Ahad, 27 Februari 2011

PERTAMA

Pulang dari Mafraq menyertai Persidangan Tahunan Mahasiswa Malaysia (PERTAMA).Temanya-Ke Arah Memahami Feqh Interaksi Bersama Non Muslim.Hebat dan puas hati...tak sia-sia 10JD...:)

Beberapa kali 'ditampar' pedih oleh Brother Lim Jooi Soon dan Brother Shah Kirit.Kedua-duanya tokoh pendakwah yang tidak asing bagi rakyat Malaysia, khususnya dalam bidang perbandingan agama.

"Pancing ikan guna umpan yang ikan suka, bukan umpan yang kita suka,"kata Brother Lim Jooi Soon.

Beliau cuba mengutarakan perbuatan-perbuatan umat Islam yang menjauhkan penganut agama lain daripada mendekati Islam.Berkhatan, tukar nama kepada Arab, bin/binti Abdullah, pergaduhan politik orang Melayu, isu 100 ribu murtad, dan banyak lagi.

"Belajar dan bandinglah kitab-kitab agama lain, nanti kita pasti akan menghargai (kehebatan) agama (Islam) ini,"sambung bekas penganut agama Buddha dan Kristian itu. 

Suatu masa dulu saya ada mencadangkan kepada rakan-rakan di Pulau Pinang supaya menangguhkan hajat membaca kitab Bible sehingga berguru dengan ahlinya.Ternyata yang berfatwa demikian adalah ulama-ulama besar dunia Islam.Bahkan mereka melarang bagi 'orang awam' membaca kitab-kitab ahlul kalam (yang menyimpang), Muktazilah, Jahmiah dan lain-lain kerana tulisan-tulisan tersebut meniupkan syak pada diri manusia.

Dengan sepenuh hati menghormati pandangan tersebut walaupun berat juga menidakkan pandangan-pandangan ulama.Kesemua mereka adalah guru-guru yang sangat berjasa pada diri.Kata Khalifah Harun Ar Rasyid, "Barangsiapa mengajarku satu huruf, akulah hamba (yang sedia berkhidmat) baginya."

   
Terima kasih, Brother Shah dan Brother Lim.Tuan-tuan adalah tuan guru kami, pelajar-pelajar Jordan.
-----------------------------------------------

Brother Shah Kirit menceritakan pengalaman beliau berhadapan dengan wanita yang teraniaya sepanjang hidupnya, dan mengambil keputusan untuk murtad.Semuanya gara-gara perbuatan zalim lelaki-lelaki Muslim disekelilingnya, lebih mengecewakan seorang ustaz!!!

"Bodoh punya ustaz,"cakap dalam hati.(Tak pasai-pasai kena bodoh).Diringkaskan cerita wanita tersebut datang berjumpa dengannya sebelum mengisytiharkan diri murtad.Menukar agama bukanlah suatu perkara yang mudah bagi sesiapa pun.Jiwanya mungkin kosong yang menuntut jawapan-jawapan yang mampu mengisi ruangan tersebut.

Wanita tersebut berkata, "Kalau Muhammad (SAW) ada disini saya akan tikam perut dan bunuh dia,".

Brother Shah tersenyum, lalu berkata, "Alhamdulillah."Hairan wanita tersebut dengan tingkahlaku Brother Shah.

"Saidina Umar dulupun sebelum masuk Islam, sangat bercita-cita untuk bunuh Nabi.Akhirnya dia jadi orang yang paling sayang pada Nabi."

"Nabi Muhammad sangat menyayangi anak-anak kecil, mengusap-usap kepala mereka dan mereka juga sangat menyayangi Nabi,"mencuit emosi wanita yang dianiaya semenjak kecil.Kisahnya panjang sehinggalah wanita tersebut insaf dan kembali pada Islam.

Kagum saya dengan kedua-dua pendakwah ini.Jalan yang kabur nampak terang jelas dipimpin mereka dengan Al Quran dan Hadis.Akhlak yang lembut, mudah didekati dan pengisian yang menarik menyebabkan penampilan mereka berbeza dari ustaz-ustaz lain.Semoga Allah merahmati mereka dan memberkati usaha dakwah yang dijalankan.

Secara ikhlasnya, saya telah menghadiri banyak program-program Maulidur Rasul, ternyata program ini lebih berkesan di hati untuk menghayati sirah Nabi SAW.Tiada sepanduk, tiada perarakan, dan tidak pula dinamakan program ini dengan 'Maulidur Rasul'.Penceramah hanya bercerita pengalaman dakwah mereka, kemudian menghubungkannya dengan peribadi Nabi SAW.Alhamdulillah, saya makin memahami makna 'mukjizat' akhlak Al Quran.

Wallahua'lam



Tiada ulasan:

Catat Ulasan