Ketika artikel ini ditulis, para jemaah haji yang berada di Mekah sedang berhimpun di padang Arafah untuk berwuquf.Semoga Allah menerima ibadah mereka.
Perhimpunan manusia itu berbagai bentuk rupanya dan beragam pula tujuannya.Sebahagian manusia berhimpun untuk mendengar dan mencari-cari kelemahan manusia yang lain.Ada yang berhimpunan untuk berseronok dan berhibur kerana keduniaan semata-mata.Tidak kurang juga yang berhimpun untuk mendapat habuan dunia yang sedikit.Demikianlah ragam perhimpunan manusia dunia.
Berbeza dengan perhimpunan umat Islam di Padang Arafah.Mereka berhimpun sambil melihat dan bermuhasabah kelemahan sendiri.Betapa diri ini sangat kerdil, hina dan berlumuran dengan dosa di sisi Tuhan Yang Maha Berkuasa.Jauh di sudut hati mereka, apa yang dipandang hina manusia terhadap mereka selama ini, apa yang dikeji-keji orang sebenarnya jauh lebih baik daripada diri mereka yang sebenar.
Bersyukur kepada Allah yang masih menutup keaiban kami sedangkan kami tidak pernah memohonnya selama ini.
Perhimpunan manusia dunia selalunya bertujuan untuk mempamerkan keindahan pakaian masing-masing.Mereka berlumba-lumba untuk menunjukkan pakaian yang paling eksklusif dan mewah bahkan sehingga tidak dipeduli halal dan haramnya.
Berbeza dengan jemaah haji yang berada di Mekah.Kain putih yang tidak berjahit dipakai oleh seluruh umat Islam yang mengerjakan haji.Tiada bezanya antara mereka yang kaya dan miskin, pemerintah dan rakyat, ulama dan awam...semuanya serupa di sisi Allah seperti gigi-gigi sikat.
Sebahagian daripada perhimpunan manusia dunia juga atas nama kelompok, puak dan bangsa.Mereka bersepakat dalam melakukan tipu-daya pada kelompok yang tidak sependapat dengan mereka.Mereka seronok dengan kelemahan manusia yang lain...berhasad pula sekiranya disebut-sebut orang kebaikan kelompok lawannya.
Sikap mereka tidak ubah seperti seekor lalat.Suka melihat perkara yang kotor-kotor dan menghinggap pula pada barang yang busuk-busuk.
Perhimpunan di bumi Mekah atas nama agama dan ibadah.Islam melihat perbezaan warna kulit dan bangsa bukanlah untuk saling berselisih, namun untuk saling mengenali.Penilaian Allah terhadap manusia sangat subjektif-ketaqwaan-.
"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)".(Surah Al-Hujurat:13)
Maka, jangan dihina manusia sekalipun buruk di mata kita.Siapa tahu, yang dihina itu sangat tinggi darjatnya di sisi Allah bahkan mungkin dipuji-puji oleh makhluk Allah yang lain di langit.
Allah berfirman dalam Al Quran untuk menjelaskan tujuan pokok perhimpunan di bumi Mekah:
“Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.
“Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.(Surah Al Haj:27-28)
“Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.(Surah Al Haj:27-28)
Ketahuilah suatu masa nanti kita juga akan berhimpun di dalam perhimpunan yang paling besar, di padang mahsyar.Ketika itu, manusia yang berhimpun ketika di dunia atas tujuan kemungkaran adalah manusia yang paling menyesal.
Wallahua'lam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan