Memaparkan catatan dengan label Bulan Islam. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bulan Islam. Papar semua catatan

Isnin, 26 Disember 2011

Islam-Kristian:Suatu Diskusi

Jumaat yang lepas, usrah kami berbincang tentang hukum mengucap selamat kepada penganut agama Kristian sempena Hari Natal.Masing-masing memberikan pandangan, sesuai dengan kefahaman dan pengalaman mereka.

Sebagai fasilitator, saya tidaklah menghidangkan solusi yang tuntas mengenainya, melainkan sekadar mencuit semangat rakan-rakan untuk berusaha mencari jawapannya sendiri.Demikianlah yang diimpikan oleh rakyat Malaysia, melihat anak bangsanya yang punya idealisme, mampu berdikari dalam segenap urusan dan bergerak seiring bersama ilmu dan semangat.

Kemurnian Tauhid & Bertegas Dengannya

Umat Islam diajar supaya bersikap tegas dalam urusan aqidah.Tidak harus dikorbankan kemurnian Tauhid, iaitu mengesakan Allah SWT dan mensucikanNya dari segala sesuatu, atas nama apa sekalipun.Tauhid adalah tauhid, syirik adalah syirik dan kedua-duanya tidak akan bercampur sama sekali.

Demikianlah yang tergambar melalui sikap Al-Quran dalam Surah Al-Kafirun, sehingga diakhiri dengan ayat yang bermaksud:

"Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku!"(Surah Al-Kafirun:6)

Mencampur adukkan hak dan batil bererti memenangkan yang batil.Mencampur adukkan antara tauhid dan syirik bererti memenangkan yang syirik...umat Islam berlepas diri dari sikap ini.

Kristian di Mata Muslim

Sebetulnya kekufuran itu berada dalam satu kumpulan sekalipun nama mereka berbeza.Walaupun begitu, Al-Quran menjelaskan sikap penganut agama Kristian yang berbeza berbanding penganut agama-agama lain terhadap orang Islam, berdasarkan firmanNya yang bermaksud:

"Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada  yang beriman ialah golongan Yahudi dan golongan musyrik. Dan demi sesungguhnya engkau akan dapati golongan yang dekat sekali kasih mesranya kepada mereka yang beriman ialah yang berkata: “Bahawa kami ini ialah orang Nasrani” yang demikian itu, disebabkan ada di antara mereka pendita-pendita dan ahli-ahli ibadat dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong."(Surah Al-Maidah:82)

Dalam sirah Nabi SAW, para sahabat berdukacita dengan kekalahan Rom ke atas Parsi.Kata Ibnu Abbas RA:

"Para musyrikin bergembira dengan kemenangan Parsi ke atas Rom kerana mereka adalah penyembah berhala.Manakala orang Islam berharap agar Rom dapat mengalahkan Parsi kerana mereka (Rom) adalah golongan Ahli Kitab"(Tafsir Ibnu Kathir, Surah Ar-Rum)

Sehinggalah turun Surah Ar-Rum memberi khabar gembira dengan kemenangan Rom beberapa tahun setelah dikalahkan, Allah SWT berfirman yang bermaksud:

"...Dan pada (hari kemenangan Rom) itu, bergembiralah golongan Mukminin"(Surah Ar-Rum:4)

Dakwah Islam kepada Ahli Kitab

Mencari titik persamaan tidaklah bererti menyatukan agama.Tidak mungkin mereka yang beriltizam dengan suatu agama dapat membenarkan agama yang lain.Diskusi antara agama tidak lebih bertujuan menjaga kerukunan beragama dan kehidupan masyarakat yang harmoni.Lebih penting, dijelaskan prinsip-prinsip Islam dalam soal aqidah, Allah SWT berfirman yang bermaksud:

"Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu Kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah dan kita tidak menyekutukanNya dengan sesuatu dan jangan pula sebahagian daripada kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan tuhan-tuhan selain dari Allah”. Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) barpaling, maka katakanlah kepada mereka: “Saksikanlah, sesungguhnya kami adalah orang Islam!”(Surah Ali-Imran:64)

Bahkan, umat Islam dihalalkan memakan sembelihan Ahli Kitab, firmanNya yang bermaksud:

"Dan makanan (sembelihan) mereka yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi kamu dan makanan (sembelihan) kamu adalah halal bagi mereka..."(Surah Al-Maidah:5) 

Telah sepakat ahli ilmu bahawa diharuskan seorang lelaki Muslim bernikah dengan wanita Ahli Kitab, samaada Kristian atau Yahudi, berdasarkan firmanNya yang bermaksud:

"Dan (dihalalkan kamu berkahwin) dengan wanita-wanita yang menjaga kehormatan, dalam kalangan wanita yang beriman dan juga wanita-wanita yang menjaga kehormatannya, dalam kalangan wanita yang diberikan Kitab terdahulu daripada kamu..."(Surah Al-Maidah:5)

Kelahiran Nabi Isa AS

Tarikh 25 Disember yang disangka sebagai tarikh tarikh kelahiran Nabi Isa AS, tidaklah disepakati oleh sejarahwan.Selain itu, tarikh permulaan Masihi yang digunakan umum kononnya sempena tahun kelahiran Isa Al-Masih juga masih diragui.Pelbagai hujah yang dinyatakan oleh pakar, antaranya merujuk kepada Perjanjian Baru dan zaman pemerintahan Herodes.

Walaubagaimanapun, umat Islam masih bertoleransi dengan golongan yang tidak bersepakat dalam tarikh kelahiran Nabi Isa AS.Namun begitu, telah wujud dalam kalangan cendekiawan Kristian yang menafikan kewujudan Nabi Isa AS.Mereka menyamakannya dengan tokoh-tokoh khayalan yang wujud dalam mitos sejarah.

Umat Islam berlepas diri dari sikap sebegini.Tidak dinamakan Muslim sehinggalah diakui kewujudan dan kenabian Isa AS.Bahkan, Al-Quran merakamkan pujian Nabi Isa AS mengenai hari kelahirannya, yang bermaksud:

"Dan segala kesejahteraan dilimpahkan keatasku pada hari aku dilahirkan dan pada hari aku dimatikan serta hari aku dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat)"(Surah Maryam:33)
Wallahua'lam

Jumaat, 19 Ogos 2011

Tazkirah Ramadhan 2

Ketika masih kanak-kanak, guru-guru di madrasah sering menceritakan kisah-kisah ganjil lalu disandarkan kepada Lailatul Qadr.Pokok sujud, air berubah menjadi beku, sungai berhenti mengalir dan lain-lain.Sekalipun kisah-kisah tersebut berselisih dengan akal, tapi ditelan juga dengan penuh rendah hati kerana yang menceritakan itu ustaz & ustazah.

Semakin usia meningkat, kefahaman juga bertambah hasil daripada ilmu & maklumat yang diterima.Demikianlah ilmu membuahkan yakin, menegapkan jiwa, meninggalkan manis di dada-dada penuntutnya.Tidak sedikit dalam kalangan kita yang merombak kebiasaan adat kepada ketulenan syariat justeru kerana keyakinan terhadap ilmu yang dipelajari.
Pokok Sujud

Firman Allah SWT, bermaksud:

"Tidakkah engkau mengetahui bahawa segala yang ada di langit dan di bumi tunduk sujud kepada Allah dan (di antaranya termasuklah) matahari dan bulan, dan bintang-bintang, dan gunung-ganang, dan pokok-pokok kayu, dan binatang-binatang, serta sebahagian besar dari manusia?..."(Surah Al-Haj:18)

"Dan bintang (di langit) serta pokok kayu-kayan, masing-masing sujud (tunduk menurut peraturanNya)."(Surah Ar Rahman: 6)
gambar hiasan

Malam Al-Qadr Lebih Baik daripada 1000 Bulan

Membaca kitab Fathul Bari, karangan Imam Ibnu Hajar Al-A'sqalani.Beliau menakalkan hampir 45 pendapat-pendapat ulama mengenai tarikh Malam al-Qadr.Kepelbagaian pendapat mengenainya menunjukkan ianya suatu yang tersembunyi & tidak diketahui melainkan Allah SWT.

Adapun, Imam An-Nawawi RH membantah pendapat tersebut lalu berkata, "Telah jelas hadis-hadis yang menunjukkan kemungkinan diketahui (tarikh Malam Al-Qadr), dan telah dikhabarkan melalui sebilangan besar para solihin, maka tiada makna barangsiapa yang mengingkarinya."

Ringkasnya, malam Al-Qadr adalah malam yang diturunkan Al-Quran & fadhilatnya lebih baik daripada 1000 bulan.FirmanNYA yang bermaksud:

"Malam Al-Qadr lebih baik daripada 1000 bulan"(Surah Al-Qadr: 3)
 
Surah Al-Qadr diletakkan selepas Surah Al-A'laq dalam mushaf Al-Quran.Umum mengetahui, 5 ayat awal dari Surah Al-Alaq merupakan wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW.Didalamnya, terdapat perintah supaya membaca...maka sebaik-baik bacaan adalah Al-Quran Al-Karim.

Maka, wajar sahaja Allah SWT menyebut kemuliaan malam penurunan (nuzul) Al-Quran, iaitu malam Al-Qadr, sesuai ianya sebagai Kalam Allah yang bermu'jizat lagi mulia.

Syed Qutb dalam Tafsir fi Zilal Al-Quran berkata, "Dan bilangan (seribu) tidak memberi erti keterbatasan (sekadar seribu)...akan tetapi ia menunjukkan bilangan yang banyak (tidak terbilang)..."  

Membaca Al-Quran, menghayati isi kandungannya dan mempraktikkan Al-Quran di dalam kehidupan merupakan kewajipan setiap manusia.Justeru, penurunan Al-Quran yang terkandung didalamnya sekalian kehendak manusia (merangkumi aqidah, ibadah, muamalah dan lain-lain) bukan sahaja lebih baik daripada 1000 bulan, bahkan lebih daripada itu.

Kesimpulan
 
Merujuk kepada kitab Fathul Bari, karangan Imam Ibnu Hajar Al-A'sqalani, dapatlah diketahui bahawa sebilangan besar daripada sahabat, tabi'in & golongon solihin lebih cenderung menyatakan malam Al-Qadr berlaku pada 10 malam terakhir dalam bulan Ramadhan.Diriwayatkan bahawa Nabi SAW mempergiatkan ibadah dengan menghidupkan malam-malam tersebut dengan solat sunat & iktikaf.

Bulan Ramadhan adalah bulan penyucian jiwa.Adapun Lailatul Qadr merupakan anugerah Allah SWT kepada para hambaNYA yang bertuah.Ia datang dihujung-hujung bulan Ramadhan dengan harapan 20 hari yang pertama telah mencukupi bagi insan menyiapkan diri menerima kunjungan suci tersebut.

Demikianlah kebiasaan tetamu kehormat ketika tiba di sesebuah kawasan.Sekian ramai mendambakan kunjungannya, namun bukanlah semua orang disapanya...hanya yang terpilih, sudah tentu yang paling dikasihinya!Ya Allah, golongkanlah kami dalam kalangan mereka....

Saiyidatina Ai'syah RA bertanya kepada Nabi SAW, "Wahai Rasulullah, apakah pandangan tuan sekiranya aku dapat mengetahui Lailatul Qadr, apakah yang harus aku katakan ketika itu?"

Nabi SAW bersabda, "Katakanlah...

 اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ كَرِيمٌ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي 

"Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, suka mengampuni maka ampunilah aku."(Riwayat At-Tirmizi, An-Nasa'i & Ibnu Majah)

Wallahua'lam

Sabtu, 6 Ogos 2011

Tazkirah Ramadhan 1

Seruan mengajak manusia supaya bertaqwa diulang-ulang sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu pada hari Jumaat.Sekian banyak isi kandung bumi ini, luas lagi langit & cakerawala, pesan taqwa juga yang menjadi inti penting perhimpunan mingguan umat Islam.Bahkan menjadi matlamat utama setiap peribadatan dalam Islam supaya umatnya mencapai maqam taqwa.Firman Allah SWT bermaksud:

"Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan mereka yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (tergolong dikalangan hamba-hambaKU) yang bertaqwa."(Surah Al Baqarah:21)

Menghirup udara Ramadhan, berpuasa didalamnya, harus fokus matlamat, bukan sekadar berlapar dan berdahaga...taqwa! 

"Wahai mereka yang beriman, diwajibkan kepada kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas mereka (yang telah datang) sebelum kamu supaya kamu bertaqwa"

Taqwa itu lebih tinggi nilainya daripada daging dan darah haiwan yang kamu korbankan...

"Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal (yang ikhlas berdasarkan) taqwa dari kamu"(Surah Al-Haj:37)

Apatahlagi Al-Quran merakamkan kata-kata Habil, anak Nabi Adam AS, yang menyebabkan sempit dada golongan salaf:

“Hanyasanya Allah menerima (amalan) dari orang-orang yang bertaqwa" (Surah Al-Maidah:27)

Pengertian taqwa banyak dinaqalkan daripada kalam para sahabat Radhiyallahu A'nhum & para ulama.Walaubagaimanapun, definisi taqwa dapat diringkaskan kepada maksud-melaksanakan segala perintah Allah & meninggalkan segala laranganNYA.

Ayuh kita bermuhasabah, sudahkah kita mencapai kehendak taqwa?Berapa ramai dalam kalangan manusia yang berat melaksanakan perintah Allah SWT, ringan pula melanggar perintahNYA...

اللهم أعني على ذكرك وشكرك وحسن عبادتك
"Ya Allah, bantulah kami pada jalan mengingatiMU, bersyukur atas nikmat-nikmatMU, dan keelokan dalam beribadat..."

Bersambung, insyaAllah

Wallahua'lam
 

Jumaat, 11 Februari 2011

Cinta Nabi

 
Mendengar khabar kematian seorang ulama Jordan, Syeikh Fadhl Hasan Abbas.Saya dan beberapa orang sahabat sempat bertalaqqi dengan beliau beberapa hari sebelum kembalinya ke rahmatullah.Pada hari tersebut, Syeikh Fadhl Hasan Abbas memberitahu hasrat beliau untuk menunaikan umrah dan ziarah ke Madinah.

Seorang Pak Cik Arab mencelah,"Syeikh nak sambut Maulidur Rasul di Saudi,"dengan nada sinis.

Ulama-ulama Arab Saudi terkenal dengan pendapat mereka yang melarang sambutan Maulidur Rasul.Syeikh Fadhl Hasan Abbas tersenyum tanpa memberi sebarang komen mengenainya.Begitulah sikap kebanyakan ulama, ucapan mereka ringkas tidak dibuat-buat, mendatangkan kesan bagi yang mendengar, sedang diam mereka adalah insipirasi bagi yang menatap.

Semoga Allah SWT merahmati beliau dan ditempatkan bersama para solihin.-Tamat-

Kisah Cinta Nabi

Suatu hari, seorang lelaki telah datang berjumpa Nabi SAW lalu bertanya, "Bilakah saat (kiamat) itu?"

Maka Nabi SAW pun berkata, "Apakah yang telah kamu sediakan untuk menghadapinya?"

Lelaki tersebut berkata, "Aku tidaklah menyediakan bekalan amalan yang banyak melainkan aku sangat mencintai Allah dan RasulNya.

Lantas Nabi SAW bersabda, "Seseorang itu bersama orang yang dicintai pada hari kiamat"(Riwayat Bukhari & Muslim)

Saiyidina Anas b Malik RA yang meriwayatkan hadis ini berkata, "Tiadalah suatu perkara yang lebih menggembirakan hati kami melainkan setelah mendengar hadis ini.Aku mencintai Rasulullah SAW, Abu Bakar dan Umar, maka aku sangat berharap agar Allah menghimpunkan aku bersama mereka walaupun amalan aku tidaklah setanding amalan mereka.

Marilah kita bertanya pada diri, siapakah manusia yang bertakhta di hati ketika ini?Jika jawapannya orang politik pelupa akhirat, seniman tak kenal batas adat, ahli agama yang sesat atau jelitawan tak tutup aurat, anda mungkin berada dalam zon bahaya.Kecintaan anda pada mereka akan menjadi penyesalan yang tiada kesudahan di akhirat kelak.

Maulidur Rasul

Beberapa hari lagi umat Islam akan menyambut Maulidur Rasul.Ulama bersepakat bahawa Nabi Muhammad SAW lahir pada hari Isnin.Adapun tarikhnya diperselisihkan.Saya berlepas diri daripada membincangkannya di ruang sempit ini.Namun,harus ditegaskan bahawa mencintai Nabi SAW bukanlah bersifat musiman.Tidak sama sekali!

Cukuplah kisah batang pohon kurma menangis kerana berjauhan dengan Nabi SAW, menginsafkan kita.Batang tubuh kita tidak pernah disentuh kulit Nabi SAW yang mulia, jarak geografi kita juga lebih jauh daripada batang pohon kurma yang hanya dipisahkan beberapa depa dari Nabi SAW, dan zaman kita juga dipisahkan ribuan tahun daripada Baginda SAW.Alangkah indahnya hidup ini jika dapat menatap wajah Baginda SAW walau hanya sekali, walau dalam mimpi...

Wallahua'lam

Selasa, 14 Disember 2010

Hari Asyura

Menyelak lembaran sejarah gelap umat Islam cukup menyebabkan hati kita menggigil ketakutan bercampur celaru.Tidak kurang juga daripada manusia yang menitiskan air mata dalam menyelami peristiwa-peristiwa berdarah yang tercatat pada tinta sejarah umat Islam.

Bulan Muharram adalah bulan menyatakan kebenaran dan bulan mengisytiharkan perang pada kelompok tirani.

Sunnah perjuangan dan kejayaan pada hari Asyura itu berjalan sepanjang zaman.Demikianlah yang dapat kita ketahui melalui petunjuk Hadis Nabi SAW.Diriwayatkan oleh Ibnu Abbas RA katanya:

Sewaktu Rasulullah SAW tiba di Madinah, baginda mendapati golongan Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Ketika ditanya tentang puasa itu, mereka menjawab: Hari ini adalah hari kemenangan yang telah diberikan oleh Allah kepada Nabi Musa AS dan kaum Bani Israel dari Firaun. Kami merasa perlu untuk berpuasa pada hari ini sebagai suatu pengagungan kami padaNya. Lalu Rasulullah SAW bersabda:

Kami lebih berhak ke atas Nabi Musa daripada kamu (dalam hal ini.)

Kemudian baginda memerintahkan para sahabat supaya berpuasa pada hari tersebut. (Hadis Bukhari, Muslim, Abu Daud, Ibnu Majah dan Tirmizi) Kesemuanya di dalam Kitab Puasa.

Sunnah perjuangan menentang kemungkaran itu berjalan sepanjang zaman hinggalah tumpahnya darah cucunda Nabi SAW yang mulia Sayyidina Hussein.

Sebagaimana Allah SWT memberikan kejayaan kepada Nabi Musa AS pada hari itu, demikianlah 10 Muharram  Allah SWT memberikan kejayaan kepada Sayyidina Hussein.

Bukankah Sayyidina Hussein itu terkorban dalam peperangan tersebut?Ya!!!Sayyidina Hussein terbunuh bahkan kepalanya dipenggal oleh tangan yang hina dan jijik.Jangan ditutup jenayah perang ini.Malulah anda untuk meminta syafaat daripada Nabi SAW sekiranya tidak mencintai cucundanya.

Bahkan jangan lupa firman Allah SWT yang bermaksud:

"Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) mereka yang terbunuh dalam perjuangan membela agama Allah itu: orang mati; bahkan mereka itu hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya"(Surah Al Baqarah:154)

Demi Allah, darah yang tumpah itu tidak sia-sia.Bahkan darah itulah yang menjadi sumbu kepada umat ini untuk menghidupkan revolusi menegakkan Islam diatas keruntuhan jahiliyyah.Bukanlah sikap umat Muhammad berdiam diri terhadap kemungkaran dan mengalah  walau dengan jumlah yang sedikit.

Bukanlah di ruang sempit ini tempatnya untuk kita menghimpun 1001 falsafah perjuangan di Karbala.Daya tarik dan pesona kisahnya harus dikaji oleh umat Islam terutama generasi muda.Plot penceritaan, kepahlawanan pemimpin dan pengikutnya, kesucian matlamat dan segalanya tampak berbeza berbanding kisah epik peperangan yang lain.

Umat Islam adalah umat yang mencintai Nabi SAW dan Ahlul Bait.Firman Allah SWT dalam Al Quran yang bermaksud:

"Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah tentang ajaran Islam yang aku sampaikan itu, (yang aku minta) hanyalah kasih mesra (kamu) terhadap keluargaku"(Surah As Syura:23)

Bahkan menjadi rukun dalam solat 5 waktu kita untuk berselawat kepada Nabi SAW  dan Ahlul Bait.Imam-imam mazhab yang terkenal itu semuanya dikenali sebagai keluaran madrasah Ahlul Bait.

Imam Ahmad bin Hanbal ketika ditanya tentang hukum melaknat pembunuh Saiyidina Hussein, beliau menjawab:

"Bagaimana aku tidak melaknat orang yang dilaknat oleh Allah?"Kemudian beliau membaca firman Tuhan yang bermaksud:

"Maka apakah kiranya jika kamu berkuasa, kamu akan membuat kerosakan di muka bumi dan memutuskan hubungan kekeluargaan, mereka itulah orang-orang yang dilaknati Allah dan dituliskan-Nya telinga mereka dan dibutakan-Nya mata mereka."(Surah Muhammad:22-23) 

Imam Abu Hanifah dan Imam Malik bin Anas, guru kepada Imam Syafie, merupakan anak murid kepada Imam Jaafar As Sadiq.Beliau merupakan cucu-cicit keturunan Rasulullah SAW, dan bersambung jurai kekeluargaan dengan Saiyidina Abu Bakar RA di sebelah ibunya.

Sebahagian daripada kelompok yang mengangkat slogan 'Memurnikan Aqidah dan Kembali kepada Sunnah' mungkin terlepas pandang dalam  soal kecintaan kepada Ahlul Bait ini.Kita lebih mengenali 'orang lain' daripada keluarga Rasulullah SAW yang mulia.

Dunia Sunni, khususnya di Malaysia jarang mendengar riwayat kisah Saiyidatina Fatimah Az Zahra, puteri kesayangan Rasulullah SAW.Apatah lagi kisah tentang cucu baginda Saiyidina Hasan dan Saiyidina Hussein.Sedangkan anda mendakwa anda mencintai Nabi Muhammad SAW...

Cinta apa sekiranya tidak ditegakkan rukunnya?Rukun cinta itu adalah cemburu!!!Anda langsung tidak cemburu dengan kelompok Syiah yang lebih kehadapan dalam soal ini...

Wallahua'lam