Rabu, 26 Januari 2011

Nasihatku...

Sungguh indah pintu dipahat,
Burung puyuh di atas dahan,
Kalau hidup hendak selamat,
Taat selalu perintah Tuhan.

Halia ini tanam-tanaman,
Ke barat juga akan rebahnya,
Dunia ini pinjam-pinjaman,
Ke akhirat juga akan sudahnya.

Redup bulan tanda nak hujan,
Pasang pelita sampai berjelaga,
Hidup mati di tangan Tuhan,
Tiada siapa dapat menduga.

Daun tetap di atas dulang,
Anak udang mati dituba,
Dalam kitab ada terlarang,
Benda haram jangan dicuba.

Terang bulan terang bercahaya,
Terang lagi cahaya mentari,
Jikalau hendak hidup bahagia,
Beramal ibadat sebelum mati.

Asam kandis asam gelugur,
Ketiga asam si riang-riang,
Menangis mayat di pintu kubur,
Teringat jasad tidak sembahyang.

Banyaklah masa antara masa,
Tidak seelok masa bersuka,
Meninggalkan sembahyang jadi biasa,
Tidak takutkah api neraka?

Kalau Tuan pergi ke Kedah,
Singgah semalam di Kuala Muda,
Sembahyang itu perintah Allah,
Jika ingkar masuk neraka.

Pergi ke pekan menaiki kereta,
Kereta di bawa dengan bijaksana,
Amalan apakah yang pertama ditanya,
Tentulah amalan solat kita.

Mengapa engkau malas sembahyang,
Sedangkan umur bukannya panjang,
Seksa kubur tidaklah terbayang,
Dipukul dipalu tanggunglah seorang.

Mengapa mesti malas sembahyang,
Walhal hidupmu sentiasa senang,
Nikmat Allah bukan kepalang,
Tidakkah engkau mahu mengenang.

Mengapa masih malas sembahyang,
Tiada uzur tiada penghalang,
Bukankah rezeki tidak terbilang,
Dikurnia Allah malam dan siang.

Hidup ini ibarat lampu dinding,
Menerangi malam yang gelap gelita,
Solat itu sangatlah penting,
Agar iman terpelihara.

Sepohon kayu daunnya rimbun,
Lebat buahnya serta bunganya,
Walaupun hidup seribu tahun,
Kalau tak sembahyang apa gunanya.

Dua tiga empat lima,
Enam tujuh lapan sembilan,
Kita hidup takkan lama,
Jangan lupa siapkan bekalan.

Ramai orang menggali perigi,
Ambil buluh lalu diikat,
Tuntutlah ilmu tak akan rugi,
Buat bekalan dunia akhirat.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah tiap-tiap diri memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amalannya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan) bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan.(Surah Al Hasyr:18)

Wallahua'lam

Selasa, 18 Januari 2011

Kita dan Berita

Berita ataupun informasi merupakan keperluan kepada setiap manusia, tidak terbatas kepada manusia moden bahkan semenjak kemunculan awal tamadun manusia lagi.Keperluan kepada berita ini bermuara daripada naluri manusia yang bersifat ingin tahu.

Islam menganjurkan umatnya supaya meneliti berita yang datang kepadanya secara saksama apatahlagi sekiranya berita itu datang daripada orang yang tidak dipercayai.Firman Allah Taala: 

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan."(Surah Al Hujurat:6) 

Tidak sedikit berita yang sampai kepada kita baik melalui akhbar, laman sosial, sms, televisyen, radio dan sebagainya adalah rekaan semata-mata.Lebih memburukkan lagi, apabila 'matan' (teks) penceritaan ditokok-tambah supaya menambahkan lagi selera pendengar dan pembaca.Kita berlindung diri daripada informasi-informasi ke'syaitanan' seperti ini.

Firman Allah SWT dalam Al Quran:

Maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya, dengan berkata: “Wahai Adam, mahukah aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?”(Surah Taha:120) 

Akibat terpengaruh dengan berita syaitan ini maka bermulalah episod kehidupan manusia diatas muka bumi. 

Setelah itu, Syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat yang mereka telah berada di dalamnya dan Kami berfirman: “Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (Surah Al Baqarah:36) 

Di sisi lain, Allah SWT berpesan kepada pembawa berita: 

Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat (Surah Al Ahzab:70) 

Kata sadid dalam pesanan di atas, bukan hanya berarti "tepat". Lebih jauh dari itu, kata ini dalam berbagai bentuk, pada akhirnya merujuk kepada makna menghalangi atau membendung.Tidak harus menerima informasi yang tidak mendatangkan manfaat apatahlagi sekiranya membawa kepada mudarat.

Di dalam beberapa situasi, ada berita yang harus kita tangguhkan kepada orang ramai walaupun berita tersebut benar dan tepat.لكل مقام مقال...kata orang Arab.Ini merujuk kepada kemungkinan timbulnya salah-faham terhadap berita yang ingin disampaikan.

Dalam Sahih Bukhari, terdapat sebuah kisah antara Saiyidina Muaz RA dengan Nabi SAW ketika baginda menyampaikan berita gembira:

"Barangsiapa yang bersaksi tiada Tuhan yang diabdikan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah, dengan hati yang benar, Allah mengharamkan baginya neraka."

"Adakah aku boleh khabarkan berita gembira ini kepada manusia?"tanya Saiyidina Muaz RA.

Nabi SAW menjawab,"Aku khawatir mereka akan menghitungnya (lalu mengambil mudah).Walau bagaimanapun, Saiyidina Muaz RA akhirnya meriwayatkan hadis ini di penghujung usianya agar tidak berdosa kerana merahsiakan sesuatu ilmu.

Kesimpulannya, saya berpesan pada diri saya dan anda supaya hindari kegopohan dalam  menerima dan menyampaikan sesuatu berita.Menyampaikan yang baik dan benar itu penting, tetapi melihat atmosfera sekeliling itu juga penting supaya kebenaran itu mudah menyusup ke hati manusia.Jangan dipetik buah yang belum masak sekiranya inginkan manis kerana memetik buah sebelum sampai masanya selalunya mendatangkan rasa kelat dan masam.
  
Wallahua'lam

Ahad, 16 Januari 2011

Politik Negara Insan

Anda berada di dalam kerajaan diri.Pemerintahnya hati, penasihatnya akal dan rakyatnya anggota tubuh.Jika baik pemerintah maka baiklah rakyatnya.Begitulah kata ahli cerdik-pandai kejiwaan manusia di dalam kitab-kitab mereka.

Tersebutlah alkisah, sebuah negara yang bernama Insan.Parti yang memerintahnya Hawa Nafsu.Tugasnya menyebarkan fitnah dan propaganda.Mengajak rakyat-rakyat dalam kerajaan diri supaya lawan perintah Tuhan dan patuh pada kepimpinan tertinggi mereka, Syaitan.

"Tidur dululah...nanti kamu solat.Sejuk ni, menggigil kamu nanti bila ambil wudhu,"kata Presiden Parti Hawa Nafsu .

"Tak payah dengar sangatlah kata pak lebai tu.Dia pun bukan baik sangat...cakap tak serupa bikin,"sampuk timbalannya yang baru menerima sampul duit dari tauke Facebook.
"Chatting adalah salah satu cara untuk menguatkan ukhuwwah antara lelaki dan wanita dalam negara ini.Bertanya khabar antara kita, lelaki dan wanita, itupun salah ke?"kempen Ketua Wanita Parti Hawa Nafsu baru-baru ini sempena merasmikan Gempur Wilayah Ilmiah.

Parti Hawa Nafsu selalu menganjurkan konsert-konsert hiburan, video-video game dan tabung derma pada Marlboro, Salem dan Gudang Garam.Ramai juga yang mengikutnya.Ustaz-ustaz pun tidak terkecuali...

Didermanya dengan sepenuh keikhlasan di dalam hati, tangan kiri tak tahu apa yang diberi tangan kanan... 

Malangnya, penasihat parti Hawa Nafsu ini selalu merujuk kepada Perlembagaan Mangga.Selain itu, kitab-kitab karangan Justin Timberlake, Justin Bieber dan Avril Lavigne menjadi sumber rujukan utama baginya.Ceramah-ceramah mereka juga disiarkan di Saluran Tembaga TV25%.

Nun jauh disana ada sebuah parti namanya Iman.Pembangkang tegar bagi pemerintahan parti Hawa Nafsu.Ahlinya sedikit sekali tapi jiwa mereka besar.Mereka ingin memerintah Negara Insan dengan Al Quran dan Sunnah Nabi Muhammad SAW.Mereka juga menggagaskan Kepimpinan Warak.

Parti Iman programnya seronok juga.Solat di awal waktu, berjemaah bagi yang mampu, bercakap dengan sopan dan rajin-rajin belajar.Hujung tahun lepas dijalankan karnival Jalan-Jalan Cari Pahala.Tapi sayangnya, yang mengikut program ni sedikit sekali.Maklumlah, dana parti Iman ni terhad dan sah diperlakukan di akhirat sahaja.

Walaupun yang mengikutnya sedikit tetapi kehidupan penyokong parti ini sangat memikat.Wajah mereka bersinar umpama bulan purnama di tengah malam, tangan mereka ringan sekali untuk membantu orang yang kesusahan, kaki mereka dimudahkan Allah SWT untuk ke tempat-tempat taat walaupun usia mereka sudah terlampau tua.

Hati mereka tenang dan nyaman sekali.Sukar digambarkan tetapi ingin sahaja mereka berkongsi kenikmatan ini dengan puak-puak Parti Hawa Nafsu.Malangnya, penyokong-penyokong parti Hawa Nafsu tetap istiqamah dengan kepimpinan mereka...maklumlah program Counter Strike masih terkesan di hati sebahagian rakyat.

Baru-baru ini ada khabar angin bahawa ramai penyokong Hawa Nafsu beralih arah.Mereka sudah hilang kepercayaan dengan Presiden Parti Hawa Nafsu.Rakyat mula sedar yang kempen derma kepada Salem, Marlboro dan Gudang Garam adalah omongan belaka.Kebanyakan yang menjadi penderma menghidap sakit jantung.Ramai yang mati terkejut.Nau'zubillah...

Rakyat juga kian muak dengan konsert-konsert lagu lagho.Mereka dah beralih arah kepada zikir-zikir dan ayat-ayat Al-Quran.Antara yang mendapat tempat Syeikh Misyari Rasyid Al-Afasy, Syeikh Abdul Rahman Sudais dan Saad Said Al Ghamidi.

Dalam masa yang sama ada ahli wakil rakyat Parti Hawa Nafsu yang lompat parti.Makin meranalah Presidennya.Kulit muka yang tegang menjadi kendur, rambut yang hitam, berubah putih dan lebih menyedihkan botak licin di tengah.

Dalam masa yang sama, Parti Iman semakin mendapat tempat di hati rakyat.Kempen mereka selama ini tidak sia-sia.Sekarang ia sudah berdarah daging di hati kaum Lidah, Tangan, Mata dan Telinga.Jawatan Hati (pemerintah) dan Otak ( penasihat kerajaan) akan diisi oleh kepimpinan Parti Iman sekiranya diizinkan, insyaALLAH.Baru-baru ini wakil kaum Tangan dan Mata menandatangani Perjanjian Katakan Tak Nak kepada Buang Masa.

Sampai masanya...

Semboyan pilihanraya pun bergema.Seperti yang diramalkan Parti Iman menang majoriti besar dengan 3/4 kerusi.Hari pertama kemenangan, Presiden Parti Iman mengumumkan Dasar Pandang Generasi Salaf.Wawasan Sejengkal yang digagaskan di zaman pemerintahan Hawa Nafsu diubah kepada Wawasan Akhirat.
Program yang dicadangkan 100 hari menjadi program sepanjang hayat kerana menerima feedback yang diluar jangkaan oleh rakyat.

Parti Hawa Nafsu terpaksa menelan hakikat tersebut dengan penuh kepahitan.Kepimpinan tertinggi mereka, Syaitan melarikan diri entah ke mana.Ada laporan berita menyatakan dia sedang mengatur strategi baru di negara jiran melalui Jaringan Buka Aurat.

Ternyata pilihan rakyat negara Insan tepat.Kepimpinan Warak semakin diterima oleh semua kaum di negara tersebut.Perlembagaan Kerajaan Insan ditegakkan dengan Al-Quran dan As-Sunnah.Iman Maju Rakyat Sejahtera.

Isnin, 10 Januari 2011

Pancaindera Agama

Cetusan kehambaan adalah cetusan fitrah insani.Merasa diri hamba dan meyakini wujud Maha Pencipta lahir dari jiwa manusia normal.Allah SWT berfirman dalam Al Quran menyeru kepada seluruh manusia, tanpa dikhususkan kepada yang beriman sahaja untuk beribadah, yang bermaksud:

"Wahai sekalian manusia, beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan mereka yang terdahulu daripada kamu, moga-moga kamu bertaqwa.Dialah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan dan langit sebagai bangunan dan diturunkanNya air hujan dari langit, lalu dikeluarkanNya dengan air itu berbagai-bagai jenis buah yang menjadi rezeki bagi kamu, maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah sebarang sekutu padahal kamu semua mengetahui"(Surah Al Baqarah:21-22)

Sebahagian manusia yang menolak kewujudan Tuhan mendakwa bahawa mereka adalah yang 'mengfungsikan' akal.Namun begitu, manusia punya jiwa dan emosi yang merupakan sahabat karib akal.Tidak sedikit daripada keputusan yang dibuat oleh manusia dalam kehidupan adalah hasil daripada paduan akal dan emosi.

Mata digunakan manusia untuk melihat.Mendakwa mata anda cerah dan sihat tidak bermakna mata anda tidak mempunyai keterbatasan.Wilayah mata itu melihat sekadar kemampuannya sahaja.Oleh yang demikian, manusia yang cerah matanya tetap tidak mampu melihat objek yang jauh lebih besar seperti di alam cakerawala dan objek yang lebih kecil seperti kuman melainkan dengan perantaraan alat.

Bahkan kadang-kadang mata anda juga tertipu dan tersilap apabila melihat pensel bengkok ketika di dalam gelas berisi air.Hakikatnya pensel itu tidak bengkok.
Justeru, akal juga begitu.Jangan dipaksa akal untuk berfikir sesuatu yang melampaui batas kemampuannya.Anda memerlukan agama untuk memandu akal supaya tidak terbabas.Perkara-perkara ghaib (metafizik) adalah subjek agama yang tidak mampu dijelaskan oleh manusia melainkan daripada sumber wahyu Allah SWT.

Manusia mencari Tuhan.Dilihatnya kuku yang dipotong beberapa hari yang lepas kini sudah mulai memanjang.Rambut yang dahulunya pendek kini sudah perlu dipotong.Timbul dibenak hati, siapa yang memanjangkannya? 

Degupan jantung yang berfungsi mengepam darah lalu mengangkut oksigen keseluruh badan untuk keperluan diri manusia.Semuanya berlaku tanpa kehendak manusia bahkan manusia tidak berfikir untuk menggerakkannya...kebetulan?Tidak mungkin!!!

"Kebetulan itu selalunya tidak sempurna bahkan maksud kebetulan itu jarang-jarang berlaku.Sedangkan jantung yang aku miliki ini juga dimiliki oleh manusia lain.Tidak jarang-jarang bahkan ia adalah penentuan Yang Maha Bijaksana,"bisik hati manusia.

Lalu timbullah di dalam pemikirannya bahawa 'ada' yang memelihara dan mengawasinya setiap saat tanpa cuai.Sudah tentu ianya bukan manusia, bukan juga dirinya sendiri.Manusia masih tidak berkuasa mutlak terhadap kerajaan dirinya.

Adakah mereka dicipta dengan tiada yang menciptanya, atau adakah mereka yang mencipta diri mereka sendiri?(Surah At Tur:35)

Serba sedikit manusia mula mengenal kewujudan Allah melalui pengamatan pada diri.Ahli-ahli sufi berkata,"Barangsiapa yang mengenal dirinya maka dia mengenal Tuhannya."

Allah SWT bertanya dalam Al Quran, yang bermaksud:

"Dan juga pada diri kamu sendiri, maka mengapa kamu tidak (mahu) melihat (serta memikirkannya)?"(Surah Az Zariyat:21)

Penciptaan pen, kertas dan baju yang ringkas itupun memerlukan pencipta, maka adakah penciptaan bumi yang begitu kompleks dengan ukuran gas-gas diudara dan jarak yang tepat diantaranya dengan matahari itu wujud tanpa pencipta?Mustahil!!!
 
Siapakah yang mengawal peredaran planet-planet dan bintang di angkasaraya sehingga tidak pula berlanggar diantara mereka?Anda bezakanlah ianya dengan kawalan manusia yang mengawal kenderaan dijalan.Ternyata ada juga kenderaan yang kemalangan dalam kawalan manusia.

"Dan dijadikan manusia itu dalam keadaan lemah"(Surah AnNisa':28)

Sebagaimana pancaindera mata sensitif kepada cahaya, pancaindera telinga sensitif kepada bunyi demikianlah pancaindera agama 'sensitif' kepada wujud Tuhan.Kehidupan manusia moden yang silau dengan materialistik menyebabkan pancaindera agama mereka tercedera.Mereka sudah mempersoalkan kewujudan Tuhan sedangkan mengetahui wujud Tuhan itu adalah tingkat pemikiran rendah.

Menjadi kewajipan kepada orang Islam supaya menegakkan agama setakat kemampuannya.Bermula pada diri, keluarga, masyarakat dan negara.Betapa dunia ini sedang sakit akibat kemunduran umat Islam.Mereka kurang zikir dan kurang fikir.

Wallahua'lam


Khamis, 6 Januari 2011

Art of War

Saya meminati falsafah walaupun saya bukanlah ahli falsafah.Tidak dapat dinafikan, membaca buku-buku falsafah memenatkan otak.Sebahagian daripada perbincangannya menjurus kepada penggunaan istilah...
Namun begitu, tidak semua karya falsafah itu diawang-awangan.Sebahagiannya diterjemahkan manusia dalam medan kehidupan.Di sini saya  lampirkan sebahagian daripada ringkasan karya agung Tamadun China, Sun Tzu's Art of War.Karya ini telah diaplikasikan oleh masyarakat moden dalam bidang perniagaan.Semoga bermanfaat, insyaALLAH.


Bahagian Pertama
Seni perang sangat penting bagi negara. Ini menyangkut masalah hidup dan mati, pilih satu jalan, samaada menuju keselamatan atau kehancuran.

Kenalilah musuhmu, kenalilah diri sendiri. Maka anda mampu berjuang dalam 100 pertempuran tanpa risiko kalah. Kenali bumi, kenali langit, dan kemenanganmu akan menjadi lengkap.
Sang jeneral adalah pelindung negara. Ketika sang pelindung utuh, tentu negaranya kuat. Kalau sang pelindung cacat, tentu negaranya lemah.
Gunakanlah kekuatan normal untuk bertempur. Gunakan kekuatan luar biasa untuk meraih kemenangan.
Kemungkinan menang terletak pada serangan. Mereka yang menduduki medan pertempuran terlebih dahulu dan menantikan musuhnya akan memperoleh kemenangan.
Kepantasan adalah inti peperangan. Yang penting dalam perang adalah kemenangan yang cepat, bukan operasi militan berpanjangan.
Ketika sepuluh lawan satu, kepunglah. Ketika lima lawan satu, seranglah. Ketika dua lawan satu, bertempurlah. Ketika seimbang, pecah-belahkan. Ketika lebih sedikit, bertahanlah.Ketika tidak memadai, hindarilah.

Mengetahui cara menggunakan yang banyak dan yang sedikit adalah kemenangan. Atasan dan bawahan yang menginginkan hasrat yang sama adalah kemenangan.

Bahagian Kedua
Bersiap sedia dan menunggu musuh tidak bersedia adalah kemenangan.
Sang jeneral yang mampu dan sang raja yang tidak campur tangan adalah kemenangan.
Kemenangan itu dapat dikenal, tetapi tidak dapat dibuat.
Kondisi tidak mungkin kalah terdapat pada diri sendiri. Kondisi dapat ditakluki terdapat pada musuh. Demikianlah yang genius dapat menjadikan diri mereka tidak dapat dikalahkan.
Militan yang menang sudah menang terlebih dahulu, baru bertempur. Militan yang kalah, bertempur dahulu baru mencari kemenangan.
Melawan yang banyak sama seperti melawan yang sedikit. Itu hanya soal bentuk dan nama.

Kacau-bilau lahir dari keteraturan.Ke'pengecutan' lahir dari keberanian. Kelemahan lahir dari kekuatan.Keteraturan dan kacau-bilau adalah soal menghitung. Keberanian dan ke'pengecutan' adalah soal kerohanian.Kekuatan dan kelemahan adalah soal bentuk.
Seseorang yang mengambil posisi terlebih dahulu di medan pertempuran dan menantikan musuhnya, akan tenang. Seseorang yang lewat mengambil posisi di medan perang dan tergesa-gesa bertempur, ia harus bekerja keras. Demikianlah seorang yang genius  bertempur, memanggil lawannya dan bukan dipanggil oleh mereka.

Bahagian Ketiga
Untuk membuat musuh datang atas kemahuan sendiri, tawarkan mereka keuntungan. Untuk mencegah datangnya musuh, lukai mereka. Demikianlah seseorang dapat membuat musuh   bekerja keras sementara ia sendiri tenang dan membuat musuh kelaparan sementara ia sendiri kenyang.

Pantaslah dalam merancang strategi untuk membuat musuh takjub. Maka anda mampu merebut kota-kota musuh dan menggulingkan negaranya.


Untuk menempuh jarak seribu batu tanpa takut, tempuhlah jalan yang tidak berpenghuni.

Untuk menyerang sesebuah kawasan dan ingin merebutnya, seranglah di mana mereka tidak bertahan.Untuk bertahan dan pasti tetap teguh, bertahanlah di mana mereka pasti menyerang.

Demikianlah kalau seseorang genius menyerang, musuh tidak tahu di mana ia harus bertahan. Kalau seseorang genius bertahan, musuh tidak tahu di mana ia harus menyerang.

Jeneral yang bijak akan membentuk lawannya.Siapkan di bahagian depan, maka yang belakang lemah. Siapkan di bagian kiri, maka yang kanan lemah.Tidak ada yang lebih sulit daripada menyiapkan sebuah pasukan.

Sebuah pasukan tanpa kereta bagasi akan kalah. Tanpa gandum dan makanan juga akan kalah. Tanpa persedian sudah tentu kalah.
------------------------------------------------------------

#Sebahagian daripada isinya diedit oleh penulis untuk memudahkan pembacaan.

#Untuk lebih lanjut boleh lawati:  http://artofwars.wordpress.com/

#Mungkin boleh aplikasi dalam peperiksaan...:)