Ahad, 28 November 2010

Azan Mesej yang Dilupai

Umum mengetahui azan sebagai suatu method untuk menyeru manusia mendirikan solat.Gemanya berjalan serata bumi, setiap saat dan ketika menghidupkan hati-hati manusia beriman.

Tidak berhenti di situ, kanak-kanak yang baru dilahirkan, disunatkan oleh syarak untuk diazankan.Masuk ke telinga sang bayi yang masih belum mengetahui barang suatu huruf dengan kalimah-kalimah suci.

Seruan tauhid mengesakan Allah, seruan membesarkan Allah lantas mengecilkan makhluk yang lain, beriman dengan Nabi Muhammad, seruan perpaduan, kejayaan dan sekian banyak lagi hikmah yang tidak terhitung banyaknya terkumpul di dalam seruan azan.

Maka, terokailah seluruh dunia dan namakanlah suatu agama yang menyusun hidup manusia dengan teliti seperti Islam.Jawapannya mustahil!
Kata ulama, tempoh hidup manusia itu sangatlah singkat sekiranya dibandingkan dengan kehidupan di akhirat.Sebagaimana kita diazankan ketika lahir lalu disolatkan ketika roh bercerai daripada jasad...maka begitulah tempoh hidup manusia.Tidak lebih panjang tempohnya seperti antara azan dan iqamat!

Azan merupakan syiar bagi wilayah Muslimin samaada dalam kalangan majoriti mahupun minoriti.Allah melontarkan soalan dalam Al Quran maksudnya: 

Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh dan berkata: "Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri?" (Surah Fushilat:33) 

Diriwayatkan bahawa Saiyidatina Aisyah, Ikrimah, Qais b Abi Hazim dan Mujahid berpendapat ayat ini diturunkan memperihalkan para muazzin.

Hari ini laungan azan bukanlah suatu yang ganjil dalam dunia.Entah di mana silapnya, azan yang dilaungkan tidak menembus hati manusia.Penyeru dan yang diseru tidak memahami makna dan tujuan seruan itu dilaungkan.
Azan merupakan pengisytiharan manusia tauhid terhadap manusia di sekelilingnya.

Di saat ini, mereka yang menyekutukan Alllah akan berasa tergugat dengan kehadiran suara itu.Pendeta di gereja, sami di kuil dan pemuka-pemuka agama Musyrik tidak senang duduk.Jauh di sudut hati, mereka membenarkan apa yang dilaungkan oleh muazzin.Tidak sedikit daripada mereka yang terbuka hati kepada Islam setelah disimbah setiap hari dengan cahaya azan.

Pemerintah yang tidak bertuhan akan terhidu bau bahaya terhadap lafaz yang diisytiharkan muazzin,  Tiada Tuhan yang layak Di Abdikan Melainkan Allah.Nah, seolah-olah hidup dalam kalangan rakyatnya golongan yang akan menjadi pembangkang tegar terhadap pemerintahannya selagi tidak didaulatkan hukum Tuhan.

Golongan munafik yang berkudis parah di dalam hati juga demikian."Kenapa nama Muhammad itu yang dilaungkan?"bisik hati munafik.

Dalam masa yang sama golongan mukmin menyambut seruan tadi dengan penuh penantian lalu berhimpun di masjid.Ya, mereka berkumpul dengan penuh rasa sayang-menyayangi sebagai tetamu istana Allah.Barisan ditegakkan dan diluruskan lalu mereka bersujud penuh kehambaan kepada Allah.

Pemimpin mereka yang memberi arahan ditaati dengan penuh kekhusyukan.Mereka memulakan solat dengan bertakbir membesarkan Allah.Lalu, diakhiri dengan memaling muka ke kanan dan ke kiri memberi salam kepada makhluk-makhluk bumi.Semuanya bermula dengan laungan azan.



Maha Suci Allah, indahnya agama Islam ini.Padanlah mereka yang busuk hati dan kematu akal beriri hati dengannya.

Bagi mereka yang melalaikan solat dengan memuaskan nafsu tidur, sedangkan azan telah dikumandangkan kita berpesan dengan ayat Allah yang bermaksud:
  
Mereka berkata: "Aduh celakalah kami! Siapakah yang membangkitkan kami dari tempat tidur kami (kubur)?" Inilah yang dijanjikan (Rabb) Yang Maha Pemurah dan benarlah Rasul-rasul(Nya).Tidak adalah teriakan itu selain sekali teriakan saja, maka tiba-tiba mereka semua dikumpulkan kepada Kami.(Surah Yasin:52-53)

Sebagaimana tidur kita di dunia maka demikianlah tidur kita di akhirat.Sebagaimana bangun kita di dunia demikianlah bangun kita di akhirat.


Wallahua'lam



Khamis, 25 November 2010

Melayu Yang Aku Kenali...

Melayu

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.


Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak.


Melayu di tanah Semen
anjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua'alaf bertakrif Melayu


Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan


Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara


Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
tanah sebidang mudah terjual


Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi


Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.


Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan

Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut


Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Segala yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran"


Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan.


Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka "


NUKILAN
Usman Awang

Selasa, 23 November 2010

Menjiwai Pengorbanan Kerana Allah


Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh..

Salam sejahtera dan sebaik-baik penghormatan dipanjatkan buat junjungan Rasul SAW serta sekalian hamba-hamba Allah yang soleh, sama ada yang masih hidup atau yang sudah mendahului meninggalkan alam yang fana ini.

Alhamdulillah, penulis diberi kesempatan oleh Allah SWT untuk menulis semula selepas hampir 6 bulan menyepi dari aktiviti berblog. Atas jemputan saudara Arif, penulis diberi semangat untuk kembali menulis di ruang maya. Jazakallah. Segalanya adalah tidak lain dan tidak bukan suatu kurniaan dan anugerah daripada-Nya. Kita hamba-Nya tidak memiliki apa-apa.

Dalam suasana masih terasa kehangatan sambutan Aidil Adha, tertarik penulis untuk berbicara mengenai pengorbanan, suatu tajuk yang sinonim dengan musim perayaan ini serta diulang saban tahun. Namun adakah kita benar-benar mengaplikasikannya dalam "software" kehidupan?

Raya ini menyaksikan ramai dari kalangan umat Islam berbelanja menyumbang serta menyembelih haiwan korban. Begitu juga ramai yang mengorbankan tenaga, wang dan masa untuk menyempurnakan ibadah haji tidak lain dan tidak bukan atas matlamat mencapai keredhaan Allah SWT. Sama ada kambing, lembu, unta, tiket bas, mahupun tiket kapal terbang, semuanya dikorbankan atas nama pengorbanan demi keredhaan Rabbul Izzati.

Semoga semuanya mendapat ganjaran dari sisi Ilahi.

Namun begitu, sebagai refleksi dalam pengamalan harian, adakah korban ini suatu konsep yang hanya dihidupkan sekali setahun?

Perkataan qurban dari Bahasa Arab datang dari kalimah qa ri ba membawa maksud mendekati, yakni qurban bererti sesuatu perbuatan yang bertujuan mendekatkan diri kepada Allah. Dan dari perspektif definisi 'korban' Bahasa Melayu pula, bermaksud pemberian (kesanggupan melakukan atau menanggung sesuatu) sebagai tanda kebaktian (kasih dan lain-lain), iaitu kerana kasih, ia sanggup menderita, kerana erti kasih itu kepadanya ialah korban (Kamus Dewan Online, PRPM DBP Malaysia).

Apabila disoroti sejarah, ibadah korban diabadikan dalam peristiwa paling dramatis iaitu kisah Nabi Ibrahim A.S dan anaknya Ismail.

Sebagai prolog, kita sudah mengetahui bagaimana Hajar AS ditinggalkan suaminya di padang pasir Bakkah (Makkah) yang tidak berpenghuni atas perintah Allah SWT. Suatu pengorbanan yang diterima oleh Hajar AS, tanpa rasa tidak puas hati sebaik sahaja suaminya yang tersayang memberitahu itu adalah perintah Allah. "Allah tidak akan mempersia-siakan kita," kata wanita dengan iman seteguh keluli ini.

Kita dapat bayangkan, ditinggalkan seorang diri, di padang pasir. Tanpa penghuni. Seorang wanita. Isteri kedua. Dengan anak kecilnya yang masih bayi. Penulis pasti, bagi jiwa seorang ibu, yang terakhir adalah ujian yang paling berat. Barangkali ibu-ibu lain akan berkata, "Tinggalkanlah aku, tidak mengapa, tapi tidak bayi ini."

Lalu Allah mengurniakan telaga zam-zam, sehingga Lembah Bakkah yang kontang menjadi pusat tumpuan manusia, dan Ismail AS yang masih kecil membesar menjadi pemuda yang sangat baik akhlaknya.

Tanpa ayahnya di sisi.

Di zaman ini, barangkali tidak sedikit anak-anak yang membesar tanpa kasih sayang secukupnya dari si ayah yang sibuk dengan pekerjaan. Lalu si anak memberontak, kerana baginya, si ayah tidak mahu meluangkan masa bersamanya, si ayah lebih sayangkan pekerjaan daripada anaknya, si ayah tidak mengambil berat tentangnya, tetapi mengapa tidak Ismail AS?

Ismail AS yang ditinggalkan ayahnya bersama ibunya di tengah padang pasir yang kontang. Tidak pernah merasakan belaian dan gurau senda seorang ayah yang jauh merantau entah bila akan pulang, sehinggalah dia dewasa. Tetapi dia tidak pernah membenci ayahnya walau sekelumit.

Mengapa?

Kerana keduanya faham apa erti pengorbanan si ayah. Mengembara bukan semata-mata mengembara, tetapi melaksanakan perintah Allah atas nama risalah nubuwwah. Menyampaikan kerja-kerja dakwah ke arah tauhidillah. Dia tahu, ayahnya mengorbankan zaman kanak-kanaknya Ismail atas melaksanakan perintah Allah iaitu tuntutan tugasan kenabian yang berat. Barangkali melihat kanak-kanak lain bersama ayah masing-masing, pernahkah dia terasa, alangkah baiknya jika ayahku seperti mereka. Tidak, apabila dia memahami erti pengorbanan dan tanggungjawab di jalan Allah.

Lalu kesabaran ayah dan anak ini diabadikan di dalam al-Quran.

"Ya Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku (seorang anak) yang termasuk orang-orang yang soleh. Maka kami beri dia khabar gembira dengan seorang anak yang amat sabar." (Q As-Shaffaat: 100-101)

Lalu apabila pulang si ayah bertemu anaknya Ismail, anaknya sudah dewasa, datang pula perintah Allah yang lain. Yang barangkali akan menimbulkan gerun jika berlaku kepada kita.

"Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: "Hai anakku Sesungguhnya Aku melihat dalam mimpi bahwa Aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!" (Q As-Shaffaat:102)

Namun dalam ayat yang sama, menggambarkan kepantasan si anak menjawab, kerana sudah faham akan perintah Allah, tentang tuntutan berkorban demi suruhan Allah, tanpa teragak-agak dia berkata:

"Ia menjawab: "Hai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insyaAllah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar"." (Q As-Shaffaat: 102)

Mimpi seorang nabi tidak pernah berdusta kerana ianya wahyu dari Allah, dan Ismail AS dengan kepintarannya memahami hal itu. "Kerjakanlah apa yang diperintahkan," bererti baginda sudah tahu itu perintah Allah, dengan mewarisi keyakinan yang sama seperti ibunya Hajar ketika berkata, "Allah tidak akan mempersia-siakan kita."

Dari mana datangnya keyakinan ini? Kefahaman terhadap erti pengorbanan di jalan Allah. Kefahaman terhadap erti pengorbanan demi suruhan Allah. Ismail AS adalah anak yang sangat disayangi Ibrahim AS. Tetapi kedua-duanya berserah diri, kerana tahu itu adalah yang dituntut demi jalan Allah SWT.

Keyakinan yang sama jugalah yang membuatkan seorang ibu di zaman Rasul SAW mampu membiarkan anak-anaknya ke medan jihad, dan selepas syahid seorang, dihantarnya seorang lagi, sehingga habis semua anaknya gugur di medan peperangan. Tetapi si ibu tidak kecewa, melainkan kerana sudah tidak ada anak lagi yang mampu dihantarnya ke sabilillah.

"Tatkala keduanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas pelipis(nya) , (nyatalah kesabaran keduanya ). Dan kami panggillah dia: "Hai Ibrahim. Sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu. Sesungguhnya demikianlah kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata. Dan kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar. Kami abadikan untuk Ibrahim itu (pujian yang baik) di kalangan orang-orang yang datang kemudian. (iaitu) "Kesejahteraan dilimpahkan atas Ibrahim". Demikianlah kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik." (QS As-Shaffaat : 103-110)

Lalu akhirnya ujian itu berlalu. Hampir sahaja darah Ismail AS ditumpahkan ke bumi, diganti Allah dengan seekor kibasy. Lalu dari Ismail AS inilah lahirnya suatu umat yang besar, darinya Rasul SAW.

Lalu apa yang dapat kita ambil pengajaran daripada kisah ini?

Tiada istilah 'bernilai' jika yang meminta itu adalah Allah. Barangkali dalam syariatullah, banyak permintaan-permintaan yang menuntut kita untuk mengorbankan perkara-perkara kesayangan kita, 'Ismail-Ismail maknawi yang sudah bertahta kecintaan terhadapnya di hati.

Seperti mana seorang sahabat Rasul SAW, apabila membaca ayat, 

"Kamu tidak akan memperoleh kebajikan sebelum kamu menginfakkan sebahagian harta yang kamu cintai." (Q Ali-Imran: 92),

segera dia berfikir ada sebuah kebun kurma yang paling dicintainya, lalu segera dia menginfakkannya kerana Allah. Kebun kurmanya yang terbaik. Yang paling mendatangkan hasil, barangkali. Yang paling mahal tanah dan pohon kurmanya barangkali.

Seperti mana Abu Bakar as-Siddiq, diinfaqkan seluruh hartanya untuk biaya Peperangan Tabuk, sehingga Rasul SAW bertanya, apa yang ditinggalkan untuk keluarganya? "Allah dan Rasulnya." Jawapan yang ada bau-bau bacang dengan jawapan Saidatina Hajar AS ("Allah tidak akan mensia-siakan kita").

Begitu juga dalam bab larangan. Sebaik sahaja diharamkan arak, serta-merta dipecahkan segala tong-tong arak di Madinah, sehingga mengalir arak di lorong-lorong kota. Tidak perlu penguat kuasa. Mereka sendiri melakukannya.

Sedang di Barat sendiri, di AS misalnya, zaman pengharaman arak menyaksikan yang arak tidak mampu ditinggalkan oleh mereka, sehingga dijual dalam pasaran gelap oleh geng-geng sindiket jenayah seperti Al Capone, dan pengharaman itu tidak mampu membendung ketagihan arak mereka. Padahal adanya penguatkuasa. Adanya hukuman, tetapi tidak mampu membendung ketagihan yang menguasai manusia bertuhankan nafsu. Lalu zaman pengharaman arak ditamatkan sehingga seluruh lapisan masyarakat AS menarik nafas lega, sedangkan sedikit demi sedikit alkohol itu meruntuhkan ketamadunan mereka.

Allahu akbar. Contoh-contoh yang ditunjukkan para sahabat tadi adalah al-Quran yang berjalan di atas muka bumi. Mereka bukan menghafaz Quran untuk mengetahui hukum tajwid semata-mata, atau qira'ah semata-mata, atau sebagai bacaan dalam solat, tetapi mereka menerimanya seperti para soldadu yang siap menunggu arahan seterusnya daripada The High Ruler yang menguasai semesta alam, Rabbul 'Arsyil Azhim.

Lalu di mana kita? Barangkali masih liat untuk menunaikan solat berjemaah. Barangkali masih sayang untuk meninggalkan obsesi atau ketagihan yang menjauhkan kita dari Allah (kita lebih tahu apa ia). Barangkali masih berat untuk menutup aurat secara sempurna. Barangkali masih berat untuk meninggalkan budaya mengumpat, mengeji dan berbohong. Barangkali masih berat untuk menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan, sama ada dari yang dekat, keluarga dan rakan kita, atau yang jauh, misalnya seperti saudara kita di Palestin. Barangkali masih berat untuk memboikot apa yang patut diboikot, (Starbucks, Mc D, dan lain-lain), kerana itu semua adalah 'Ismail-Ismail' yang masih sayang untuk kita menyembelihnya.

Lalu di mana kita?

Alangkah indah perumpamaan yang ditunjukkan Allah. Hajar ditinggalkan bersama Ismail di padang pasir, tapi adakah Hajar mati bersama anaknya kehausan? Tidak, Allah memberi kehidupan buat mereka, malah pengorbanan mereka memberi kesan kepada umat manusia sehingga wujudnya Mekkah.

Ismail ingin disembelih ayahnya, tapi adakah tamat riwayat Ismail di tangan ayahnya sendiri? Tidak, bahkan peristiwa ini diabadikan dalam Aidil Adha, sehingga bergembira dengannya fakir miskin setiap tahun kerana menerima daging korban.

Ertinya apa?

Ucapan Saidatina Hajar yang ringkas tetapi mampu menggoncangkan kecintaan duniawi, "Allah tidak akan mempersia-siakan kita.'

Ertinya apa?

Yakinlah bahawa apabila kita berkorban kerana Allah, Allah pasti menggantikan dengan yang jauh lebih baik. Kita meninggalkan kelazatan maksiat, Allah menggantikan dengan kelazatan iman dan kebahagiaan hidup. Kita memberi infaq harta, lalu Allah memberi kelapangan rezeki. Jika tidak zahir bagi kita ganjarannya di dunia ini, maka di akhirat. Akhirat yang ketika itu kita merasakan kehidupan dunia ini sesingkat separuh hari.

"Pada hari ketika mereka melihat hari kiamat itu mereka merasakan seakan-akan hanya tinggal di dunia (satu) petang atau pagi hari." (Q An-Naazi'aat: 46)

Kali pertama anda merasakan satu hari bersamaan 1000 tahun (seperti pandangan ulama' terhadap hidup di akhirat), maka sudah tentu ingatan terhadap hidup di dunia yang hanya +-60 tahun (atau barangkali kurang daripada itu) akan terasa seperti mimpi yang singkat. Apa lagi yang kita sayang yang menghalang kita daripada memenuhi suruhan Allah? Itu semua ibarat memeluk bayang-bayang dan fatamorgana yang tidak ada nilai di sisi Allah, bahkan lebih malang jika ia menjadi penghalang untuk kita ke syurga-Nya..

"Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keridhaan) Allah, tetapi KETAKWAAN dari kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayahNya kepada kamu. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik." (QS Al-Hajj : 37)

Akhir kalam, ketahuilah, ikhlas itulah yang menjadikan suatu pengorbanan itu tidak sia-sia, yakni ketulusan kepada Allah SWT.. Jika diungkit-ungkit, atau diperkira-kirakan pengorbanan kita dengan harapan akan dihargai manusia atau mendapat balasan, maka dikhuatiri itu akan merosakkan erti ikhlas dan pengorbanan itu sendiri..

"Sesungguhnya amalan itu dikira dengan niat, dan sesungguhnya bagi setiap orang apa yang diniatkannya.. Barangsiapa yang hijrahnya (suatu bentuk pengorbanan, tinggal harta, kampung halaman, dll, juga hijrah maknawi dari yang buruk kepada yang baik, juga satu bentuk pengorbanan - pent) untuk Allah dan Rasul, maka hijrahnya itu untuk Allah dan Rasul, dan barangsiapa yang hijrahnya untuk dunia yang akan diperolehinya, atau wanita yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya itu kepada apa yang dia (niatkan) hijrah untuknya." (Hadith Muttafaq 'alaih)

Wallahu a'lam..

Eirfan 92, 17 Dzulhijjah 1431, jam 2355 (Jordan time)

Ps. Terima kasih buat saudara Arif kerana memberi peluang kepada penulis untuk menyumbang artikel. Maaf jika terlalu panjang. Ini cerita pengorbanan, mungkin tidak lama lagi kita akan bercerita tentang hijrah pula (1 Muharram semakin hampir)..

Rabu, 17 November 2010

Secebis Hikmah Ibadah Korban

Ketika blog ini ditulis, umat Islam yang berada di Malaysia baru meraikan Hari Raya Aidil Adha.Saya terlebih dahulu mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam khususnya kaum keluarga, guru-guru serta rakan-rakan yang mengenali saya.Kullu a'min waantum bikhair...

Ibadah korban disyariatkan sebagai mana firman Allah dalam Al Quran:

Maka solatlah kerana Rabbmu dan berkorbanlah (Surah Alkauthar:2) 

Terdapat beberapa hikmah dan pengajaran dalam  ibadah korban  yang wajar diketahui tetapi saya hanya ingin menfokuskan 2 perkara penting untuk manfaat kita bersama:

1.Sesungguhnya ibadat di dalam Islam saling berkaitan dengan soal kemasyarakatan (sosial).Agama ini seolah-olah tidak memberi tempat kepada golongan individualistik walau atas nama kebaikan sekalipun.

Dengan sebab itu sekiranya dirujuk pada kitab-kitab Feqah maka kita akan menjumpai 1/3 daripada pembahagian daging korban diberikan kepada orang kaya.Timbul persoalan, kenapa orang kaya yang diberikan?

Demikianlah namanya agama.Kadangkala hikmah agama itu berselisih dengan akal sempit manusia.

Seolah-olah agama ingin berkata,"Susah kita hadapi bersama, yang senang kita nikmati.Aku (orang kaya) dan kamu (orang miskin), kita adalah sama di sisi Allah.Yang membezakan kita adalah taqwa".Jika begitu sikap agama dalam mendidik manusia, maka umat Islam sepatutnya adalah umat penyayang!

Tidak ada umat Islam yang mendokong sistem kapitalime-yang miskin kian miskin yang kaya semakin kaya.Hidup di negara seperti ini tidak ubah seperti haiwan di hutan.Sang raja rimba pemakan daging semakin berkuasa, rakyat pemakan tumbuhan hidup merana. 

Maka hidup bernegara akan aman di bawah naungan Allah sekiranya pemerintahnya adil dalam pentadbiran, golongan kayanya pemurah dengan harta dan doa orang miskin yang qonaah dalam hidupnya.
“Tidak patut dinamakan beriman, orang yang tidur malam dalam keadaan kenyang sedang jiran yang berada berhampirannya dalam keadaan lapar, sedangkan ia mengetahuinya.” (Hadis riwayat Tabrani dan Baihaqi)

2.Selain itu, tiada istilah 'bernilai' sekiranya yang meminta itu Allah.Inilah secebis erti pengorbanan yang dilalui oleh Nabi Ibrahim AS dan anaknya Nabi Ismail AS walaupun pengorbanan yang dilalui mereka itu sangat besar nilainya untuk digambarkan, hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

Kalimah ' Ibrahim' menurut keterangan Imam Al Mawardi berasal daripada Bahasa Suryani yang rumpun asalnya bersamaan dengan Bahasa Arab.Ib sama ertinya dengan perkataan abun dalam Bahasa Arab yang bererti bapa.Rahim sama ertinya dengan rahim dalam Bahasa Arab yang bererti penyayang.(Rujuk Tafsir Al Azhar Juzuk 1, Prof Dr HAMKA)

Harus diketahui bahawa Nabi Ismail dilahirkan hasil hubungan Nabi Ibrahim dengan Sayyidah Hajar.Isteri pertama Nabi Ibrahim, Sayyidah Sarah merupakan wanita mandul.Sebahagian ulama mengatakan bahawa Nabi Ismail AS dilahirkan ketika Nabi Ibrahim AS berumur 86 tahun.

Penantian yang lama, kemudian diperintah untuk mengorbankannya, maka diterima dengan hati yang penuh tenang oleh Nabi Ibrahim AS cukup untuk menggambarkan ketabahan seorang Nabi dalam mentaati perintah Allah.Maka tidak hairanlah Allah melantik baginda untuk menjadi Imam setelah sempurna menempuh uijan-ujian sebagaimana dalam firmanNya: 

Dan (ingatlah) tatkala telah diuji Ibrahim oleh TuhanNya dengan beberapa kalimat, maka telah dipenuhi semuanya.Dia(Allah) pun berfirman: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan engkau Imam bagi manusia.Dia(Ibrahim) berkata: dan juga dari antara anak cucuku.Berfirman Dia: tidaklah akan mencapai perjanjianKu itu kepada orang yang zalim(Surah Al Baqarah:124)

Namun begitu, Allah lebih menyayangi manusia lebih daripada diri mereka.Maka digantikan dengan seekor kibas.
Dengan sebab itu, orang mukmin menganggap murah nyawa dan harta mereka untuk dipertaruhkan ke jalan Allah.Tiada yang bernilai sekiranya yang meminta itu Allah.Apalah harganya nyawa untuk digantikan dengan syurga pemberian Allah.Sungguh untung mereka yang berjuang di jalan Allah.Ya Allah, jadikanlah kami dalam kalangan mereka.

Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).(Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga " Adn ". Itulah kemenangan yang besar.(Surah As Saf:10-12)


Wallahua'lam








Isnin, 15 November 2010

Ringkasan Buat Kerja Cara Orang Islam

Islam menyeru umatnya supaya bersungguh-sungguh dalam melakukan suatu pekerjaan sama ada yang bersangkutan dengan dunia mahupun akhirat.Dalam suatu hadis Nabi SAW bersabda:

( إن الله يحب إذا عمل أحدكم عملا أن يتقنه )
 Maksudnya: Sesungguhnya Allah mencintai (seseorang hamba) apabila melaksanakan suatu pekerjaan dengan bersunggu-sungguh.(Riwayat At Tabrani dalam Al Awsat Hadis No:891)

Maka tidak hairanlah sekiranya di dalam sejarah peperangan umat Islam menunjukkan pihak Islam menang ketika berhadapan dengan musuh yang besar bilangannya.Mereka bersungguh-sungguh dalam semua lapangan pekerjaan dan ibadah di samping tawakal yang tinggi kepada


https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgOtxoUqLCEVXUySwpK6wAYCp3v2KdC2HGr5Y9h3BffUJXq-HHCEpYs2u4P-O7Mi8HDGj6QJ6qvKEIlX-AiRk_2RojhpTxGZjxdul4z-F-gKudRNNtb-1ulwNkWZdpu-61m4A8k556C0yU/s280/Sultan+Muhammad+Al+Fateh.jpgAllah SWT.

Umat Islam adalah umat yang profesional dalam pekerjaannya...proaktif, daya saing, tidak cuai dan tidak pula 'sengaja' cuai.Nabi SAW bersabda dalam suatu hadis:

 ان الله كتب الاءحسان على كل شئ فاءذا قتلتم فاحسنوا القتلة واذا ذبحتم فاحسنوا الذبحة وليحد أحدكم  شقرته وليرح ذبيحته

Maksudnya:Sesungguhnya Allah mewajibkan ihsan atas segala sesuatu, maka apabila kamu membunuh(haiwan) maka bunuhlah secara paling elok dan apabila kamu menyembelih maka perelokkanlah sembelihan kamu dan hendaklah kamu tajamkan dan hendaklah kamu menyenangkan haiwan sembelihan tersebut.(Riwayat Muslim)
tajamkan pisau sebelum menyembelih
Islam mengajar umatnya supaya bersikap profesional walaupun dengan haiwan!

Kalaulah dengan haiwan pun dituntut untuk bersikap profesional maka adakah menuntut ilmu tidak disuruh untuk profesional?Bukankah menuntut ilmu itu lebih utama untuk kita bersikap profesional?

Saya kira dalam soal bekerja pun begitu.Jangan curi tulang!Jangan jadi pembelot!Jangan sebarkan berita yang belum pasti kesahihannya (sekiranya anda seorang reporter)!Bersikap amanah dan jujurlah kerana Tuhan Maha Menyaksikan.

"Sesungguhnya Tuhanmu benar-benar Maha Mengawasi"(Surah Al-Fajr:14)


Dunia pasti aman sekiranya para pekerja di dunia ini bekerja dengan cara orang Islam yang sebenar.Sayangnya umat Islam tidak menunjukkan teladan yang baik dalam semua lapangan hidup.

Maka mari kita mulakan!




Perhimpunan Manusia

Ketika artikel ini ditulis, para jemaah haji yang berada di Mekah sedang berhimpun di padang Arafah untuk berwuquf.Semoga Allah menerima ibadah mereka.
 
Perhimpunan manusia itu berbagai bentuk rupanya dan beragam pula tujuannya.Sebahagian manusia berhimpun untuk mendengar dan mencari-cari kelemahan manusia yang lain.Ada yang berhimpunan untuk berseronok dan berhibur kerana keduniaan semata-mata.Tidak kurang juga yang berhimpun untuk mendapat habuan dunia yang sedikit.Demikianlah ragam perhimpunan manusia dunia.

Berbeza dengan perhimpunan umat Islam di Padang Arafah.Mereka berhimpun sambil melihat dan bermuhasabah kelemahan sendiri.Betapa diri ini sangat kerdil, hina dan berlumuran dengan dosa di sisi Tuhan Yang Maha Berkuasa.Jauh di sudut hati mereka, apa yang dipandang hina manusia terhadap mereka selama ini, apa yang dikeji-keji orang sebenarnya jauh lebih baik daripada diri mereka yang sebenar.

Bersyukur kepada Allah yang masih menutup keaiban kami sedangkan kami tidak pernah memohonnya selama ini.

Perhimpunan manusia dunia selalunya bertujuan untuk mempamerkan keindahan pakaian masing-masing.Mereka berlumba-lumba untuk menunjukkan pakaian yang paling eksklusif dan mewah bahkan sehingga tidak dipeduli halal dan haramnya.

Berbeza dengan jemaah haji yang berada di Mekah.Kain putih yang tidak berjahit dipakai oleh seluruh umat Islam yang mengerjakan haji.Tiada bezanya antara mereka yang kaya dan miskin, pemerintah dan rakyat, ulama dan  awam...semuanya serupa di sisi Allah seperti gigi-gigi sikat.

Sebahagian daripada perhimpunan manusia dunia juga atas nama kelompok, puak dan bangsa.Mereka bersepakat dalam melakukan tipu-daya pada kelompok yang tidak sependapat dengan mereka.Mereka seronok dengan kelemahan manusia yang lain...berhasad pula sekiranya disebut-sebut orang kebaikan kelompok lawannya.

Sikap mereka tidak ubah seperti seekor lalat.Suka melihat perkara yang kotor-kotor dan menghinggap pula pada barang yang busuk-busuk.

Perhimpunan di bumi Mekah atas nama agama dan ibadah.Islam melihat perbezaan warna kulit dan bangsa bukanlah untuk saling berselisih, namun untuk saling mengenali.Penilaian Allah terhadap manusia sangat subjektif-ketaqwaan-.

"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)".(Surah Al-Hujurat:13)

Maka, jangan dihina manusia sekalipun buruk di mata kita.Siapa tahu, yang dihina itu sangat tinggi darjatnya di sisi Allah bahkan mungkin dipuji-puji oleh makhluk Allah yang lain di langit.

Allah berfirman dalam Al Quran untuk menjelaskan tujuan pokok perhimpunan di bumi Mekah:  
“Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.
“Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.(Surah Al Haj:27-28)

Ketahuilah suatu masa nanti kita juga akan berhimpun di dalam perhimpunan yang paling besar, di padang mahsyar.Ketika itu, manusia yang berhimpun ketika di dunia atas tujuan  kemungkaran adalah manusia yang paling menyesal.
 

Wallahua'lam




Muqoddimah

                   


Kepantasan zaman menyebabkan mereka yang lambat ketinggalan.Di saat rakan-rakan yang lain berlari laju memanfaatkan internet dan kemudahannya, penulis baru bertatih untuk memasuki alam blog...

Semoga Allah permudahkan segala urusan hamba.Sungguh, tiada yang susah sekiranya Allah permudahkan tiada yang terlindung sekiranya Allah yang zahirkan.

Bukanlah tujuan penulis untuk bersaing dengan rakan-rakan dalam memeriahkan dunia blogger ini, tetapi yang diinginkan hanyalah untuk mempersembahkan buah fikiran dan membudayakan suasana ilmiah dalam kalangan kita.

Di dalam Al-Quran,  Allah rakamkan ucapan Nabi Syuaib Alaihissalam, maksudnya:

 "Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali."(Surah Hud:88)

Wallahua'lam.