Isnin, 26 Disember 2011

Islam-Kristian:Suatu Diskusi

Jumaat yang lepas, usrah kami berbincang tentang hukum mengucap selamat kepada penganut agama Kristian sempena Hari Natal.Masing-masing memberikan pandangan, sesuai dengan kefahaman dan pengalaman mereka.

Sebagai fasilitator, saya tidaklah menghidangkan solusi yang tuntas mengenainya, melainkan sekadar mencuit semangat rakan-rakan untuk berusaha mencari jawapannya sendiri.Demikianlah yang diimpikan oleh rakyat Malaysia, melihat anak bangsanya yang punya idealisme, mampu berdikari dalam segenap urusan dan bergerak seiring bersama ilmu dan semangat.

Kemurnian Tauhid & Bertegas Dengannya

Umat Islam diajar supaya bersikap tegas dalam urusan aqidah.Tidak harus dikorbankan kemurnian Tauhid, iaitu mengesakan Allah SWT dan mensucikanNya dari segala sesuatu, atas nama apa sekalipun.Tauhid adalah tauhid, syirik adalah syirik dan kedua-duanya tidak akan bercampur sama sekali.

Demikianlah yang tergambar melalui sikap Al-Quran dalam Surah Al-Kafirun, sehingga diakhiri dengan ayat yang bermaksud:

"Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku!"(Surah Al-Kafirun:6)

Mencampur adukkan hak dan batil bererti memenangkan yang batil.Mencampur adukkan antara tauhid dan syirik bererti memenangkan yang syirik...umat Islam berlepas diri dari sikap ini.

Kristian di Mata Muslim

Sebetulnya kekufuran itu berada dalam satu kumpulan sekalipun nama mereka berbeza.Walaupun begitu, Al-Quran menjelaskan sikap penganut agama Kristian yang berbeza berbanding penganut agama-agama lain terhadap orang Islam, berdasarkan firmanNya yang bermaksud:

"Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada  yang beriman ialah golongan Yahudi dan golongan musyrik. Dan demi sesungguhnya engkau akan dapati golongan yang dekat sekali kasih mesranya kepada mereka yang beriman ialah yang berkata: “Bahawa kami ini ialah orang Nasrani” yang demikian itu, disebabkan ada di antara mereka pendita-pendita dan ahli-ahli ibadat dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong."(Surah Al-Maidah:82)

Dalam sirah Nabi SAW, para sahabat berdukacita dengan kekalahan Rom ke atas Parsi.Kata Ibnu Abbas RA:

"Para musyrikin bergembira dengan kemenangan Parsi ke atas Rom kerana mereka adalah penyembah berhala.Manakala orang Islam berharap agar Rom dapat mengalahkan Parsi kerana mereka (Rom) adalah golongan Ahli Kitab"(Tafsir Ibnu Kathir, Surah Ar-Rum)

Sehinggalah turun Surah Ar-Rum memberi khabar gembira dengan kemenangan Rom beberapa tahun setelah dikalahkan, Allah SWT berfirman yang bermaksud:

"...Dan pada (hari kemenangan Rom) itu, bergembiralah golongan Mukminin"(Surah Ar-Rum:4)

Dakwah Islam kepada Ahli Kitab

Mencari titik persamaan tidaklah bererti menyatukan agama.Tidak mungkin mereka yang beriltizam dengan suatu agama dapat membenarkan agama yang lain.Diskusi antara agama tidak lebih bertujuan menjaga kerukunan beragama dan kehidupan masyarakat yang harmoni.Lebih penting, dijelaskan prinsip-prinsip Islam dalam soal aqidah, Allah SWT berfirman yang bermaksud:

"Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu Kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah dan kita tidak menyekutukanNya dengan sesuatu dan jangan pula sebahagian daripada kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan tuhan-tuhan selain dari Allah”. Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) barpaling, maka katakanlah kepada mereka: “Saksikanlah, sesungguhnya kami adalah orang Islam!”(Surah Ali-Imran:64)

Bahkan, umat Islam dihalalkan memakan sembelihan Ahli Kitab, firmanNya yang bermaksud:

"Dan makanan (sembelihan) mereka yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi kamu dan makanan (sembelihan) kamu adalah halal bagi mereka..."(Surah Al-Maidah:5) 

Telah sepakat ahli ilmu bahawa diharuskan seorang lelaki Muslim bernikah dengan wanita Ahli Kitab, samaada Kristian atau Yahudi, berdasarkan firmanNya yang bermaksud:

"Dan (dihalalkan kamu berkahwin) dengan wanita-wanita yang menjaga kehormatan, dalam kalangan wanita yang beriman dan juga wanita-wanita yang menjaga kehormatannya, dalam kalangan wanita yang diberikan Kitab terdahulu daripada kamu..."(Surah Al-Maidah:5)

Kelahiran Nabi Isa AS

Tarikh 25 Disember yang disangka sebagai tarikh tarikh kelahiran Nabi Isa AS, tidaklah disepakati oleh sejarahwan.Selain itu, tarikh permulaan Masihi yang digunakan umum kononnya sempena tahun kelahiran Isa Al-Masih juga masih diragui.Pelbagai hujah yang dinyatakan oleh pakar, antaranya merujuk kepada Perjanjian Baru dan zaman pemerintahan Herodes.

Walaubagaimanapun, umat Islam masih bertoleransi dengan golongan yang tidak bersepakat dalam tarikh kelahiran Nabi Isa AS.Namun begitu, telah wujud dalam kalangan cendekiawan Kristian yang menafikan kewujudan Nabi Isa AS.Mereka menyamakannya dengan tokoh-tokoh khayalan yang wujud dalam mitos sejarah.

Umat Islam berlepas diri dari sikap sebegini.Tidak dinamakan Muslim sehinggalah diakui kewujudan dan kenabian Isa AS.Bahkan, Al-Quran merakamkan pujian Nabi Isa AS mengenai hari kelahirannya, yang bermaksud:

"Dan segala kesejahteraan dilimpahkan keatasku pada hari aku dilahirkan dan pada hari aku dimatikan serta hari aku dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat)"(Surah Maryam:33)
Wallahua'lam

Sabtu, 10 Disember 2011

Memahami Jiwa Halus Manusia

Bersama dengan rakan-rakan Mahasiswa Amman mempelajari khat Arab.Alhamdulillah, ketika menuntut di Maktab Mahmud Alor Star, saya sempat belajar beberapa jenis khat seperti nasakh, raqa'ah dan thuluth selama tiga tahun.Secara peribadi, sangat meminati kehalusan seni ini sekalipun tidak berbakat di dalamnya.

"Bakat boleh diasah kalau berminat dan ada kesungguhan,"kata seorang rakan.

Alam & Seni Yang Mencuit Manusia

Setiap manusia dikurniakan jiwa halus oleh Allah SWT dalam dirinya.Dengan jiwa halus ini, mereka bermonolog dan bertindak balas terhadap suasana.Adakalanya hati yang gundah terhibur dengan bunyian burung,  tiupan lembut angin di pantai diiringi desiran daun-daun kelapa.Luangkanlah masa melihat bulan purnama di waktu malam...anda akan memahaminya.

Semua itu anugerah Tuhan sebagai Pencipta, mencipta alam tanpa campur tangan makhluk, memberi inspirasi dalam hidup manusia untuk menghargai keindahannya.Orang mukmin ketika melihat keindahan lantas berkata:

“Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menciptakan (alam) ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada azab neraka."(Surah Ali Imran:91)

Jiwa halus ini sebahagiannya diterjemahkan dalam bentuk lukisan, nyanyian, gesekan alat muzik, penulisan syair dan lain-lain.Bagi ahli sejarah, medium inilah digunakan untuk mentafsir keadaan sesuatu zaman dan persekitarannya.

Seni itu adik-beradik falsafah.Saya tidak pernah menyebelahi sebahagian ahli falsafah yang memang menjadi punca utama timbulnya budaya rancu dalam kalangan umat Islam.Walaubagaimanapun, masih ramai dalam kalangan mereka yang melantunkan hikmah hasil pancaran nurani yang bersih.

Tidak dinafikan, sebahagian seni yang diluahkan oleh seseorang adakalanya sukar untuk ditafsirkan.Justeru, ramai juga dalam kalangan cendekiawan yang melulu dalam menghukum tanpa diselidik dengan teliti.Lebih malang, golongan ini tidak didekati lantas dilabel...'ahli falsafah si pemilik bid'ah!'

Dakwah Walisongo di Nusantara

Walisongo bukanlah nama yang asing dalam kalangan masyarakat Nusantara.Dakwah mereka yang tidak memusuhi budaya dan tradisi berjaya merubah masyarakat Jawa yang tegar beragama Hindu kepada agama Islam.Walisongo meraikan minat masyarakat Jawa terhadap seni, dengan bergamelan dan wayang-wayang kulit berunsur Islami.

Setelah timbul minat rakyat, Walisongo mengambil kesempatan mengajar syahadat, wudhu', solat dan beberapa hukum agama.Disamping tidak dinafikan ada beberapa perkara yang mungkin kita tidak sependapat, namun kebijaksanaan Walisongo berdakwah secara hikmah ini layak dipuji oleh generasi kini.

Dan mereka yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, ampunkanlah (dosa kami) dan (dosa) saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman...(Surah Al-Hasyr:10)



Cinta: Jiwa Halus Manusia

Kita sangat mengenali Ibnu Hazm Al-Andalusi sebagai ilmuwan Islam yang ulung.Seorang ahli Feqh yang masyhur dizamannya dengan mendokong jalur zahiri (literal) dalam memahami teks Syariah.Menariknya, ketegasan beliau dalam beberapa hukum di dalam agama tidak menafikan jiwa halusnya berbicara tentang seni cinta!Jika berkesempatan, bacalah 'Thuq Al-Hamamah' karya Ibnu Hazm...

Bilakah Muhammad mengharamkan cinta,
Adakah pernah dihina umatnya yang bercinta,
Janganlah engkau berlagak mulia,
Menyebut cinta sebagai dosa!

(Ibnu Hazm, Thuq Al-Hamamah)

Erich Fromm dalam bukunya, The Art of Loving, menganggap manusia moden merupakan golongan yang paling menderita.Mereka diajar untuk dicintai bukan untuk mencintai.Kesannya, anak muda menghabiskan masa dan wang berkubang dalam lembah maksiat.Dalam rumahtangga, para isteri bersusah payah menguruskan tubuh badan sehingga memperjudi nyawa.Ahli politik tidak segan-silu berdusta dan memanipulasi wang demi cintakan kerusi.

Semua usaha mereka itu masih tidak dapat menghalang diri daripada kekecewaan dan putus asa.

"Sudah tiba masanya kita belajar untuk mencintai,"sambung Erich Fromm.

Belajar Mencintai Allah & Rasul

Al-Quran menyifatkan orang beriman dalam ayat 165 Surah Al-Baqarah, bermaksud:

"...adalah mereka yang beriman itu bersangatan cinta (mereka) kepada Allah..."

Mereka yang mencintai Allah SWT sudah tentu mencintai Rasulullah SAW & mengikuti petunjuknya:

"Katakanlah (wahai Muhammad), jika benar kamu mencintai Allah maka ikutlah aku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani."(Surah Ali Imran:31)

Suatu hari, seorang lelaki telah datang berjumpa Nabi SAW lalu bertanya, "Bilakah saat (kiamat) itu?"

Maka Nabi SAW pun berkata, "Apakah yang telah kamu sediakan untuk menghadapinya?"

Lelaki tersebut berkata, "Aku tidaklah menyediakan bekalan amalan yang banyak melainkan aku sangat mencintai Allah dan RasulNya.

Lantas Nabi SAW bersabda, "Seseorang itu bersama orang yang dicintai pada hari kiamat"(Riwayat Bukhari & Muslim)

Saiyidina Anas b Malik RA yang meriwayatkan hadis ini berkata, "Tiadalah suatu perkara yang lebih menggembirakan hati kami melainkan setelah mendengar hadis ini.Aku mencintai Rasulullah SAW, Abu Bakar dan Umar, maka aku sangat berharap agar Allah menghimpunkan aku bersama mereka walaupun amalanku tidaklah setanding amalan mereka.

Penutup

Saya tidak bercadang menulis kesemua persoalan tentang jiwa halus manusia.Cukuplah dengan diutarakan 2 cabang utamanya iaitu seni & cinta.Para pendakwah harus bijak dalam menangani kedua-duanya sesuai dengan semangat agama.Kita menginginkan wajah Islam yang tampil ramah berhadapan dengan masyarakat, bukan Islam yang 'dibentuk' ekslusif,  bukan juga Islam yang cuai akibat 'liberalisasi', tetapi Islam yang dikehendaki oleh Allah & Rasul.Yang pasti, ia memandu jiwa halus manusia...

Wallahua'lam

Khamis, 17 November 2011

Demi Masa!

Malik bin Nabi, seorang ahli falsafah Algeria, meletakkan 'Waktu' sebagai suatu bab dalam bukunya Syurut Al-Nahdhah (Syarat-Syarat Kebangkitan).Beliau menulis:

"Masa itu adalah sungai yang mengalir sejak dahulukala...ia bergerak melintasi kota-kota, menyuapkan semangat dan tenaga kepada penduduknya, juga memudahkan tidur-tidur mereka dengan irama masa yang pergi sia-sia...masa itu sungai yang pendiam, sehingga adakalanya kita lupa kehadirannya...sedangkan kita berhajat padanya...

Al-A'sr

Perkataan al-a'sr digunakan bagi menunjukkan tempoh sesuatu masa atau zaman.Contohnya, A'sr Al-Nubuwwah (Zaman Kenabian), A'sr Al-Istiqlal (Zaman Kemerdekaan) dan lain-lain.Selain itu, al-a'sr juga bermaksud waktu Asar, suatu tempoh diantara waktu Zohor dengan Maghrib ketika bayang-bayang lebih panjang dari asalnya.

Menjadi kebiasaan di zaman Jahiliyyah, bangsa Arab menjadikan waktu Asar sebagai waktu istirehat.Mereka bersembang soal keduniaan dan kehidupan seharian sehingga adakalanya menimbulkan pertengkaran dan pergaduhan.Semuanya dek kerana berlebih-lebihan dalam bergurau lalu menyakiti hati yang lain.Bahkan, timbul dalam kalangan mereka yang mencela waktu Asar sebagai waktu yang sial.

Lalu, Allah SWT bersumpah dengan waktu Asar kemudian menegaskan sesungguhnya yang bersalah adalah manusia, bukan waktu Asar:

"Sesungguhnya manusia sentiasa dalam kerugian..."(Surah Al-A'sr: 2)

Umur untuk Diperah

Al-A'sr juga bermaksud 'memerah sesuatu sehingga mengalir sesuatu didalamnya'.Daripada perkataan ini, timbul perkataan 'asir' yang bermaksud jus perahan buah-buahan.

Umat Islam dituntut bersungguh-sungguh dalam semua lapangan hidup mereka.Umur seharusnya diperah buat manfaat dunia dan akhirat.Jika mampu sehingga mengalir keringat, silakan!Itulah umur...jangan sia-siakan sedetik dari waktu yang dianugerahkan oleh Allah SWT.
 
Petunjuk Kenabian dalam Bekerja

Nabi SAW bersabda:

"Jika berlaku saat kiamat sedangkan ditangan salah seorang daripada kamu benih (kurma), jika ia mampu untuk menanamnya, maka lakukanlah...(baginya pahala)" (Riwayat Ahmad)

Apa manfaat menanam benih diwaktu huru-hara?Bukankah ke masjid, bertaubat mohon keampunan lebih utama?

"Dan (Muhammad) tidak memperkatakan (sesuatu berhubung dengan ajaran Islam) menurut kemahuannya sendiri.Segala yang diperkatakannya itu tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (Tuhan) kepadanya." (Surah An-Najm: 3-4)

Umat Islam diajar oleh Nabi SAW supaya mengutamakan kesungguhan bekerja.Soal hasilnya, jangan bergantung semata-mata pada diri bahkan mesti beriktikad dengan 'campur tangan' Allah SWT.Oleh itu, orang mukmin apabila diberi nikmat mereka bersyukur, sebaliknya ketika ditimpa musibah mereka bersabar...Allah sebaik-baik perancang, menginginkan kebaikan kepada makhluk lebih daripada apa yang dihajati mereka sendiri.

Umat Islam juga dididik supaya 'memadukan' urusan dunia dan urusan akhirat.Allah SWT berfirman:

"Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka."(Surah Al-Baqarah:201) 

Jangan menyangka Allah SWT akan mencuaikan ganjaran terhadap hambaNYA, walau sekadar menanam biji benih...

"Mereka itulah yang akan mendapat bahagian yang baik dari apa yang telah mereka usahakan; dan Allah amat cepat hitunganNya."(Surah Al-Baqarah:202)

Wallahua'lam

Khamis, 10 November 2011

Islam Antara Roh & Akal

"Timur adalah Timur, Barat adalah Barat...kedua-duanya tidak akan bertemu sama sekali."Demikianlah ungkapan yang sangat masyhur dalam kalangan kita, seolah-olah membezakan antara Timur dan Barat dalam segala sesuatu.Luangkanlah sedikit masa untuk membaca buku-buku sejarah, sains, falsafah dan sebagainya bagi kita menguji kebenaran ungkapan tersebut disamping mengenali kepelbagaian budaya antara Timur dan Barat .

Apa yang pasti, para pakar melihat suatu jalur yang membezakan antara keduanya.Disaat Tamadun Timur, khususnya China & India, menilai kebenaran melalui pembersihan jiwa, Tamadun Barat mengukur kebenaran melalui akal-logik- semata-mata.Maka lahirlah ahli-ahli falsafah dan seniman yang berbeza aliran pada kedua-dua benua tersebut.Kesannya, dunia Timur tampil pucat tanpa darah akal logik manakala dunia Barat mengalami kegersangan jiwa kerana kekosongan rohani.

Kononnya, usaha Alexander The Great menakluk kedua-dua tanduk bumi, Timur dan Barat, adalah bagi memadukan antara keduanya.

Konflik Agama & Akal
 
Islam hadir ditengah-tengah kecelaruan tersebut memberi nafas kepada kehidupan manusia yang sesak.Islam  menghargai akal & roh tanpa sedikitpun dicuaikan.Al-Quran tidak pernah khuatir menyeru manusia menggunakan akal bagi mencabar bangunan keimanan Islam yang kukuh.Firman Allah SWT, yang bermaksud:

"Katakanlah (kepada mereka yang ingkar), datangkan kepada kami bukti-bukti kamu jika kamu merasa dipihak yang benar.."(Surah Al-Baqarah: 111)

Dipihak yang lain, agama dan akal menjadi konflik sehingga memakan korban yang tidak sedikit.Galileo antara contoh yang terkenal kerana menganggap bumi berputar mengelilingi matahari.Ianya bercanggah dengan pandangan pihak gereja sehinggalah ia dihukum bunuh.Sehinggalah tahun 1992, pihak Vatican membebaskannya dari tuduhan 'murtad'.

Semangat Al-Quran terhadap ilmu dan akal tergambar melalui pengulangan perkataan yang bermuara sekitar-al-fikr, al-nazhr, al-a'ql, al-tadabbur, al-zikr dan lain-lain.

Sepintas Lalu Penyucian Jiwa

Allah SWT merakamkan doa Nabi Ibrahim pada Surah Al-Baqarah ayat 129, supaya dibangunkan seorang Nabi dalam kalangan zuriatnya:

"Wahai Tuhan kami, utuslah untuk mereka seorang Rasul dalam kalangan mereka, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat Engkau, dan mengajarkan kepada mereka Al Kitab (Al Qur'an) dan Al-Hikmah serta menyucikan mereka..."

Ternyata permohonan Nabi Ibrahim AS itu diperkenankan dengan dilahirkan Nabi Muhammad SAW.Kemudian Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Jumua'h ayat 2, membetulkan turutan doa Nabi Ibrahim AS, dengan mendahulukan Tazkiyah (Penyucian) atas Ta'lim (Pembelajaran):

"Dialah (Allah) yang telah mengutuskan dalam kalangan orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, dan menyucikan mereka, serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah..."

Penyucian jiwa dalam Islam ditunjangi oleh akidah yang sahih.Tidak salah sekiranya dikatakan tidak sempurna penyucian jiwa tanpa didahului dengan penyucian akidah daripada syirik dan khurafat.

Ilmu Penyucian Jiwa (Tazkiyyatun Nafs) dikenali oleh kebanyakan umat Islam dengan ilmu Tasawuf.Ulama berselisih pendapat mengenai asal-usul kalimat tasawuf.Bukanlah diruang sempit ini untuk kita membincangkannya.Ada baiknya dinakalkan kalam Prof Dr Yusuf Al-Qaradhawi mengenai tasawuf:

"Sesungguhnya, setiap manusia boleh dipakai pandangannya dan boleh ditolak, kecuali ketetapan dan hukum-hukum dari Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.Kita dapat mengambil ilmu dan hikmah dari para sufi pada bahagian yang murni dan jelas, seperti ketaatan kepada Allah SWT, cinta kepada sesama makhluk, mengetahui kekurangan yang ada pada diri sendiri, mengetahui tipu muslihat dari syaitan dan pencegahannya, serta perhatian mereka dalam meningkatkan jiwa ke tingkat yang murni.Disamping itu, hendaklah menjauhi hal-hal yang menyimpang dan keterlampauan..." 

Wallahua'lam

Jumaat, 19 Ogos 2011

Tazkirah Ramadhan 2

Ketika masih kanak-kanak, guru-guru di madrasah sering menceritakan kisah-kisah ganjil lalu disandarkan kepada Lailatul Qadr.Pokok sujud, air berubah menjadi beku, sungai berhenti mengalir dan lain-lain.Sekalipun kisah-kisah tersebut berselisih dengan akal, tapi ditelan juga dengan penuh rendah hati kerana yang menceritakan itu ustaz & ustazah.

Semakin usia meningkat, kefahaman juga bertambah hasil daripada ilmu & maklumat yang diterima.Demikianlah ilmu membuahkan yakin, menegapkan jiwa, meninggalkan manis di dada-dada penuntutnya.Tidak sedikit dalam kalangan kita yang merombak kebiasaan adat kepada ketulenan syariat justeru kerana keyakinan terhadap ilmu yang dipelajari.
Pokok Sujud

Firman Allah SWT, bermaksud:

"Tidakkah engkau mengetahui bahawa segala yang ada di langit dan di bumi tunduk sujud kepada Allah dan (di antaranya termasuklah) matahari dan bulan, dan bintang-bintang, dan gunung-ganang, dan pokok-pokok kayu, dan binatang-binatang, serta sebahagian besar dari manusia?..."(Surah Al-Haj:18)

"Dan bintang (di langit) serta pokok kayu-kayan, masing-masing sujud (tunduk menurut peraturanNya)."(Surah Ar Rahman: 6)
gambar hiasan

Malam Al-Qadr Lebih Baik daripada 1000 Bulan

Membaca kitab Fathul Bari, karangan Imam Ibnu Hajar Al-A'sqalani.Beliau menakalkan hampir 45 pendapat-pendapat ulama mengenai tarikh Malam al-Qadr.Kepelbagaian pendapat mengenainya menunjukkan ianya suatu yang tersembunyi & tidak diketahui melainkan Allah SWT.

Adapun, Imam An-Nawawi RH membantah pendapat tersebut lalu berkata, "Telah jelas hadis-hadis yang menunjukkan kemungkinan diketahui (tarikh Malam Al-Qadr), dan telah dikhabarkan melalui sebilangan besar para solihin, maka tiada makna barangsiapa yang mengingkarinya."

Ringkasnya, malam Al-Qadr adalah malam yang diturunkan Al-Quran & fadhilatnya lebih baik daripada 1000 bulan.FirmanNYA yang bermaksud:

"Malam Al-Qadr lebih baik daripada 1000 bulan"(Surah Al-Qadr: 3)
 
Surah Al-Qadr diletakkan selepas Surah Al-A'laq dalam mushaf Al-Quran.Umum mengetahui, 5 ayat awal dari Surah Al-Alaq merupakan wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW.Didalamnya, terdapat perintah supaya membaca...maka sebaik-baik bacaan adalah Al-Quran Al-Karim.

Maka, wajar sahaja Allah SWT menyebut kemuliaan malam penurunan (nuzul) Al-Quran, iaitu malam Al-Qadr, sesuai ianya sebagai Kalam Allah yang bermu'jizat lagi mulia.

Syed Qutb dalam Tafsir fi Zilal Al-Quran berkata, "Dan bilangan (seribu) tidak memberi erti keterbatasan (sekadar seribu)...akan tetapi ia menunjukkan bilangan yang banyak (tidak terbilang)..."  

Membaca Al-Quran, menghayati isi kandungannya dan mempraktikkan Al-Quran di dalam kehidupan merupakan kewajipan setiap manusia.Justeru, penurunan Al-Quran yang terkandung didalamnya sekalian kehendak manusia (merangkumi aqidah, ibadah, muamalah dan lain-lain) bukan sahaja lebih baik daripada 1000 bulan, bahkan lebih daripada itu.

Kesimpulan
 
Merujuk kepada kitab Fathul Bari, karangan Imam Ibnu Hajar Al-A'sqalani, dapatlah diketahui bahawa sebilangan besar daripada sahabat, tabi'in & golongon solihin lebih cenderung menyatakan malam Al-Qadr berlaku pada 10 malam terakhir dalam bulan Ramadhan.Diriwayatkan bahawa Nabi SAW mempergiatkan ibadah dengan menghidupkan malam-malam tersebut dengan solat sunat & iktikaf.

Bulan Ramadhan adalah bulan penyucian jiwa.Adapun Lailatul Qadr merupakan anugerah Allah SWT kepada para hambaNYA yang bertuah.Ia datang dihujung-hujung bulan Ramadhan dengan harapan 20 hari yang pertama telah mencukupi bagi insan menyiapkan diri menerima kunjungan suci tersebut.

Demikianlah kebiasaan tetamu kehormat ketika tiba di sesebuah kawasan.Sekian ramai mendambakan kunjungannya, namun bukanlah semua orang disapanya...hanya yang terpilih, sudah tentu yang paling dikasihinya!Ya Allah, golongkanlah kami dalam kalangan mereka....

Saiyidatina Ai'syah RA bertanya kepada Nabi SAW, "Wahai Rasulullah, apakah pandangan tuan sekiranya aku dapat mengetahui Lailatul Qadr, apakah yang harus aku katakan ketika itu?"

Nabi SAW bersabda, "Katakanlah...

 اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ كَرِيمٌ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي 

"Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, suka mengampuni maka ampunilah aku."(Riwayat At-Tirmizi, An-Nasa'i & Ibnu Majah)

Wallahua'lam

Sabtu, 6 Ogos 2011

Tazkirah Ramadhan 1

Seruan mengajak manusia supaya bertaqwa diulang-ulang sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu pada hari Jumaat.Sekian banyak isi kandung bumi ini, luas lagi langit & cakerawala, pesan taqwa juga yang menjadi inti penting perhimpunan mingguan umat Islam.Bahkan menjadi matlamat utama setiap peribadatan dalam Islam supaya umatnya mencapai maqam taqwa.Firman Allah SWT bermaksud:

"Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan mereka yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (tergolong dikalangan hamba-hambaKU) yang bertaqwa."(Surah Al Baqarah:21)

Menghirup udara Ramadhan, berpuasa didalamnya, harus fokus matlamat, bukan sekadar berlapar dan berdahaga...taqwa! 

"Wahai mereka yang beriman, diwajibkan kepada kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas mereka (yang telah datang) sebelum kamu supaya kamu bertaqwa"

Taqwa itu lebih tinggi nilainya daripada daging dan darah haiwan yang kamu korbankan...

"Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal (yang ikhlas berdasarkan) taqwa dari kamu"(Surah Al-Haj:37)

Apatahlagi Al-Quran merakamkan kata-kata Habil, anak Nabi Adam AS, yang menyebabkan sempit dada golongan salaf:

“Hanyasanya Allah menerima (amalan) dari orang-orang yang bertaqwa" (Surah Al-Maidah:27)

Pengertian taqwa banyak dinaqalkan daripada kalam para sahabat Radhiyallahu A'nhum & para ulama.Walaubagaimanapun, definisi taqwa dapat diringkaskan kepada maksud-melaksanakan segala perintah Allah & meninggalkan segala laranganNYA.

Ayuh kita bermuhasabah, sudahkah kita mencapai kehendak taqwa?Berapa ramai dalam kalangan manusia yang berat melaksanakan perintah Allah SWT, ringan pula melanggar perintahNYA...

اللهم أعني على ذكرك وشكرك وحسن عبادتك
"Ya Allah, bantulah kami pada jalan mengingatiMU, bersyukur atas nikmat-nikmatMU, dan keelokan dalam beribadat..."

Bersambung, insyaAllah

Wallahua'lam
 

Isnin, 27 Jun 2011

Unggun Bersih


Semakin lara kita didera bara—
kita laungkan juga pesan merdeka:
Demokrasi sebenderang mentari
sehasrat hajat semurni harga diri.

Lama resah kita—demokrasi luka;
lama duka kita—demokrasi lara.
Demokrasi yang angkuh, kita cemuhi;
suara bebas yang utuh, kita idami!

Dua abad lalu Sam Adams berseru:
(di Boston dijirus teh ke laut biru):
Tak diperlu gempita sorak yang gebu,
diperlu hanya unggun api yang syahdu.

Kini menyalalah unggun sakti itu;
kini merebaklah nyala unggun itu.

24—25, 6.11. A. SAMAD SAID 

rujukan: http://samadsaid.wordpress.com/

Sabtu, 4 Jun 2011

Kemiskinan:Suatu Perbincangan

"Tuan-tuan, saya sangat memerlukan bantuan...bantulah saya..."teriak seorang wanita yang berusia dalam lingkungan 40-50 tahun, selepas para jemaah di Masjid Abdul Rahman  Auf selesai solat.Dia masuk ke ruangan solat lelaki, lalu meminta sedekah.Sesuatu yang jarang berlaku samaada di Malaysia mahupun di Jordan sendiri.

"Saya tiada keluarga..."belum sempat wanita tersebut menghabiskan kalamnya, Tuan Imam menegur perbuatan itu.
"Saya faham, saya faham...tapi adab di masjid.Rendahkan suara puan,"nasihat tuan Imam agar tidak terganggu ketenteraman jemaah yang sedang solat.

Saya tidak berniat untuk menyatakan penyelesaian masalah kemiskinan.Apatahlagi ia isu yang berat dan memerlukan penelitian.Secara pastinya, Al-Quran tidak menyatakan perincian dalam menyelesaikan masalah kemiskinan.Ia bukanlah perkara yang aneh kerana kita sediamaklum Al-Quran dalam masalah peribadatan juga tidak merincikannya melainkan dirujuk pada Sunnah Nabi SAW.

Perbezaan Faqir dan Miskin

Allah SWT berfirman, yang bermaksud: 

Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang faqir, dan orang-orang miskin, dan amilin yang mengurusnya, dan muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan mereka yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang putus bekalan) dalam perjalanan...(Surah At-Taubah:60)

Para ulama membezakan diantara golongan faqir dan golongan miskin.Demikianlah yang dapat difahami berdasarkan kata-kata para sahabat dan tabi'en.Bahkan, Nabi SAW berdoa supaya dijauhkan daripada kefaqiran, bermaksud:

"Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung daripada kekufuran dan kefaqiran..."(Riwayat Ahmad)

Berbeza dengan miskin, Nabi SAW pernah berdoa, bermaksud: 

Ya Allah, hidupkanlah aku dalam kemiskinan dan matikanlah aku dalam kemiskinan dan himpunkanlah aku bersama orang-orang miskin.(Riwayat Tirmizi)

Justeru, golongan faqir lebih buruk keadaannya berbanding golongan miskin.Kefaqiran itu dekat dengan kekufuran sedangkan kemiskinan itu menjadikan manusia berpada (qana'ah) lalu bersyukur dengan apa yang dimilikinya tanpa dibazir-bazirkan.Bagaimanapun, disana ada pendapat ulama' yang berpendapat sebaliknya.

Bertebaranlah di Muka Bumi

Sebahagian dalam kalangan masyarakat Muslim keliru dalam memahami pandangan Islam mengenai kemiskinan.Mereka mengaitkannya dengan kehidupan rohani sehingga menafikan usaha.Pemahaman ini perlu diperbetulkan kerana Islam menganjurkan umatnya berusaha dan bertebaran ke muka bumi Allah untuk mencari rezeki.

"Kemudian setelah selesai solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi, dan carilah (apa yang kamu hajati) dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak, supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)" (Surah Al-Jumua'h:10)

"Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah, nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur..."(Surah An-Nisa': 100)

Justeru, gigihlah berusaha dalam semua lapangan kehidupan kerana bumi ini tidak pernah menurunkan hujan emas.Jika ilmu itu dimiliki dengan hanya berpeluk tubuh maka tidak timbullah kalimah 'jahil'.Adapun soal pembahagian rezeki, maka ia urusan Allah SWT dan Tuhan menjaminnya:

"Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menjamin rezekinya..."(Surah Hud: 6)
 
Bersambung...insyaAllah

Wallahua'lam
_____________________________________


*Alhamdulillah, diberikan peluang untuk menunaikan umrah buat kali kedua.Ketika penulisan ini ditulis, saya dan rakan-rakan akan bertolak ke Mekah dalam lebih kurang 10 jam lagi.

*Penulisan ini akan dipanjangkan lagi, InsyaAllah, memandangkan tajuknya luas, dan masa yang tidak mencukupi.

Jumaat, 27 Mei 2011

Syeikh Mutawalli al-Sya'rawi

Syeikh Muhammad Mutawalli al-Sya’rawi dilahirkan pada 15 April 1911 di Daqadus, daerah Mit Ghamir, Negeri Daqaliyyah, Mesir. Beliau tamat menghafaz al-Quran ketika berusia 11 tahun. Pada tahun 1916, beliau telah memasuki Sekolah Rendah Zaqaziq dan berjaya memperolehi Sijil Sekolah Rendah pada tahun 1923 dan kemudiannya memasuki sekolah peringkat menengah. Beliau terkenal dengan seorang yang sukakan syair dan kesusasteraan Arab sehingga rakan-rakannya melantik beliau menjadi Ketua Persatuan Pelajar dan Ketua Persatuan Kesusasteraan di daerah Zaqaziq.

Syeikh Mutawalli menggambarkan kampungnya yang begitu indah dengan pemandangan, subur dengan tanaman hijau-hijauan di perlembahan Sungai. Nil. Nama penuhnya ialah Muhammad bin Mutawalli al-Sya’rawi al-Husaini yang nasab keturunan bapanya sampai kepada Imam Husain bin Ali k.w.
 
Satu peristiwa yang terpenting dalam hidupnya, yang merubah segala-galanya apabila keinginan bapanya untuk meminta beliau melanjutkan pelajaran ke al-Azhar di Kaherah sedangkan beliau hanya ingin tinggal bersama-sama saudaranya di kampung dan menjadi petani. Menurutnya, tidak ada bagi seorang kanak-kanak cita-cita atau keinginan tertentu. Baginya hanya apa yang ada di sekeliling iaitu untuk menjadi petani dan bekerja di situ. Tetapi keinginan ayahnya yang inginkan beliau belajar di Kolej al-Azhar apabila beliau telah tamat menghafaz al-Quran. Namun keinginan beliau untuk menjadi petani menjadikannya membuat berbagai helah agar tidak masuk ke Kolej al-Azhar.

Beliau telah memasukkan habuk tanah ke dalam matanya agar menjadi rabun dan ditolak semasa peperiksaan kesihatan. Namun helah ini tidak berjaya kerana kolej itu menerima orang buta. Helah kedua ialah gagap dan berbuat lupa ketika ujian hafalan al-Quran. Namun guru tersebut tetap menerimanya sebagai pelajar. Helah ketiga ialah meminta ayahnya membeli kitab-kitab yang besar dan mahal harganya di kedai dengan mengatakan ini adalah silibus kolej. Lalu dibeli oleh ayahnya. 

Apabila pulang ayahnya berkata : “ Wahai Amin (gelaran yang diberikan oleh ayahnya), janganlah kamu menyangka aku lupa bahawa semua buku-buku tersebut bukanlah silibus untuk kamu. Harga buku silibus kamu tidak sampai 37 Qurush sahaja. Tetapi wahai anakku, semoga Allah memanfaatkan kamu dengan buku-buku ini.”

Antara buku-buku karangannya :

1. Tafsir al-Sya’rawi
2. al-Isra’ wa al-Mi’raj
3. al-Islam wa al-Fikr al-Mu’asir (Islam dan Pemikiran Semasa )
4. al-Islam wa al-Mar’ah (Islam dan wanita)
5. al-Tariq ila Allah (Jalan Menuju Allah)
6. al-Fatawa
7. Mu’jizat al-Qur’an
8. Min Fayd al-Rahman (Dalam Limpahan al-Rahman)
9. al-Qada’ wa Qadar
10. al-Salat wa Arkan al-Islam.(Solat dan Rukun-Rukun Islam)
11. Nazarat fi al-Qur’an (Pandangan-Pandangan al-Quran)
12. Haza Huwa al-Islam (Inilah Islam)
13. al-Hayat wa al-Maut
14. Al-Taubat
15. al-zalim wa al-zalimun (Zalim dan orang-orang Zalim)
16. Sirah al-Nabawiyyah

Semoga Allah SWT merahmati beliau dan menempatkannya dalam kalangan hamba-hambaNYA yang soleh.

_____________________________________
*Tersenyum bila baca helah-helah Syeikh Sya'rawi...
*Panggilan ayahnya pada beliau 'Amin'...:)
*Tarikh lahir sama...15/4
*Saya peminat kitab-kitab Syeikh Sya'rawi semenjak di Maktab Mahmud Alor Star.
*Sumber: http://www.flickr.com/photos/22916529@N02/2200626482/
 

Rabu, 25 Mei 2011

Kalau Sudah Meminjam...

Saya mulakan penulisan ini dengan mengajak pembaca sekalian, marilah kita 'beriman' sejenak...tinggalkan segala pemikiran kotor anda yang gelap pekat dengan hawa nafsu.Semoga Allah melapangkan dada dan menyucikan qolbu kita agar mudah menangkap cahaya kebenaran.Amin.

Segala yang ada pada diri kita hari ini hanyalah pinjaman.Tangan yang menulis, mata yang memerhati, kaki yang berjalan, telinga yang mendengar, masa yang berdetik dan segalanya, yang tidak akan selesai dihitung, kelak disoal oleh Allah SWT di padang Mahsyar.FirmanNYA:

"Kemudian, kamu pasti akan ditanya pada hari tersebut tentang segala nikmat (yang telah kamu kecapi)"(Surah At-Takathur:8)

Maka, adat orang yang meminjam itu berhutang budi dengan si pemberi pinjam.Dijaga benar barang yang dipinjam dengan teliti, tidak dirosakkan, apatahlagi menyalahgunakan pada kemurkaan tuan pemilik barang.Adakalanya resah si peminjam dengan barang yang dipinjamnya, sekalipun dia amat memerlukan.

"Selesai urusan ini cepat-cepat ingin dipulang pada Si Fulan (tuan pemilik barang),"tegas dalam hati.

Bagaimana pula urusannya dengan Allah?Tidakkah sepatutnya kita lebih cermat???Bukankah semua yang dipinjamkan pada kita itu lebih bernilai daripada emas dan berlian?Silakan gadai sebelah anggota anda dengan seuncang emas...aduh, mahalnya pemberian Tuhan walau sebiji mata!
Mintalah 'fatwa' dari fitrah nurani anda atas apa yang telah dilakukan!Jawapannya ada pada kita...samaada kita suka atau tidak!Berbohonglah dengan 1000 manusia, anda tidak mampu berbohong dengan diri sendiri.

Mohonlah keampunan daripada Allah SWT dan kemaafan daripada manusia sekiranya telah terlanjur menyalahgunakan nikmat kurniaan yang dipinjamkan, sesungguhnya DIA lah Yang Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang... 

Penutup 

Hidup tidak lama, usia yang meningkat menandakan 'peruntukan' makin berkurang...silap percaturan, muflis besar kita di akhirat nanti.Maka, saya berpesan dengan sebaik-baik pesanan...bertakwalah kepada Allah!

"Dan hendaklah kamu membawa bekal (dengan cukupnya) kerana sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu ialah taqwa (melaksanakan segala perintahNYA dan meninggalkan laranganNYA)..."(Surah Al Baqarah:197)

Wallahua'lam
_______________________________
*Tak puas hati dengan media massa dan media cetak kerana menyiarkan khabar-khabar yang tidak patut disiar.Lebih malang, sebahagian khabar-khabar penting tidak pula disebarkan sebagaimana selayaknya.

*Orang yang belajar agama (kurang setuju istilah agamawan kerana tiada istilah agamawan dalam Islam, kata Dr. Sultan U'kaylah) jangan tiru perangai macam itu.





Isnin, 16 Mei 2011

Selamat Hari Guru




Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979

#video Hari Guru abang-abang dan kakak-kakak Batch 53 KISAS...

Isnin, 9 Mei 2011

Secebis Hikmah Al-Kahfi

Allah SWT memuji diriNYA di penghujung Surah Al-Isra', yang bermaksud:

"Dan katakanlah, "Segala puji tertentu bagi Allah yang tiada mempunyai anak, dan tiada bagiNya sekutu dalam urusan kerajaanNya, dan tiada bagiNya penolong disebabkan sesuatu kelemahanNya dan hendaklah engkau membesarkan serta memuliakanNya dengan bersungguh-sungguh”(Surah Al-Isra':111)

Kemudian memulakan Surah Al-Kahfi dengan memuji diriNYA sekali lagi:

"Segala puji bagi Allah yang telah menurunkan kepada hambaNya (Muhammad), Kitab suci Al-Quran, dan tidak menjadikan padanya sesuatu yang bengkok (terpesong)"(Surah Al-Kahfi:1)

Justeru, kita sebagai hamba Allah diajak sentiasa berzikir, memuji Allah sekalipun tidaklah sama pujian makhluk kepada Allah, dengan pujian Allah pada diriNYA.Nabi SAW bersabda:

سبحانك لا نحصي ثناء عليك، أنت كما أثنيتَ على نفسك

Maha suci Kamu (ya Allah), tidaklah kami (mampu) menghitung puji-pujian (yang layak) bagiMu, sebagaimana Engkau memberikan pujian atas ZatMu.

Pujian & Sindiran untuk Anak Muda

Usia yang meningkat tidaklah bermakna kematangan seseorang kian meningkat.Apatahlagi dalam soal keimanan.Kayu ukur keimanan bukanlah terletak pada usia, tetapi kepercayaan yang teguh.Allah SWT memuji pemuda Ashabul Kahfi melalui firmanNYA, yang bermaksud:

"Sesungguhnya mereka pemuda-pemuda yang beriman dengan Tuhan mereka, dan Kami tambahkan (pada mereka) hidayah (petunjuk)"(Surah Al-Kahfi:13)
 
Anak-anak muda, mereka bukan sahaja mempunyai kecergasan fizikal bahkan memiliki keazaman dan kehendak yang tinggi.Maka tidak hairanlah apabila kita mendengar pidato bekas Presiden Indonesia, Soekarno, yang menunjukkan pentingnya kekuatan anak muda dalam menjayakan apa jua bidang:

"Berikan aku 1000 orang tua, niscaya akan kucabut semeru dari akarnya, berikan aku seorang anak muda, niscaya akan kuguncangkan dunia.”

Malangnya, sebahagian daripada masyarakat memandang rendah terhadap keupayaan para pemuda.Dikaitkan mereka dengan 'darah muda', semangat 'tak tentu punca', dan banyak lagi sindiran yang mengecilkan golongan ini.Hal yang sama berlaku pada Nabi Ibrahim AS ketika mengajak kaumnya kepada ajaran Tauhid:

"Mereka berkata: "Kami ada mendengar seorang anak muda yang dipanggil Ibrahim, mencacinya (berhala-berhala kami)"(Surah Al Anbiya':60)

Nama Pemuda-Pemuda Al-Kahfi

Allah SWT tidak menyebut nama pemuda-pemuda Al-Kahfi, malahan bilangan mereka juga tidak diperincikan dalam Al-Quran.Demikian juga yang berlaku pada kisah-kisah yang lain dalam Al-Quran.Kebanyakan nama-nama yang disebut didalam Al-Quran berbentuk gelaran dan tidak khusus seperti Abu Lahab, Firaun, ibu Musa, perempuan Lut dan lain-lain.

Syeikh Mutawalli Sya'rawi berkata, "Demikian adalah kerana watak-watak ini berulang-ulang pada setiap zaman dan tempat...kisah-kisah yang diletakkan adalah relevan bagi setiap ketika, tanpa mengira dimana kamu berada"(Mu'jizat Al-Quran:Jilid 2)

Berbeza dengan peristiwa yang berlaku pada Maryam, ibu kepada Nabi Isa AS.Beliau melahirkan anak tanpa disentuh oleh mana-mana lelaki.Maka, Allah SWT menyebut nama Maryam dengan lengkap dan khusus:

"Dan Maryam binti Imran yang telah memelihara kehormatan dan kesuciannya (dari disentuh oleh lelaki)..."(Surah At-Tahrim:12)


Hikmahnya, supaya tiada lagi manusia selepas ini yang mendakwa peristiwa yang sama berulang kepada dirinya seperti yang berlaku pada Maryam.
Wallahua'lam







Rabu, 20 April 2011

Muhammad Ali's Quotes

1.I believe in the religion of Islam. I believe in Allah and peace.

2.A man who views the world the same at fifty as he did at twenty has wasted thirty years of his life.

3.A rooster crows only when it sees the light. Put him in the dark and he'll never crow. I have seen the light and I'm crowing.

4.Age is whatever you think it is. You are as old as you think you are.

5.Friendship... is not something you learn in school. But if you haven't learned the meaning of friendship, you really haven't learned anything.

6.Hating people because of their color is wrong. And it doesn't matter which color does the hating. It's just plain wrong.

7.He who is not courageous enough to take risks will accomplish nothing in life.

8.I am the greatest, I said that even before I knew I was.

9.I hated every minute of training, but I said, "Don't quit. Suffer now and live the rest of your life as a champion."

10.I wish people would love everybody else the way they love me. It would be a better world.

11.Service to others is the rent you pay for your room here on earth.

12.There are more pleasant things to do than beat up people.

13.Silence is golden when you can't think of a good answer.

14.Wars of nations are fought to change maps. But wars of poverty are fought to map change.
 
Rujukan: di sini

Jumaat, 15 April 2011

Jangan Buang Masa

Sama ada suka atau tidak, setiap detik manusia menghampiri ajalnya.Disaat mereka bergelak ketawa, kain kapan sedang ditenun untuk mereka, buat pakaian berjumpa Tuhan.Ajal tidak pernah mensyaratkan sakit ataupun tua.

Justeru,tidak keterlaluan sekiranya kita berkata bahawa mereka yang mengingati mati itu adalah golongan cerdik.Wawasan mereka lebih jauh melangkaui wawasan sejengkal ciptaan manusia.

Oleh yang demikian, tiadalah hari-hari yang dilalui manusia melainkan untuk bekalan akhirat.Sama sekali tiada masa untuk melakukan perkara sia-sia, apatahlagi berbuat dosa.Hidup kita terlalu singkat untuk mencari-cari keburukan orang, sedangkan diri kita masih banyak kekurangan.

Imam Syafie RH berkata, "Dunia itu sesaat, maka gunakanlah ia pada jalan taat"
Renungan Sebentar

Marilah meluangkan masa ke kedai-kedai buku, atau perpustakaan.Carilah buku-buku yang meriwayatkan kisah-kisah hidup tokoh yang hebat sepanjang ketamadunan manusia.Anda akan dapati, manusia akan membacanya dalam tempoh yang sangat singkat.Andaikan sahaja setahun tempoh maksimumnya...

Demikianlah singkatnya hakikat hidup manusia, mungkin tidak lebih setahun.

"(Sangatlah dahsyatnya huru-hara hari itu, sehingga orang-orang yang bersalah merasa) pada masa melihatnya, seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu petang atau paginya sahaja."(Surah An-Nazia't:46)

Rugilah sekiranya amal-amal yang dilakukan kerana mengharap sesuatu daripada manusia.Maka, Surah Al-A'sr awal-awal lagi berpesan dengan kepentingan iman, supaya manusia tidak jatuh ke lembah syirik  sama ada besar atau kecil (riya'):

"Sesungguhnya manusia itu pasti dalam kerugian.Melainkan golongan yang beriman dan beramal soleh..." (Surah Al-A'sr:2-3) 

Dunia Tempat Bersusah-Payah

Berakit-rakit ke hulu,
Berenang-renang ke tepian,
Bersakit-sakit dahulu,
Bersenang-senang kemudian.

Menyelak kisah kesungguhan ulama zaman silam menuntut ilmu menyebabkan kita rendah diri dan malu.Kemajuan zaman ini dalam bidang teknologi, bahkan dunia yang semakin sempit dengan kemudahan komunikasi dan kenderaan pantas masih belum mampu menandingi ketinggian ilmu mereka.

1.Al-Mua'fi b. Zakaria berkata, "Aku berjumpa Ibnu Thabari RH beberapa jam sebelum kewafatannya.Maka ketika disebut dihadapannya doa Jaafar As-Sodiq RH, beliau dengan segera meminta pena dan kertas lalu menulisnya.

Aku berkata padanya, "Adakah kamu sedang menulis ketika dalam keadaan (tenat) seperti ini?"

Ibnu Jarir At-Thabari menjawab, "Seharusnya manusia tidak meninggalkan kewajipan menuntut ilmu sehingga sampai detik kematian."

2.Ibnu A'qil Al-Baghdadi berkata, "Sesungguhnya aku tidak menghalalkan sedetik dari umurku untuk dicuaikan sekalipun lidahku kelu untuk meneruskan hafalan dan mataku penat menatapi patah tulisan, aku akan berusaha menggerakkan fikiranku dengan memikirkan sesuatu permasalahan, aku tidak akan berasa lega dan berpuas hati melainkan setelah aku mendapati jalan penyelesaiannya.

3.Imam Fakhruddin Ar-Razi berkata, "Demi Allah, sesungguhnya aku benar-benar menyesal kerana tidak dapat menyibukkan diri dengan ilmu pada waktu makan.Sesungguhnya masa itu adalah sesuatu yang sangat agung.

4.Imam Al-Haramain diceritakan tidak memperuntukkan masa makan dan tidur dalam hidupnya.Beliau makan ketika benar-benar lapar, tidak tidur sehingga benar-benar mengantuk.

5.Bahkan umur-umur ulama seperti Imam Nawawi, 45 tahun, Imam Al-Ghazali, 53 tahun dan Hasan Al-Banna, 43 tahun, sangatlah singkat berbanding jasa yang disumbangkan kepada dunia Islam.

Benarlah bahawa ilmu itu milik bagi mereka yang bersusah-payah mencarinya.

Allah Maha Agung, mengatur hidup manusia dengan penuh hikmah.Ketika keangkuhan Husni Mubarak dijatuhkan oleh himpunan rakyat, baru-baru ini, nama Hasan Al-Banna disebut-sebut sempena tarikh kesyahidannya...nafas dakwahnya masih panjang sekalipun jasad dikandung tanah.

#Rujukan: Qiimatuz Zaman I'ndal Ulama', Abdul Fattah Abu Ghuddah.
Penutup

Umat Islam akhir zaman telah menzalimi diri mereka dengan mencuaikan masa & umur yang dikurniakan Allah SWT.Mereka bukanlah pengejar dunia yang berjaya, bukan juga penuntut akhirat yang taat beribadat.Akibatnya, mereka menanggung kemunduran yang memalukan.Menjadi tanggungjawab bagi semua umat Islam, beriltizam dengan agama, memanfaatkan masa dan umur buat hari esok yang pasti tiba.

"Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan hendaklah setiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat)..."(Surah Al-Hasyr:18)

15 April 2011, 19 tahun.

Wallahua'lam

Rabu, 6 April 2011

Belajar dengan Alam

Rasulullah saw. bersabda, "Perumpamaan orang beriman itu bagaikan lebah...
 
"Ia makan yang bersih mengeluarkan sesuatu yang bersih, hinggap di tempat yang bersih dan tidak merosak atau mematahkan (yang dihinggapinya)"(Al-Hakim)
 
Jangan jadi seperti lalat...suka hinggap di tempat-tempat kotor.
Jaga diri kita:

1)Jangan suka cari keburukan orang.
2)Jangan suka mencari & berhimpun di tempat-tempat keji.

Suka mencari keburukan orang dan suka 'hinggap' ditempat-tempat/laman-laman web 'kotor' merupakan perangai lalat...

Tirulah budaya kerja semut...disiplin dan kuat semangat, walaupun tubuhnya kecil.
Kalau semut mampu berbicara mungkin kita akan mendengar ia berkata,"Aduh, malasnya manusia...curi tulang."

Ulangkaji Kita Untuk Hari Ini

Ambil sekeping kertas dan sebatang pen, lihat gambar dibawah.Renung dengan sedalam-dalamnya...










Dalam masa 5 minit senaraikan manfaat haiwan ini kepada manusia keseluruhannya...Jika sudah selesai lihat gambar dibawah, dan anggaplah ia gambar anda.

Dalam masa 5 minit, senaraikan manfaat anda kepada manusia keseluruhannya...Kemudian bandingkan, manakah yang lebih banyak manfaatnya kepada orang ramai.Anda atau lembu?Selamat mencuba.

Wallahua'lam

Khamis, 31 Mac 2011

Membangun Ego Umat

Seingat-ingat saya, sudah 2 kali buku 'Melayu Baru'-karangan Tan Sri Muhammad Hj Muhd Taib, saya khatamkan di Malaysia.Berlepas diri daripada menghukum peribadi tokoh kontroversi ini, namun ternyata pengarang yang juga bekas MB Selangor & bekas Naib Presiden UMNO itu telah menumpahkan idea yang sangat bermanfaat bagi mereka yang membacanya.

Baru-baru ini, saya ditanya tentang profil picture di FB, Tom & Jerry, menyebabkan saya teringat dengan salah satu noktah penting dalam buku tersebut-'Membangunkan Ego Bangsa'.
 
Ego dan Izzah 

Keegoan yang dimaksudkan bukanlah bersifat 'kesyaitanan', menolak kebenaran sekalipun sudah mengetahuinya.Seolah-olah pengarang cuba untuk menyifatkan ego itu dengan firman Allah SWT: 

"Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman, ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila disapa golongan jahil (kerana menolak kebenaran) kepada mereka, mereka berkata 'salam'"(Surah Al-Furqan:63)

Mereka berasa 'izzah' dengan jalan hidup Islam, firman Allah SWT:

"Mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap mereka yang beriman dan berlaku izzah (tegas & gagah) terhadap golongan kafir, mereka berjuang (bersungguh-sungguh) pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela."(Surah Al-Maidah:54)

Bangsa Eropah telah menerapkan sikap keegoan ini pada anak-anak kecil mereka melalui kartun-kartun yang ditayangkan.Lihat sajalah pada kartun Tom & Jerry.Watak si kucing yang besar, namun bodoh dan gopoh, sering pula dibuli oleh si tikus yang kecil tapi bijak, menjadi tema utama kartun ini.Demikianlah yang kita lihat pada dunia Islam masa kini.Yahudi bermaharajalela di bumi Palestin, sedangkan umat Islam di sekelilingnya bukanlah sedikit.

Hiltler menerapkan keegoan bangsanya dengan menganut fahaman Darwinisme (rujuk bukunya-Mein Kampf).Diktator ini menganggap bangsa selain darinya adalah kera yang layak sahaja dibunuh.Maka tidak hairanlah diserangnya negara Austria, Perancis & Rusia.Hitler membunuh mereka yang cacat & berpenyakit kerana mengganggap mereka sebagai parasit masyarakat.

Tamadun Apa? 

Dalam awal abad ke-15, Barat mengelilingi dunia dengan berslogankan "Beban Orang Putih (White Man's Burden)" dan "Tugas Menyebarkan Tamadun".Slogan ini dicanang diseluruh negara yang ingin didominasi termasuk wilayah umat Islam yang berada di bawah pemerintahan Khilafah Uthmaniyah.Tamadun apa yang ingin disebarkan Barat?Eropah ketika itu sangatlah jijik berbanding umat Islam yang menghadapi zaman emasnya.

"Semasa tempoh ini, sungai-sungai di dua bandar utama Eropah, London dan Paris, telah menjadi pembetungan terbuka."(Rujuk:Savas & Kahn)

Keadaan kotor di bandar-bandar tersebut mengakibatkan penyakit dan kematian yang menjadi-jadi di Zaman Pertengahan. Bahan buangan dan najis akan menjadi makanan untuk tikus-tikus yang akan membawa pepijat dan kutu-kutu yang berpenyakit kepada manusia.

"Penyakit yang berkaitan dengan bahan buangan manusia telah mengakibatkan kematian beribu-ribu manusia di Zaman Pertengahan. Ini meliputi disentri, tifus (yang datang daripada sanitasi yang tidak baik dan boleh berjangkit) dan demam kepialu (daripada najis dan air kencing manusia)"(Rujuk:Kahn 2000:124).Bangsa Eropah membuang najis-najis buangan mereka kebelakang rumah dan sungai-sungai.

Tan Sri Muhammad Muhd Taib juga berpendapat Firaun membina piramid bagi membangunkan ego bangsanya.Diatas titik ini, pengarang cuba menjustifikasikan pembinaan Menara Berkembar Petronas diatas dasar yang sama.Secara peribadi, saya tidak bersetuju dengan fahaman ini.Firaun membina piramid tersebut diatas keringat kelompok yang tertindas.Manfaatnya bukanlah kembali kepada mereka bahkan hanya sekelompok 'tertentu' dari bangsanya.Yang ego itu kelompok 'itu' bukan bangsanya!

Kesimpulan

Membangunkan ego umat ini bukanlah dengan bangunan, bukanlah dengan penganiyaan seperti Hitler, bukan juga dengan semangat dangkal 'kamikaze' dan lain-lain...bukan!!!

Kembalilah kepada semangat jihad, mencintai Allah & RasulNya.Bangunkanlah generasi Al Quran yang telah dibina oleh Nabi SAW dan para sahabat.Generasi yang telah hilang pada masa kini sedangkan Al-Quran masih ditangan kita dan tintanya masih kekal buat pedoman untuk kita.

"Bagi Allah jualah kemuliaan dan bagi RasulNya serta dan orang-orang yang beriman, akan tetapi golongan yang munafik itu tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya)."(Surah Al Munafiqun:8)

Wallahua'lam
-------------------------------------------------------------
#Selepas ini nak baca buku Pas Baru, Dr Mujahid Yusuf Rawa.

Selasa, 22 Mac 2011

My Mother

Sunyi pagi tanpa cerita,
Riuh malam dengan reriang,
Walau berada jauh di mata,
Pesanan ibu tetap terngiang.

Anak ikan dalam balang,
Tidak banyak berenang sendiri,
Sakit melahirkan bukan kepalang,
Melihat anak wajah berseri.

Anak rubah dipanggang api,
Dimakan oleh orang Iban,
Penat lelah tolak ke tepi,
Demi anak rela berkorban.

Pergi ke pekan membeli laici,
Singgah berehat bersama teman;
Marahnya bukan marah membenci,
Sebagai nasihat jadikan pedoman.

Ulam pegaga tumbuh melata,
Tumbuh banyak di laman depan;
Emas permata tiada dipinta,
Kejayaan anak menjadi harapan.

Buat rumah dari kayu-kayan,
Masak bersama ikan keli;
Harta melimpah bukan impian,
Selaut kasih lebih bererti.

Pedas rasanya cabai Melaka,
Masak bersama ikan keli,
Sekali hatinya terguris luka,
Nikmat syurga jauh sekali.

Menanam kenanga di tepi pagar,
Kenanga hidup sungguh subur,
Nasihat ibu jangan dilanggar,
Mengharap berkat hingga ke kubur.

Gadis desa menjahit kebaya,
Jarum diguna tertusuk jari,
Walau sudah dimamah usia,
Pengorbanannya dilupa jangan sekali.

Si murai sibuk mengutis padi,
Padi dijemur di tepi huma,
Berkata 'ah' jangan sekali,
Syurga itu di bawah telapak kakinya.

Serai serumpun sirih sejunjung,
Diletak orang di tengah laman,
Kasih ibu tiada penghujung,
Menjadi sanjungan ke akhir zaman.

Ahad, 20 Mac 2011

Nota Ringkas Untuk Diri

Islam adalah agama fitrah yang bersumberkan Al Quran dan Sunnah Nabi SAW.Risalahnya datang bukanlah me'rupa-paras'kan manusia kepada malaikat.Manusia adalah manusia, unsurnya tanah dan roh, dikurniakan akal dan nafsu.Allah SWT berfirman dalam Al Quran:

"Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak..."(Surah Ali Imran:14)

Nabi SAW bersabda:

"Setiap anak Adam melakukan kesilapan, dan sebaik-baik mereka yang melakukan kesilapan adalah yang bertaubat"(Riwayat Tirmizi)

Manusia diciptakan Allah SWT dalam keadaan lemah.Mereka tiada upaya membezakan hak dan batil, lemah menolak kemungkaran dan melaksanakan ketaatan (sekalipun mampu).Lalu agama ini mensyariatkan solat, didalamnya mereka memohon jalan yang lurus...
"Tunjukilah kami jalan yang lurus."(Surah Al Fatihah:6)

Ya, berpegang teguhlah pada jalan ini!!!Tiada jalan lain yang akan membawa kamu bahagia melainkan jalan yang telah ditempuh para Nabi, siddiqin, syuhada' dan solihin.
 
Namun begitu, jalan yang lurus itu kadangkala sempit, sehingga sukar untuk berpijak diatasnya...adakalanya luas sehingga manusia berbolak balik kekiri dan kanan.Istilah 'istiqamah' yang disebut-sebut bukanlah mudah seperti yang disangka.

Mujurlah, setelah diperintahkan supaya istiqamah, lalu Allah SWT membuka pintu keampunan dan meminta hambaNYA supaya beristighfar:

"Maka hendaklah kamu tetap teguh di atas jalan yang betul, serta pohonlah kepadaNya keampunan (atas dosa-dosa kamu yang telah lalu)"(Surah Fussilat:6)

Sejijik manapun insan, mereka masih mengharapkan belas kasihan daripada Tuhan.Dipasak kuat dalam hati bahawa "Rahmat Allah jauh lebih luas daripada kemurkaanNYA".Bersangka baik manusia terhadap Tuhan, maka ketahuilah sangka baik itu tidak sia-sia...

"Aku diatas sangka baik hambaKU keatasku..."(Riwayat Bukhari & Muslim)

Imam Al-Ghazali RH berkata:

"Ketahuilah, sesungguhnya 'teman' yang tidak akan berpisah dengan anda, pada setiap pertemuan dan permusafiran, dalam tidur dan bangun, bahkan pada hidup dan mati kamu...adalah Allah."(Bidayatul Hidayah)

Wallahua'lam