Selasa, 18 Januari 2011

Kita dan Berita

Berita ataupun informasi merupakan keperluan kepada setiap manusia, tidak terbatas kepada manusia moden bahkan semenjak kemunculan awal tamadun manusia lagi.Keperluan kepada berita ini bermuara daripada naluri manusia yang bersifat ingin tahu.

Islam menganjurkan umatnya supaya meneliti berita yang datang kepadanya secara saksama apatahlagi sekiranya berita itu datang daripada orang yang tidak dipercayai.Firman Allah Taala: 

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan."(Surah Al Hujurat:6) 

Tidak sedikit berita yang sampai kepada kita baik melalui akhbar, laman sosial, sms, televisyen, radio dan sebagainya adalah rekaan semata-mata.Lebih memburukkan lagi, apabila 'matan' (teks) penceritaan ditokok-tambah supaya menambahkan lagi selera pendengar dan pembaca.Kita berlindung diri daripada informasi-informasi ke'syaitanan' seperti ini.

Firman Allah SWT dalam Al Quran:

Maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya, dengan berkata: “Wahai Adam, mahukah aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?”(Surah Taha:120) 

Akibat terpengaruh dengan berita syaitan ini maka bermulalah episod kehidupan manusia diatas muka bumi. 

Setelah itu, Syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat yang mereka telah berada di dalamnya dan Kami berfirman: “Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (Surah Al Baqarah:36) 

Di sisi lain, Allah SWT berpesan kepada pembawa berita: 

Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat (Surah Al Ahzab:70) 

Kata sadid dalam pesanan di atas, bukan hanya berarti "tepat". Lebih jauh dari itu, kata ini dalam berbagai bentuk, pada akhirnya merujuk kepada makna menghalangi atau membendung.Tidak harus menerima informasi yang tidak mendatangkan manfaat apatahlagi sekiranya membawa kepada mudarat.

Di dalam beberapa situasi, ada berita yang harus kita tangguhkan kepada orang ramai walaupun berita tersebut benar dan tepat.لكل مقام مقال...kata orang Arab.Ini merujuk kepada kemungkinan timbulnya salah-faham terhadap berita yang ingin disampaikan.

Dalam Sahih Bukhari, terdapat sebuah kisah antara Saiyidina Muaz RA dengan Nabi SAW ketika baginda menyampaikan berita gembira:

"Barangsiapa yang bersaksi tiada Tuhan yang diabdikan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah, dengan hati yang benar, Allah mengharamkan baginya neraka."

"Adakah aku boleh khabarkan berita gembira ini kepada manusia?"tanya Saiyidina Muaz RA.

Nabi SAW menjawab,"Aku khawatir mereka akan menghitungnya (lalu mengambil mudah).Walau bagaimanapun, Saiyidina Muaz RA akhirnya meriwayatkan hadis ini di penghujung usianya agar tidak berdosa kerana merahsiakan sesuatu ilmu.

Kesimpulannya, saya berpesan pada diri saya dan anda supaya hindari kegopohan dalam  menerima dan menyampaikan sesuatu berita.Menyampaikan yang baik dan benar itu penting, tetapi melihat atmosfera sekeliling itu juga penting supaya kebenaran itu mudah menyusup ke hati manusia.Jangan dipetik buah yang belum masak sekiranya inginkan manis kerana memetik buah sebelum sampai masanya selalunya mendatangkan rasa kelat dan masam.
  
Wallahua'lam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan