Selasa, 23 November 2010

Menjiwai Pengorbanan Kerana Allah


Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh..

Salam sejahtera dan sebaik-baik penghormatan dipanjatkan buat junjungan Rasul SAW serta sekalian hamba-hamba Allah yang soleh, sama ada yang masih hidup atau yang sudah mendahului meninggalkan alam yang fana ini.

Alhamdulillah, penulis diberi kesempatan oleh Allah SWT untuk menulis semula selepas hampir 6 bulan menyepi dari aktiviti berblog. Atas jemputan saudara Arif, penulis diberi semangat untuk kembali menulis di ruang maya. Jazakallah. Segalanya adalah tidak lain dan tidak bukan suatu kurniaan dan anugerah daripada-Nya. Kita hamba-Nya tidak memiliki apa-apa.

Dalam suasana masih terasa kehangatan sambutan Aidil Adha, tertarik penulis untuk berbicara mengenai pengorbanan, suatu tajuk yang sinonim dengan musim perayaan ini serta diulang saban tahun. Namun adakah kita benar-benar mengaplikasikannya dalam "software" kehidupan?

Raya ini menyaksikan ramai dari kalangan umat Islam berbelanja menyumbang serta menyembelih haiwan korban. Begitu juga ramai yang mengorbankan tenaga, wang dan masa untuk menyempurnakan ibadah haji tidak lain dan tidak bukan atas matlamat mencapai keredhaan Allah SWT. Sama ada kambing, lembu, unta, tiket bas, mahupun tiket kapal terbang, semuanya dikorbankan atas nama pengorbanan demi keredhaan Rabbul Izzati.

Semoga semuanya mendapat ganjaran dari sisi Ilahi.

Namun begitu, sebagai refleksi dalam pengamalan harian, adakah korban ini suatu konsep yang hanya dihidupkan sekali setahun?

Perkataan qurban dari Bahasa Arab datang dari kalimah qa ri ba membawa maksud mendekati, yakni qurban bererti sesuatu perbuatan yang bertujuan mendekatkan diri kepada Allah. Dan dari perspektif definisi 'korban' Bahasa Melayu pula, bermaksud pemberian (kesanggupan melakukan atau menanggung sesuatu) sebagai tanda kebaktian (kasih dan lain-lain), iaitu kerana kasih, ia sanggup menderita, kerana erti kasih itu kepadanya ialah korban (Kamus Dewan Online, PRPM DBP Malaysia).

Apabila disoroti sejarah, ibadah korban diabadikan dalam peristiwa paling dramatis iaitu kisah Nabi Ibrahim A.S dan anaknya Ismail.

Sebagai prolog, kita sudah mengetahui bagaimana Hajar AS ditinggalkan suaminya di padang pasir Bakkah (Makkah) yang tidak berpenghuni atas perintah Allah SWT. Suatu pengorbanan yang diterima oleh Hajar AS, tanpa rasa tidak puas hati sebaik sahaja suaminya yang tersayang memberitahu itu adalah perintah Allah. "Allah tidak akan mempersia-siakan kita," kata wanita dengan iman seteguh keluli ini.

Kita dapat bayangkan, ditinggalkan seorang diri, di padang pasir. Tanpa penghuni. Seorang wanita. Isteri kedua. Dengan anak kecilnya yang masih bayi. Penulis pasti, bagi jiwa seorang ibu, yang terakhir adalah ujian yang paling berat. Barangkali ibu-ibu lain akan berkata, "Tinggalkanlah aku, tidak mengapa, tapi tidak bayi ini."

Lalu Allah mengurniakan telaga zam-zam, sehingga Lembah Bakkah yang kontang menjadi pusat tumpuan manusia, dan Ismail AS yang masih kecil membesar menjadi pemuda yang sangat baik akhlaknya.

Tanpa ayahnya di sisi.

Di zaman ini, barangkali tidak sedikit anak-anak yang membesar tanpa kasih sayang secukupnya dari si ayah yang sibuk dengan pekerjaan. Lalu si anak memberontak, kerana baginya, si ayah tidak mahu meluangkan masa bersamanya, si ayah lebih sayangkan pekerjaan daripada anaknya, si ayah tidak mengambil berat tentangnya, tetapi mengapa tidak Ismail AS?

Ismail AS yang ditinggalkan ayahnya bersama ibunya di tengah padang pasir yang kontang. Tidak pernah merasakan belaian dan gurau senda seorang ayah yang jauh merantau entah bila akan pulang, sehinggalah dia dewasa. Tetapi dia tidak pernah membenci ayahnya walau sekelumit.

Mengapa?

Kerana keduanya faham apa erti pengorbanan si ayah. Mengembara bukan semata-mata mengembara, tetapi melaksanakan perintah Allah atas nama risalah nubuwwah. Menyampaikan kerja-kerja dakwah ke arah tauhidillah. Dia tahu, ayahnya mengorbankan zaman kanak-kanaknya Ismail atas melaksanakan perintah Allah iaitu tuntutan tugasan kenabian yang berat. Barangkali melihat kanak-kanak lain bersama ayah masing-masing, pernahkah dia terasa, alangkah baiknya jika ayahku seperti mereka. Tidak, apabila dia memahami erti pengorbanan dan tanggungjawab di jalan Allah.

Lalu kesabaran ayah dan anak ini diabadikan di dalam al-Quran.

"Ya Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku (seorang anak) yang termasuk orang-orang yang soleh. Maka kami beri dia khabar gembira dengan seorang anak yang amat sabar." (Q As-Shaffaat: 100-101)

Lalu apabila pulang si ayah bertemu anaknya Ismail, anaknya sudah dewasa, datang pula perintah Allah yang lain. Yang barangkali akan menimbulkan gerun jika berlaku kepada kita.

"Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: "Hai anakku Sesungguhnya Aku melihat dalam mimpi bahwa Aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!" (Q As-Shaffaat:102)

Namun dalam ayat yang sama, menggambarkan kepantasan si anak menjawab, kerana sudah faham akan perintah Allah, tentang tuntutan berkorban demi suruhan Allah, tanpa teragak-agak dia berkata:

"Ia menjawab: "Hai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insyaAllah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar"." (Q As-Shaffaat: 102)

Mimpi seorang nabi tidak pernah berdusta kerana ianya wahyu dari Allah, dan Ismail AS dengan kepintarannya memahami hal itu. "Kerjakanlah apa yang diperintahkan," bererti baginda sudah tahu itu perintah Allah, dengan mewarisi keyakinan yang sama seperti ibunya Hajar ketika berkata, "Allah tidak akan mempersia-siakan kita."

Dari mana datangnya keyakinan ini? Kefahaman terhadap erti pengorbanan di jalan Allah. Kefahaman terhadap erti pengorbanan demi suruhan Allah. Ismail AS adalah anak yang sangat disayangi Ibrahim AS. Tetapi kedua-duanya berserah diri, kerana tahu itu adalah yang dituntut demi jalan Allah SWT.

Keyakinan yang sama jugalah yang membuatkan seorang ibu di zaman Rasul SAW mampu membiarkan anak-anaknya ke medan jihad, dan selepas syahid seorang, dihantarnya seorang lagi, sehingga habis semua anaknya gugur di medan peperangan. Tetapi si ibu tidak kecewa, melainkan kerana sudah tidak ada anak lagi yang mampu dihantarnya ke sabilillah.

"Tatkala keduanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas pelipis(nya) , (nyatalah kesabaran keduanya ). Dan kami panggillah dia: "Hai Ibrahim. Sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu. Sesungguhnya demikianlah kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata. Dan kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar. Kami abadikan untuk Ibrahim itu (pujian yang baik) di kalangan orang-orang yang datang kemudian. (iaitu) "Kesejahteraan dilimpahkan atas Ibrahim". Demikianlah kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik." (QS As-Shaffaat : 103-110)

Lalu akhirnya ujian itu berlalu. Hampir sahaja darah Ismail AS ditumpahkan ke bumi, diganti Allah dengan seekor kibasy. Lalu dari Ismail AS inilah lahirnya suatu umat yang besar, darinya Rasul SAW.

Lalu apa yang dapat kita ambil pengajaran daripada kisah ini?

Tiada istilah 'bernilai' jika yang meminta itu adalah Allah. Barangkali dalam syariatullah, banyak permintaan-permintaan yang menuntut kita untuk mengorbankan perkara-perkara kesayangan kita, 'Ismail-Ismail maknawi yang sudah bertahta kecintaan terhadapnya di hati.

Seperti mana seorang sahabat Rasul SAW, apabila membaca ayat, 

"Kamu tidak akan memperoleh kebajikan sebelum kamu menginfakkan sebahagian harta yang kamu cintai." (Q Ali-Imran: 92),

segera dia berfikir ada sebuah kebun kurma yang paling dicintainya, lalu segera dia menginfakkannya kerana Allah. Kebun kurmanya yang terbaik. Yang paling mendatangkan hasil, barangkali. Yang paling mahal tanah dan pohon kurmanya barangkali.

Seperti mana Abu Bakar as-Siddiq, diinfaqkan seluruh hartanya untuk biaya Peperangan Tabuk, sehingga Rasul SAW bertanya, apa yang ditinggalkan untuk keluarganya? "Allah dan Rasulnya." Jawapan yang ada bau-bau bacang dengan jawapan Saidatina Hajar AS ("Allah tidak akan mensia-siakan kita").

Begitu juga dalam bab larangan. Sebaik sahaja diharamkan arak, serta-merta dipecahkan segala tong-tong arak di Madinah, sehingga mengalir arak di lorong-lorong kota. Tidak perlu penguat kuasa. Mereka sendiri melakukannya.

Sedang di Barat sendiri, di AS misalnya, zaman pengharaman arak menyaksikan yang arak tidak mampu ditinggalkan oleh mereka, sehingga dijual dalam pasaran gelap oleh geng-geng sindiket jenayah seperti Al Capone, dan pengharaman itu tidak mampu membendung ketagihan arak mereka. Padahal adanya penguatkuasa. Adanya hukuman, tetapi tidak mampu membendung ketagihan yang menguasai manusia bertuhankan nafsu. Lalu zaman pengharaman arak ditamatkan sehingga seluruh lapisan masyarakat AS menarik nafas lega, sedangkan sedikit demi sedikit alkohol itu meruntuhkan ketamadunan mereka.

Allahu akbar. Contoh-contoh yang ditunjukkan para sahabat tadi adalah al-Quran yang berjalan di atas muka bumi. Mereka bukan menghafaz Quran untuk mengetahui hukum tajwid semata-mata, atau qira'ah semata-mata, atau sebagai bacaan dalam solat, tetapi mereka menerimanya seperti para soldadu yang siap menunggu arahan seterusnya daripada The High Ruler yang menguasai semesta alam, Rabbul 'Arsyil Azhim.

Lalu di mana kita? Barangkali masih liat untuk menunaikan solat berjemaah. Barangkali masih sayang untuk meninggalkan obsesi atau ketagihan yang menjauhkan kita dari Allah (kita lebih tahu apa ia). Barangkali masih berat untuk menutup aurat secara sempurna. Barangkali masih berat untuk meninggalkan budaya mengumpat, mengeji dan berbohong. Barangkali masih berat untuk menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan, sama ada dari yang dekat, keluarga dan rakan kita, atau yang jauh, misalnya seperti saudara kita di Palestin. Barangkali masih berat untuk memboikot apa yang patut diboikot, (Starbucks, Mc D, dan lain-lain), kerana itu semua adalah 'Ismail-Ismail' yang masih sayang untuk kita menyembelihnya.

Lalu di mana kita?

Alangkah indah perumpamaan yang ditunjukkan Allah. Hajar ditinggalkan bersama Ismail di padang pasir, tapi adakah Hajar mati bersama anaknya kehausan? Tidak, Allah memberi kehidupan buat mereka, malah pengorbanan mereka memberi kesan kepada umat manusia sehingga wujudnya Mekkah.

Ismail ingin disembelih ayahnya, tapi adakah tamat riwayat Ismail di tangan ayahnya sendiri? Tidak, bahkan peristiwa ini diabadikan dalam Aidil Adha, sehingga bergembira dengannya fakir miskin setiap tahun kerana menerima daging korban.

Ertinya apa?

Ucapan Saidatina Hajar yang ringkas tetapi mampu menggoncangkan kecintaan duniawi, "Allah tidak akan mempersia-siakan kita.'

Ertinya apa?

Yakinlah bahawa apabila kita berkorban kerana Allah, Allah pasti menggantikan dengan yang jauh lebih baik. Kita meninggalkan kelazatan maksiat, Allah menggantikan dengan kelazatan iman dan kebahagiaan hidup. Kita memberi infaq harta, lalu Allah memberi kelapangan rezeki. Jika tidak zahir bagi kita ganjarannya di dunia ini, maka di akhirat. Akhirat yang ketika itu kita merasakan kehidupan dunia ini sesingkat separuh hari.

"Pada hari ketika mereka melihat hari kiamat itu mereka merasakan seakan-akan hanya tinggal di dunia (satu) petang atau pagi hari." (Q An-Naazi'aat: 46)

Kali pertama anda merasakan satu hari bersamaan 1000 tahun (seperti pandangan ulama' terhadap hidup di akhirat), maka sudah tentu ingatan terhadap hidup di dunia yang hanya +-60 tahun (atau barangkali kurang daripada itu) akan terasa seperti mimpi yang singkat. Apa lagi yang kita sayang yang menghalang kita daripada memenuhi suruhan Allah? Itu semua ibarat memeluk bayang-bayang dan fatamorgana yang tidak ada nilai di sisi Allah, bahkan lebih malang jika ia menjadi penghalang untuk kita ke syurga-Nya..

"Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keridhaan) Allah, tetapi KETAKWAAN dari kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayahNya kepada kamu. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik." (QS Al-Hajj : 37)

Akhir kalam, ketahuilah, ikhlas itulah yang menjadikan suatu pengorbanan itu tidak sia-sia, yakni ketulusan kepada Allah SWT.. Jika diungkit-ungkit, atau diperkira-kirakan pengorbanan kita dengan harapan akan dihargai manusia atau mendapat balasan, maka dikhuatiri itu akan merosakkan erti ikhlas dan pengorbanan itu sendiri..

"Sesungguhnya amalan itu dikira dengan niat, dan sesungguhnya bagi setiap orang apa yang diniatkannya.. Barangsiapa yang hijrahnya (suatu bentuk pengorbanan, tinggal harta, kampung halaman, dll, juga hijrah maknawi dari yang buruk kepada yang baik, juga satu bentuk pengorbanan - pent) untuk Allah dan Rasul, maka hijrahnya itu untuk Allah dan Rasul, dan barangsiapa yang hijrahnya untuk dunia yang akan diperolehinya, atau wanita yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya itu kepada apa yang dia (niatkan) hijrah untuknya." (Hadith Muttafaq 'alaih)

Wallahu a'lam..

Eirfan 92, 17 Dzulhijjah 1431, jam 2355 (Jordan time)

Ps. Terima kasih buat saudara Arif kerana memberi peluang kepada penulis untuk menyumbang artikel. Maaf jika terlalu panjang. Ini cerita pengorbanan, mungkin tidak lama lagi kita akan bercerita tentang hijrah pula (1 Muharram semakin hampir)..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan