Fitrah manusia, setiap orang mahu berubah. Yang gemuk, mahu menjadi kurus. Yang kurus, ingin lebih berisi. Yang miskin, ingin menjadi kaya. Yang kaya ingin bertambah kaya. Yang kurang cerdik ingin menjadi cerdik. Yang cerdik ingin bertambah cerdik. Yang gelap mungkin ingin menjadi cerah, dan ada juga yang cerah ingin menjadi lebih gelap (sedikit). Yang tidak berjawatan mahu berjawatan, dan yang berjawatan, mahu berjawatan lebih tinggi.
Bukan sahaja manusia. Zaman juga berubah. Andai kita tidak mampu berubah selaras dengan perubahan zaman, maka kita akan tewas. Lihat apa yang terjadi kepada makhluk Tuhan yang bergelar dinasour. Andai kita sudah sampai ke zaman dewasa, tetapi tidak mahu berubah dari zaman keanak-anakan, maka pasti kita tidak akan cemerlang.
Itu sunnatullah. Secara umumnya, satu-satunya benda yang tidak berubah ialah setiap perkara berubah.
Imam Syafi'e menyebut yang air apabila tidak bergerak, akan rosak. Singa yang tidak mahu bergerak, akan mati kelaparan. Panah yang tidak mahu bergerak, tiada manfaatnya. Bererti adalah sunnatullah bahawa sesuatu yang statik, tidak bergerak atau tidak berubah akan gagal memberi manfaat, bahkan boleh membawa kepada kerosakan dan mudarat.
إن الله لا يغير ما بقوم حتى يغير ما بأنفسهم
Maksudnya: Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehinggalah mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka. (Ar-Ra'd, 13:11)
Berbalik kepada tajuk ma'al hijrah.
مع الهجرة
Apa itu ma'al hijrah?
Bersama Hijrah!
Ertinya kita menyambut tahun baru Islam dengan mengenang peristiwa Hijrah Rasulullah SAW seolah-olah kita bersama Rasulullah SAW dalam peristiwa tersebut.
Kita mungkin sudah maklum kisah peristiwa hijrah.
"Rasulullah meninggalkan kota Mekah setelah mendapat perintah dari Allah, untuk berhijrah ke Madinah. Bersama baginda SAW adalah Abu Bakar RA. Keluarnya baginda dari Mekah, baginda terselamat daripada cubaan membunuh baginda SAW oleh para pembesar Quraisy. Maka mereka menawarkan 100 ekor unta sebagai ganjaran untuk mereka yang berjaya menangkap baginda SAW, hidup atau mati.
Rasulullah SAW dan Abu Bakar RA berlindung ke Gua Thur. Walaupun Madinah berada di arah utara, baginda memilih untuk berlindung di Gua Thur yang berada di selatan Mekah kerana para SB dan mata-mata Quraisy pastinya mencari-cari Rasul SAW di jalan ke Madinah, iaitu di utara. Dengan Abdullah Bin Abu Bakar sebagai pengintip baginda, apabila kemeriahan "Ops Cari Muhammad" sudah reda, maka barulah mereka mengorak langkah meneruskan perjalanan ke Madinah.
Dalam perjalanan, mereka dijumpai oleh Saraqah Bin Malik, tetapi setiap kali lelaki itu cuba menghampiri mereka, kuda yang dinaikinya terperosok ke dalam tanah, membuatkannya yakin akan perlindungan Allah ke atas rasul-Nya dan beriman kepada Rasul SAW.
Baginda SAW tiba di Madinah selepas berhari-hari di padang pasir, dan disambut meriah oleh para penduduk Madinah. Baginda melakukan tiga perkara sebagai asas kepada Kerajaan Islam pertama di dunia, di Madinah, iaitu pertama, mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar, kedua, membina masjid, dan ketiga, membina Perlembagaan Madinah."
Jadi di atas adalah ringkasan kisah hijrah Rasul SAW. Biarpun di zaman ini kebanyakan kita tidak mempunyai keperluan untuk meninggalkan tanah airnya, berhijrah seperti Rasul SAW, tetapi semangat hijrah itu secara umumnya masih kekal wujud dalam bentuk perubahan ataupun perpindahan daripada keadaan yang buruk ataupun kurang baik kepada yang lebih baik. Contohnya dalam hal pengislahan diri.
Kerana Rasul SAW bersabda bahawa tiada hijrah lagi selepas Fathul Makkah. Tetapi ini adalah hijrah lahiriah, sedang hijrah maknawi terus-menerus berlaku dalam diri, dalam mengubah diri kepada kebaikan.
Masih ingat kisah lelaki yang sudah membunuh 100 orang? Apabila dia ingin bertaubat, orang soleh yang ditanyanya menasihatkannya agar BERPINDAH, kerana asal kampungnya adalah kampung yang penuh kemaksiatan kepada kampung yang didiami orang-orang soleh. Dan hasil usaha hijrahnya itulah, Allah memasukkannya ke dalam syurga, biarpun dia mati di tengah-tengah perjalanan.
Mari kita kaji tentang hijrah. Apa elemen-elemen penting yang ada dalam hijrah? Bukan sahaja hijrah lahiriah (perpindahan), tetapi yang lebih relevan dengan kebanyakan kita sekarang adalah hijrah maknawi.
1) NIAT
إنما الأعمال بالنيات, وإنما لكل امرئ ما نوى. فمن كانت هجرته إلى الله ورسوله, فهجرته إلى الله ورسوله. فمن كانت هجرته لدنيا يصيبها
أو امرأة ينكحها, فهجرته إلى ما هاجر إليه
Maksudnya: "Sesungguhnya setiap amalan itu adalah (dikira) dengan niat, dan sesungguhnya bagi setiap orang (balasan berdasarkan) apa yang diniatkan. Maka barangsiapa yang hijrahnya untuk Allah dan Rasulnya, maka hijrahnya kepada (redha) Allah dan Rasul-Nya. Maka barangsiapa yang hijrahnya untuk dunia yang bakal diperolehinya, atau wanita yang bakal dikahwininya, maka hijrahnya kepada apa yang dia (niatkan) berhijrah kepadanya. (Hadith Muttafaq Alaih)
Ertinya apa wahai saudara-saudara sekalian? Sebarang perubahan, tidak lain dan tidak bukan WAJIB diniatkan kerana Allah, dan bukan kerana kepentingan atau motif-motif lain. Bahkan CINTA (wanita) yang hari ini dijaja besar-besaran kononnya sebagai sesuatu yang suci tidak dikira ikhlas. Disebut jelas di dalam hadith.
"Aku lakukan ini demi cintaku kepada ________(insert girl's name here)."
Jangan tertipu. Tiada nilai pun di sisi Allah jika tidak diniatkan kerana-Nya. Di hari akhirat, kekasih tidak akan mengaku kekasih melainkan yang bersama di bawah naungan Arasy Allah SWT.
Bahkan disebut jelas dalam hadith. Mengapa tidak disebut kerana wang, kuasa atau lain-lain, tetapi disebut wanita? Sebab manusia mudah tertipu kononnya apabila kerana cinta kepada wanita pujaannya dia menyangka itu matlamat yang suci. Sedangkan tidak di sisi Allah SWT.
Begitu juga dengan motif-motif duniawi yang lain. Bahkan kalimah إخلاص (ikhlas) itu sendiri bermaksud suci daripada bercampur-aduk dengan yang lain. Mudah disebut, tetapi sukar untuk direalisasikan, tetapi mesti diusahakan.
"Aku lakukan kerana Allah... (dan kerana ingin dipuji).." Rosak! Tak cukup ikhlas.
"Aku lakukan kerana Allah.. (dan manalah tahu, kalau-kalau orang yang aku tolong ini belanja makan).." Juga tidak mencapai tahap ikhlas.
"Aku lakukan kerana Allah.. juga sebagai contoh buat manusia lain.. tetapi kerana Allah, bukan untuk menunjuk-nunjuk." Ini dibenarkan. Motif dua dalam satu, tetapi kedua-duanya kerana Allah. Bahkan barangkali dia mendapat dua pahala.
2) KESANGGUPAN
Ini juga tidak kurang pentingnya. Ada sahaja golongan yang tidak sanggup berhijrah.
إن الذين تتوفاهم الملائكة ظالمي أنفسهم قالو فيم كنتم, قالو كنا مستضعفين في الأرض, قالو ألم تكن أرض الله واسعة فتهاجروا فيها, فأولئك مأواهم جهنم, وساءت مصيرا
"Sesungguhnya orang-orang yang dicabut nyawanya oleh malaikat dalam keadaan menzalimi diri sendiri (ertinya Muslimin yang tidak mahu berhijrah ke Madinah), mereka (para malaikat) bertanya, 'Bagaimana kamu ini?' Mereka menjawab, 'Kami orang-orang yang tertindas di Bumi (Mekah).' Mereka (para malaikat) bertanya, 'Bukankah Bumi Allah itu luas, sehingga kamu dapat berhijrah di Bumi itu?' Maka orang-orang itu tempatnya di neraka Jahannam, dan itu seburuk-buruk tempat kembali." (Quran, An-Nisa', 4:97)
Dan ayat seterusnya memberitahu dimaafkan golongan yang memang tidak berkemampuan untuk berhijrah, tetapi yang menjadi tumpuan utamanya adalah bagaimana dengan golongan yang mampu tetapi tidak mahu? Tidak sanggup?
Sebagai contoh, tidak sanggup berubah dari pemakaian yang tidak syar'ie kepada yang syar'ie? Tidak sanggup berubah dari sistem riba kepada sistem yang halal? Tidak sanggup berubah dari kerja yang haram atau syubhah kepada kerja yang halal? Tidak sanggup berubah dari selalu berkata yang dusta atau keji kepada tidak berkata-kata kecuali kebaikan?
Bumi Allah itu luas. Peluang untuk berubah sentiasa ada selagi kita diberi kemampuan.
Janganlah menunggu sehingga tiba saat kita mati dalam keadaan menzalimi diri sendiri. Jangan-jangan ayat di atas itu rupa-rupanya dialog anda dengan malaikat! Na'udzubillah.
3) PENGORBANAN
Ya, seperti yang disebut dalam post yang lalu, mengenai pengorbanan demi Allah SWT. Tidak jarang perintah Allah memerlukan kepada pengorbanan yang besar. Begitu juga perubahan diri dari yang kurang baik kepada yang lebih baik. Pasti ada yang perlu dikorbankan.
Barangkali kawan-kawan yang akan menjauh apabila kita berubah ke arah kebaikan. Barangkali ego kita yang terkorban. Barangkali harta kita. Barangkali jawatan. Barangkali hobi kegemaran kita. Barangkali hiburan yang kita sayangi.
Tetapi yakinlah yang Allah pasti menggantikan dengan yang lebih baik, seperti kisah Nabi Ibrahim AS (rujuk artikel lepas). "Allah tidak akan sekali-kali mensia-siakan kita."
Suhaib ar-Rumi, yang ditahan Quraisy ketika berhijrah sehingga beliau dilepaskan setelah memberitahu mereka di mana simpanan hartanya yang bertimbun, kerana beliau seorang korporat yang kaya. Kalau di zaman kita, itu umpama bagi kad ATM bersama nombor PIN agaknya. Tetapi baginya, tiada masalah, asalkan dia dapat bersama perjuangan Islam. Sehingga turun ayat Quran kerana apa yang berlaku kepada beliau ini.
ومن الناس من يشري نفسه ابتغاء مرضات الله، والله رءوف بالعباد
Maksudnya: "Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya untuk mencari keredhaan Allah. Dan Allah Maha penyantun dengan hamba-hamba-Nya." (Al-Baqarah, 2:207)
Suhaib ar-Rumi menceritakan, apabila dalam perjalanan, beliau terserempak dengan Rasul SAW, baginda bersabda, "Untunglah perniagaanmu wahai Suhaib!" Lalu Suhaib kagum, kerana peristiwa itu belum diceritakannya lagi kepada sesiapa. Mulianya pengorbanan itu sehingga Tuhan yang menguasai galaksi-galaksi mengkhabarkannya kepada Rasulullah SAW serta-merta selepas itu.
Ramai lagi sahabat lain sanggup meninggalkan segala-galanya demi hijrah. Adakah ada alasan atau keuzuran untuk mereka tidak sanggup berhijrah atas alasan terlalu berat? Terlalu susah? Terlalu merugikan? Darurat? Mereka bakal kehilangan segala-galanya? Rujuk ayat Quran dalam bab kesanggupan di atas. Mereka tidak dimaafkan, sebaliknya mereka dimasukkan ke dalam neraka, kerana atas keengganan tersebut, mereka terpaksa melibatkan diri memerangi Muslimin, dipaksa oleh Quraisy, dan mereka terbunuh. Kecuali jika benar-benar mereka tidak ada jalan untuk berhijrah, yakni langsung tiada kemampuan.
Andai kita hidup di zaman Rasul SAW, sanggupkah kita melakukannya? Kita di zaman ini diuji dengan ujian yang jauh lebih ringan, iaitu kesenangan. Tak mati pun, insya-Allah jika dipindah wang kita dari sistem riba kepada sistem yang syar'ie misalnya, tetapi adakah kita tidak sanggup semata-mata kerana caj yang lebih tinggi? Tak mati pun, misalnya, jika kita ditinggalkan kawan-kawan kerana ingin berubah ke arah kebaikan. Tak mati pun, misalnya, jika diumpat orang ramai kerana tiba-tiba berubah cara pemakaian ke arah yang lebih baik. Itu semua kecil apabila sudah kukuh keimanan kita kepada Allah SWT. Dan Allah SWT tidak pernah mensia-siakan hamba-Nya.
4) STRATEGI
Islam tidak tertegak semata-mata kerana keajaiban dan semangat. Tidak.
Sebaliknya Rasulullah SAW menyusun pergerakannya dengan penuh strategik dan sistematik. Kenapa ke selatan, ke Gua Thur, tidak terus ke utara? Mengapa diutus Abdullah Bin Abu Bakar untuk mengintip? Mengapa diletaknya Saidina Ali sebagai pengganti tempat tidur?
Kerana Rasul SAW bekerja mengikut sunnatullah. Sebagai contoh bagi umatnya bahawa setiap perkara perlu kepada strategi, atau kita akan tewas.
Azam untuk berubah, setiap tahun baru. Mengapa selalu gagal? Kelemahan tekad itu satu perkara, tetapi adakah setiap azam itu sudah kita rangka dengan sistematik, dengan strategi supaya azam itu praktikal, realistik dan mampu dicapai dalam tempoh yang ditetapkan?
Misalnya, katakanlah saya berazam untuk hafaz 3 juzu' Quran setahun. Bagaimana ingin mempraktikalkannya? 3 juzu' 60 muka surat, jadi secara puratanya 6 hari satu muka surat perlu dihafal. Tetapi bagaimana jika sibuk? Mungkin bukannya setiap hari kita dapat mencapai matlamat? Jadi kita cuba sasarkan 5 hari, satu muka. iaitu 1 muka 15 baris, jadi 1 hari 3 baris. 1 hari lagi sebagai berjaga-jaga, andai 1 hari kita terlupa, dapat diganti. Kemudian bila waktu untuk melakukan hafazan? Setiap hari, diperuntukkan masa selepas subuh sehingga terbit matahari, misalnya. Kemudian lebih baik apabila dapat dicatat dan direkod kemajuan hafazan setiap hari. Barulah namanya perancangan yang sistematik.
Ya. Anda perlu bertindak. Mungkin azam-azam akan membuatkan hidup anda lebih sibuk, tetapi jika tidak mahu begitu, tidak perlulah anda memasang azam jika anda sendiri tahu (secara sedar atau separa sedar) yang anda tidak mahu melaksanakannya.
Mungkin tidak semua strategi kita berjaya (seperti biarpun Rasul SAW bersembunyi di Gua Thur, baginda hampir-hampir ditemui Quraisy), tetapi di situlah pentingnya inovasi. Jika resipi yang anda guna tidak menghasilkan kuih yang sedap, adakah dengan menggunakan resipi yang sama, anda mengharapkan kuih yang sedap? Ubah strategi.
5) TAWAKAL
Berserah kepada Allah. Ada sahaja perkara yang di luar kawalan kita, yang tidak mampu dijangka, seperti dalam kisah hijrah tadi. Siapa sangka apabila melalui jalan selatan, dapat dihidu oleh Saraqah Bin Malik? Tetapi diselamatkan juga oleh Allah SWT. Siapa sangka persembunyian di Gua Thur,walau telah dipadam tapak kaki oleh kawanan kambing Amir Bin Fuhairah, tetap dikesan 'tracker' Quraisy? Tetapi diselamatkan juga Allah SWT.
Ertinya, bertawakallah kepada Allah setelah selesai kita berusaha dan merancang sebaiknya.
فإذا عزمت فتوكل على الله، إن الله يحب المتوكلين
Maksudnya: "Dan apabila engkau sudah berazam, maka bertawakkallah kepada Allah. Sungguh, Allah mencintai orang yang bertawakal." (Ali-Imran, 3:159)
ومن يتوكل على الله فهو حسبه، إن الله بالغ أمره
Maksudnya:"Dan barangsiapa bertawakal kepada Allah, maka cukuplah Allah baginya, sesungguhnya Allah akan menyempurnakan urusannya." (At-Tolaq, 65:2)
Sesungguhnya syaitan sering kali menakut-nakutkan kita agar tidak berhijrah, tidak berubah, dengan pelbagai hujah yang 'bernas.' Tetapi apabila kita sudah berserah kepada Allah, insya-Allah kesusahan akan dipermudahkan Allah. Apa yang ditakuti insya-Allah tidak menjadi realiti. Apa yang menimpa insya-Allah diringankan Allah. Dan jika kita ditimpa kesusahan kerananya, insya-Allah, kita dikurniakan kekuatan oleh Allah untuk bertahan dengan tenang.
6) ISTIQAMAH
Setelah berpindah ke Madinah, Rasul SAW tidak berehat atau mendiamkan diri. Sebaliknya baginda merancang, bekerja keras, dan terus-menerus membina negara Islam. Ertinya, selepas anda berhijrah, ia tidak berakhir di situ.
Anda perlu merancang bagaimana agar natijah hijrah itu berkekalan.
Anda perlu berusaha agar natijah hijrah itu berkekalan.
Anda barangkali perlu bekerja keras agar natijah hijrah itu berkekalan.
Kerana dugaan dan cubaan tidak akan berakhir.
Quraisy yang dahulu gagal menangkap Rasulullah SAW dengan cara polis kini memerangi baginda dengan cara tentera.
Dahulu cabaran hanya dalam bentuk musuh yang terang-terangan kini baginda perlu berhadapan dengan musuh yang terang-terangan dan yang tersembunyi.
Dahulu untuk menguruskan Muslimin, barangkali mudah kerana mereka tidak ramai tetapi berdisiplin, sebaliknya kini Muslimin sudah bertambah ramai dan ramai yang baru mengenal Islam.
Maka hijrah bukan penamat perjuangan. Bahkan ia adalah fasa baru perjuangan, yang masih lagi menuntut pengorbanan dan usaha.
Sebagai contoh, orang yang baru sahaja berubah, meninggalkan maksiat, contohnya penagih dadah yang baru sahaja pulih, dia perlu istiqamah menghadapi dugaan supaya tidak kembali kepada maksiat itu semula.
Orang yang baru sahaja ingin bertukar imej dari pakaian yang tidak syar'ie kepada pakaian yang menutup aurat secara sempurna, sudah tentu perlu istiqamah kerana ujian pasti akan terus-menerus datang. Kalaulah dia mengangkat bendera putih, pastinya dia kembali kepada keadaan sebelumnya.
Itulah kehidupan. Satu perjuangan. Dalam perjuangan tiada kestatikan. Perlu ada perubahan dari semasa ke semasa. Maka berazamlah. Hayatilah hijrah Rasul SAW dan para sahabat baginda dengan sebenar-benar penghayatan. Barulah anda boleh menggelar 1 Muharram ini Ma'al Hijrah. Jika tidak maka ma'al Hijrah akan hanya tinggal nama. Tiada beza dengan cuti-cuti lain, yang berlalu dengan penuh kesia-siaan.
Wallahu a'lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan