'Beruzlah' seketika daripada menulis sesuatu di dalam blog ini.Banyak isu yang sengaja ditinggalkan sepanjang hampir 10 hari.Biarlah...semua itu lebih melapangkan dada dan menenangkan jiwa.
Menulis tidak terlepas daripada ikatan dosa dan pahala.Betapa ramai manusia yang menulis sesuatu dalam majalah, akhbar mahupun blog, tanpa pertimbangan agama, menyiakan-nyiakan hidupnya dan mereka yang membacanya.Dihabiskan tenaga dan masa pada perkara yang tiada faedah.
Tiada nilai nasihat, ilmu mahupun keimanan yang disajikan bagi mereka yang membacanya/melayarinya.Anehnya, ramai pula manusia yang berhimpun dan menanti-nantikan 'hidangan' yang akan meracuni suluk mereka.
"Bahkan hati mereka tenggelam di dalam kejahilan, lalai daripada (memahami ajaran Al-Quran) ini, dan mereka pula mempunyai lagi amal-amal (yang jahat) selain dari itu, yang mereka terus-menerus mengerjakannya"(Surah Al Mukminun:63)
Berpagi-pagi mereka dengan liat beribadah berpetang-petang pula dalam kelalaian.
Jangan disangka rumah yang besar dan mewah menjamin ketenangan penghuninya.Ahli falsafah berkata,"Sempitnya sesebuah kota bukanlah kerana banyaknya bilangan bangunan, hakikatnya sempit sesebuah kota kerana buruk akhlak penduduknya."
Berhati-hatilah jika berkawan dengan mereka yang buruk akhlak.Ketika anda melaksanakan ketaatan, anda riak, ketika terjatuh dalam lopak dosa, anda berasa tenang.Orang mukmin melihat dosa umpama gunung yang akan menghempap mereka sedangkan orang munafiq menganggap dosa umpama lalat yang menghinggap di hidung lalu pergi.
Usah dilihat kecil atau besar dosa, tapi lihatlah pada siapa kamu melakukan dosa.Tiadalah yang dinamakan kekasih melainkan dia melihat besar jasa kekasihnya pada pemberian yang sedikit, dan menganggap kecurangan besar pada kesalahan kecil yang dilakukan.
"Sedang orang-orang yang beriman itu bersangatan cinta (taat) kepada Allah"(Surah Al Baqarah:165)
Ya Allah, saksikanlah.Bukankah aku telah menyampaikan...
Wallahua'lam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan