Ahad, 28 November 2010

Azan Mesej yang Dilupai

Umum mengetahui azan sebagai suatu method untuk menyeru manusia mendirikan solat.Gemanya berjalan serata bumi, setiap saat dan ketika menghidupkan hati-hati manusia beriman.

Tidak berhenti di situ, kanak-kanak yang baru dilahirkan, disunatkan oleh syarak untuk diazankan.Masuk ke telinga sang bayi yang masih belum mengetahui barang suatu huruf dengan kalimah-kalimah suci.

Seruan tauhid mengesakan Allah, seruan membesarkan Allah lantas mengecilkan makhluk yang lain, beriman dengan Nabi Muhammad, seruan perpaduan, kejayaan dan sekian banyak lagi hikmah yang tidak terhitung banyaknya terkumpul di dalam seruan azan.

Maka, terokailah seluruh dunia dan namakanlah suatu agama yang menyusun hidup manusia dengan teliti seperti Islam.Jawapannya mustahil!
Kata ulama, tempoh hidup manusia itu sangatlah singkat sekiranya dibandingkan dengan kehidupan di akhirat.Sebagaimana kita diazankan ketika lahir lalu disolatkan ketika roh bercerai daripada jasad...maka begitulah tempoh hidup manusia.Tidak lebih panjang tempohnya seperti antara azan dan iqamat!

Azan merupakan syiar bagi wilayah Muslimin samaada dalam kalangan majoriti mahupun minoriti.Allah melontarkan soalan dalam Al Quran maksudnya: 

Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh dan berkata: "Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri?" (Surah Fushilat:33) 

Diriwayatkan bahawa Saiyidatina Aisyah, Ikrimah, Qais b Abi Hazim dan Mujahid berpendapat ayat ini diturunkan memperihalkan para muazzin.

Hari ini laungan azan bukanlah suatu yang ganjil dalam dunia.Entah di mana silapnya, azan yang dilaungkan tidak menembus hati manusia.Penyeru dan yang diseru tidak memahami makna dan tujuan seruan itu dilaungkan.
Azan merupakan pengisytiharan manusia tauhid terhadap manusia di sekelilingnya.

Di saat ini, mereka yang menyekutukan Alllah akan berasa tergugat dengan kehadiran suara itu.Pendeta di gereja, sami di kuil dan pemuka-pemuka agama Musyrik tidak senang duduk.Jauh di sudut hati, mereka membenarkan apa yang dilaungkan oleh muazzin.Tidak sedikit daripada mereka yang terbuka hati kepada Islam setelah disimbah setiap hari dengan cahaya azan.

Pemerintah yang tidak bertuhan akan terhidu bau bahaya terhadap lafaz yang diisytiharkan muazzin,  Tiada Tuhan yang layak Di Abdikan Melainkan Allah.Nah, seolah-olah hidup dalam kalangan rakyatnya golongan yang akan menjadi pembangkang tegar terhadap pemerintahannya selagi tidak didaulatkan hukum Tuhan.

Golongan munafik yang berkudis parah di dalam hati juga demikian."Kenapa nama Muhammad itu yang dilaungkan?"bisik hati munafik.

Dalam masa yang sama golongan mukmin menyambut seruan tadi dengan penuh penantian lalu berhimpun di masjid.Ya, mereka berkumpul dengan penuh rasa sayang-menyayangi sebagai tetamu istana Allah.Barisan ditegakkan dan diluruskan lalu mereka bersujud penuh kehambaan kepada Allah.

Pemimpin mereka yang memberi arahan ditaati dengan penuh kekhusyukan.Mereka memulakan solat dengan bertakbir membesarkan Allah.Lalu, diakhiri dengan memaling muka ke kanan dan ke kiri memberi salam kepada makhluk-makhluk bumi.Semuanya bermula dengan laungan azan.



Maha Suci Allah, indahnya agama Islam ini.Padanlah mereka yang busuk hati dan kematu akal beriri hati dengannya.

Bagi mereka yang melalaikan solat dengan memuaskan nafsu tidur, sedangkan azan telah dikumandangkan kita berpesan dengan ayat Allah yang bermaksud:
  
Mereka berkata: "Aduh celakalah kami! Siapakah yang membangkitkan kami dari tempat tidur kami (kubur)?" Inilah yang dijanjikan (Rabb) Yang Maha Pemurah dan benarlah Rasul-rasul(Nya).Tidak adalah teriakan itu selain sekali teriakan saja, maka tiba-tiba mereka semua dikumpulkan kepada Kami.(Surah Yasin:52-53)

Sebagaimana tidur kita di dunia maka demikianlah tidur kita di akhirat.Sebagaimana bangun kita di dunia demikianlah bangun kita di akhirat.


Wallahua'lam



Tiada ulasan:

Catat Ulasan