Khamis, 9 Disember 2010

Gurindam Hijrah

Gurindam Dua Belas Raja Ali Haji


Barangsiapa tiada memegang agama,
Sekali-kali tiada boleh dibilangkan nama,
Barangsiapa mengenal Allah,
Suruh dan tegahnya tiada ia menyalah,
Barang siapa mengenal dunia,
Tahulah ia barang yang terpedaya,
Barang siapa mengenal akhirat,
Tahulah ia dunia mudarat.

Barangsiapa mengenal yang tersebut,
Tahulah ia makna takut,
Barangsiapa meninggalkan sembahyang,
Seperti rumah tiada bertiang,
Barangsiapa meninggalkan puasa,
Tidaklah mendapat tempat selesa,
Barang siapa meninggalkan zakat,
Tiadalah hartanya beroleh berkat,
Barang siapa meninggalkan haji,
Tiadalah ia menyempurnakan janji.



Apabila terpelihara mata,
Sedikitlah cita-cita,
Apabila terpelihara kuping,
Khabar yang jahat tiadalah ia damping,
Apabila terpelihara lidah,
Niscaya dapat daripadanya faedah,
Bersungguh-sungguh engkau memeliharakan tangan,
Daripada segala berat dan ringan.

Apabila perut terlalu penuh,
Keluarlah fi'il yang tiada senonoh,
Anggota tengah hendaklah ingat,
Di situlah banyak orang yang hilang semangat,
Hendaklah peliharakan kaki,
Daripada berjalan yang membawa rugi.

Jika hendak mengenal orang berbangsa,
Lihat kepada budi dan bahasa,
Jika hendak mengenal orang yang berbahagia,
Sangat memeliharakan yang sia-sia,
Jika hendak mengenal orang mulia,
Lihatlah kepada kelakuan dia,
Jika hendak mengenal orang yang berilmu,
Bertanya dan belajar tiadalah jemu,

 

Jika hendak mengenal orang yang berakal,
Di dalam dunia mengambil bekal,
Jika hendak mengenal orang yang baik perangai,
Lihat pada ketika bercampur dengan ramai.

Cari olehmu akan sahabat,
Yang boleh dijadikan obat,
Cari olehmu akan guru,
Yang boleh tahukan tiap seteru,
Cari olehmu akan kawan,
Pilih segala orang yang setiawan.


Apabila banyak berkata-kata,
Di situlah jalan masuk dusta,
Apabila banyak berlebih-lebihan suka,
Itulah tanda hampirkan duka,
Apabila kita kurang siasat,
Itulah tanda pekerjaan hendak sesat.














#Perhatian:Gurindam ini sebahagiannya diedit oleh penulis.
 Salam Ma'al Hijrah

1 ulasan:

  1. Kata-kata yang indah tapi penuh ibrah dan tarbiah.. Salam ma'al hijrah.. Selamat berpindah.. ke arah keredhaan Allah jallalah..

    BalasPadam