagaimana bangun kita di dunia demikianlah bangun kita di akhirat.


Wallahua'lam