Rabu, 17 November 2010

Secebis Hikmah Ibadah Korban

Ketika blog ini ditulis, umat Islam yang berada di Malaysia baru meraikan Hari Raya Aidil Adha.Saya terlebih dahulu mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam khususnya kaum keluarga, guru-guru serta rakan-rakan yang mengenali saya.Kullu a'min waantum bikhair...

Ibadah korban disyariatkan sebagai mana firman Allah dalam Al Quran:

Maka solatlah kerana Rabbmu dan berkorbanlah (Surah Alkauthar:2) 

Terdapat beberapa hikmah dan pengajaran dalam  ibadah korban  yang wajar diketahui tetapi saya hanya ingin menfokuskan 2 perkara penting untuk manfaat kita bersama:

1.Sesungguhnya ibadat di dalam Islam saling berkaitan dengan soal kemasyarakatan (sosial).Agama ini seolah-olah tidak memberi tempat kepada golongan individualistik walau atas nama kebaikan sekalipun.

Dengan sebab itu sekiranya dirujuk pada kitab-kitab Feqah maka kita akan menjumpai 1/3 daripada pembahagian daging korban diberikan kepada orang kaya.Timbul persoalan, kenapa orang kaya yang diberikan?

Demikianlah namanya agama.Kadangkala hikmah agama itu berselisih dengan akal sempit manusia.

Seolah-olah agama ingin berkata,"Susah kita hadapi bersama, yang senang kita nikmati.Aku (orang kaya) dan kamu (orang miskin), kita adalah sama di sisi Allah.Yang membezakan kita adalah taqwa".Jika begitu sikap agama dalam mendidik manusia, maka umat Islam sepatutnya adalah umat penyayang!

Tidak ada umat Islam yang mendokong sistem kapitalime-yang miskin kian miskin yang kaya semakin kaya.Hidup di negara seperti ini tidak ubah seperti haiwan di hutan.Sang raja rimba pemakan daging semakin berkuasa, rakyat pemakan tumbuhan hidup merana. 

Maka hidup bernegara akan aman di bawah naungan Allah sekiranya pemerintahnya adil dalam pentadbiran, golongan kayanya pemurah dengan harta dan doa orang miskin yang qonaah dalam hidupnya.
“Tidak patut dinamakan beriman, orang yang tidur malam dalam keadaan kenyang sedang jiran yang berada berhampirannya dalam keadaan lapar, sedangkan ia mengetahuinya.” (Hadis riwayat Tabrani dan Baihaqi)

2.Selain itu, tiada istilah 'bernilai' sekiranya yang meminta itu Allah.Inilah secebis erti pengorbanan yang dilalui oleh Nabi Ibrahim AS dan anaknya Nabi Ismail AS walaupun pengorbanan yang dilalui mereka itu sangat besar nilainya untuk digambarkan, hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

Kalimah ' Ibrahim' menurut keterangan Imam Al Mawardi berasal daripada Bahasa Suryani yang rumpun asalnya bersamaan dengan Bahasa Arab.Ib sama ertinya dengan perkataan abun dalam Bahasa Arab yang bererti bapa.Rahim sama ertinya dengan rahim dalam Bahasa Arab yang bererti penyayang.(Rujuk Tafsir Al Azhar Juzuk 1, Prof Dr HAMKA)

Harus diketahui bahawa Nabi Ismail dilahirkan hasil hubungan Nabi Ibrahim dengan Sayyidah Hajar.Isteri pertama Nabi Ibrahim, Sayyidah Sarah merupakan wanita mandul.Sebahagian ulama mengatakan bahawa Nabi Ismail AS dilahirkan ketika Nabi Ibrahim AS berumur 86 tahun.

Penantian yang lama, kemudian diperintah untuk mengorbankannya, maka diterima dengan hati yang penuh tenang oleh Nabi Ibrahim AS cukup untuk menggambarkan ketabahan seorang Nabi dalam mentaati perintah Allah.Maka tidak hairanlah Allah melantik baginda untuk menjadi Imam setelah sempurna menempuh uijan-ujian sebagaimana dalam firmanNya: 

Dan (ingatlah) tatkala telah diuji Ibrahim oleh TuhanNya dengan beberapa kalimat, maka telah dipenuhi semuanya.Dia(Allah) pun berfirman: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan engkau Imam bagi manusia.Dia(Ibrahim) berkata: dan juga dari antara anak cucuku.Berfirman Dia: tidaklah akan mencapai perjanjianKu itu kepada orang yang zalim(Surah Al Baqarah:124)

Namun begitu, Allah lebih menyayangi manusia lebih daripada diri mereka.Maka digantikan dengan seekor kibas.
Dengan sebab itu, orang mukmin menganggap murah nyawa dan harta mereka untuk dipertaruhkan ke jalan Allah.Tiada yang bernilai sekiranya yang meminta itu Allah.Apalah harganya nyawa untuk digantikan dengan syurga pemberian Allah.Sungguh untung mereka yang berjuang di jalan Allah.Ya Allah, jadikanlah kami dalam kalangan mereka.

Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).(Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga " Adn ". Itulah kemenangan yang besar.(Surah As Saf:10-12)


Wallahua'lam








Tiada ulasan:

Catat Ulasan