Isnin, 10 Januari 2011

Pancaindera Agama

Cetusan kehambaan adalah cetusan fitrah insani.Merasa diri hamba dan meyakini wujud Maha Pencipta lahir dari jiwa manusia normal.Allah SWT berfirman dalam Al Quran menyeru kepada seluruh manusia, tanpa dikhususkan kepada yang beriman sahaja untuk beribadah, yang bermaksud:

"Wahai sekalian manusia, beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan mereka yang terdahulu daripada kamu, moga-moga kamu bertaqwa.Dialah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan dan langit sebagai bangunan dan diturunkanNya air hujan dari langit, lalu dikeluarkanNya dengan air itu berbagai-bagai jenis buah yang menjadi rezeki bagi kamu, maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah sebarang sekutu padahal kamu semua mengetahui"(Surah Al Baqarah:21-22)

Sebahagian manusia yang menolak kewujudan Tuhan mendakwa bahawa mereka adalah yang 'mengfungsikan' akal.Namun begitu, manusia punya jiwa dan emosi yang merupakan sahabat karib akal.Tidak sedikit daripada keputusan yang dibuat oleh manusia dalam kehidupan adalah hasil daripada paduan akal dan emosi.

Mata digunakan manusia untuk melihat.Mendakwa mata anda cerah dan sihat tidak bermakna mata anda tidak mempunyai keterbatasan.Wilayah mata itu melihat sekadar kemampuannya sahaja.Oleh yang demikian, manusia yang cerah matanya tetap tidak mampu melihat objek yang jauh lebih besar seperti di alam cakerawala dan objek yang lebih kecil seperti kuman melainkan dengan perantaraan alat.

Bahkan kadang-kadang mata anda juga tertipu dan tersilap apabila melihat pensel bengkok ketika di dalam gelas berisi air.Hakikatnya pensel itu tidak bengkok.
Justeru, akal juga begitu.Jangan dipaksa akal untuk berfikir sesuatu yang melampaui batas kemampuannya.Anda memerlukan agama untuk memandu akal supaya tidak terbabas.Perkara-perkara ghaib (metafizik) adalah subjek agama yang tidak mampu dijelaskan oleh manusia melainkan daripada sumber wahyu Allah SWT.

Manusia mencari Tuhan.Dilihatnya kuku yang dipotong beberapa hari yang lepas kini sudah mulai memanjang.Rambut yang dahulunya pendek kini sudah perlu dipotong.Timbul dibenak hati, siapa yang memanjangkannya? 

Degupan jantung yang berfungsi mengepam darah lalu mengangkut oksigen keseluruh badan untuk keperluan diri manusia.Semuanya berlaku tanpa kehendak manusia bahkan manusia tidak berfikir untuk menggerakkannya...kebetulan?Tidak mungkin!!!

"Kebetulan itu selalunya tidak sempurna bahkan maksud kebetulan itu jarang-jarang berlaku.Sedangkan jantung yang aku miliki ini juga dimiliki oleh manusia lain.Tidak jarang-jarang bahkan ia adalah penentuan Yang Maha Bijaksana,"bisik hati manusia.

Lalu timbullah di dalam pemikirannya bahawa 'ada' yang memelihara dan mengawasinya setiap saat tanpa cuai.Sudah tentu ianya bukan manusia, bukan juga dirinya sendiri.Manusia masih tidak berkuasa mutlak terhadap kerajaan dirinya.

Adakah mereka dicipta dengan tiada yang menciptanya, atau adakah mereka yang mencipta diri mereka sendiri?(Surah At Tur:35)

Serba sedikit manusia mula mengenal kewujudan Allah melalui pengamatan pada diri.Ahli-ahli sufi berkata,"Barangsiapa yang mengenal dirinya maka dia mengenal Tuhannya."

Allah SWT bertanya dalam Al Quran, yang bermaksud:

"Dan juga pada diri kamu sendiri, maka mengapa kamu tidak (mahu) melihat (serta memikirkannya)?"(Surah Az Zariyat:21)

Penciptaan pen, kertas dan baju yang ringkas itupun memerlukan pencipta, maka adakah penciptaan bumi yang begitu kompleks dengan ukuran gas-gas diudara dan jarak yang tepat diantaranya dengan matahari itu wujud tanpa pencipta?Mustahil!!!
 
Siapakah yang mengawal peredaran planet-planet dan bintang di angkasaraya sehingga tidak pula berlanggar diantara mereka?Anda bezakanlah ianya dengan kawalan manusia yang mengawal kenderaan dijalan.Ternyata ada juga kenderaan yang kemalangan dalam kawalan manusia.

"Dan dijadikan manusia itu dalam keadaan lemah"(Surah AnNisa':28)

Sebagaimana pancaindera mata sensitif kepada cahaya, pancaindera telinga sensitif kepada bunyi demikianlah pancaindera agama 'sensitif' kepada wujud Tuhan.Kehidupan manusia moden yang silau dengan materialistik menyebabkan pancaindera agama mereka tercedera.Mereka sudah mempersoalkan kewujudan Tuhan sedangkan mengetahui wujud Tuhan itu adalah tingkat pemikiran rendah.

Menjadi kewajipan kepada orang Islam supaya menegakkan agama setakat kemampuannya.Bermula pada diri, keluarga, masyarakat dan negara.Betapa dunia ini sedang sakit akibat kemunduran umat Islam.Mereka kurang zikir dan kurang fikir.

Wallahua'lam


1 ulasan: