Rabu, 29 Disember 2010

Selamat Tinggal 2010

Hidup manusia adalah suatu perjalanan.Kita meniti suatu permusafiran yang panjang dan melalui stesen-stesen yang pelbagai dalam kehidupan.Tahun berganti tahun, bulan bersilih bulan dan hari bertemu hari.....manusia sudah makin jauh meninggalkan usia mudanya.

Si anak kecil yang dahulunya diazankan ketika lahir, kini menjadi sang tua yang disolatkan untuk jenazahnya.Buya Hamka berkata, "Disaat anda hadir ke dunia (dilahirkan), manusia disekeliling bergembira disaat anda menangis, tiba suatu masa manusia menangis ketika anda meninggalkan mereka sedang anda bergembira di dunia sana."

Manusia makin jauh meninggalkan usianya, tetapi kita lebih mengetahui dekat dan jauhnya kita di sisi Allah SWT.Tiliklah pada diri, mana letaknya Allah di hati?Demikianlah kedudukan anda di sisi Allah.Ketahuilah firman Allah SWT yang bermaksud:

Dan Kami (Allah) lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya(Surah Qaf :16)

Hidup manusia itu 2 kali dan matinya juga 2 kali.

Mereka menjawab: “Wahai Tuhan kami! Engkau telah mematikan kami dua kali, dan telah menghidupkan (pula) kami dua kali,(Surah Ghafir :11)

Jangan sangka manusia yang hidup di sisi anda itu sama hidupnya mereka di sisi Allah.Berapa ramai manusia yang hidup itu, di sisi Allah mereka itu mati.Sedang manusia yang mati itu dinilai disisi Allah sebagai hidup.

Dan tidaklah sama mereka yang hidup dengan mereka yang mati. Sesungguhnya Allah, dapat menjadikan sesiapa yang dikehendakinya mendengar (ajaran-ajaran Kitab Allah), dan (engkau wahai Muhammad) tidak dapat menjadikan orang-orang yang di dalam kubur mendengar .(Surah Fatir:22)

Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki;(Surah Ali Imran:169)

Sepanjang perjalanan hidup, manusia menghadapi kesukaran dan kesusahan yang menyempitkan dada dan menyesakkan nafas.Demikianlah pendidikan Allah kepada manusia agar mereka merasai kepahitan dunia lantas mengejar kemanisan akhirat.Pejuang-pejuang Islam, mereka mencintai mati lebih daripada hidup.Kematian di bawah silauan pedang ternyata lebih disukai berbanding mati di atas tilam empuk.
Sayyid Qutb (semoga Allah merahmati beliau) mati ditali gantung kerana mempertahankan agama.Umat Islam mendapat manfaat besar daripada karya-karyanya.Beliau mati di mata zahir tetapi hidup di hati-hati manusia.Jasadnya dikandung tanah sedang namanya disebut-sebut manusia seolah-olah beliau berada di sekeliling kita.Tidak sedikit daripada pencinta agama yang menyebut kitab Sayyid Qutb, Tafsir Fi Zilalil Quran 'hidup' dengan darah 'syahid' pengarangnya.Mungkin inilah ertinya 'panjang umur'...

Dalam masa yang sama, berapa ramai manusia yang hidup tetapi hidupnya tidak ubah seperti bangkai.Hidupnya sia-sia, manusia tidak mendapat manfaat akan kehadirannya dan tidak terkesan pula akan kehilangannya.Nasihat yang diberi langsung tidak mengetuk hatinya untuk berubah.Hatinya kosong seperti rumah usang,kotor dan menjijikkan.Bukankah itu yang dinamakan bangkai bernyawa?

Kita berlepas diri daripada menerima 'kematian' sebelum datang kematian.

Tahun 2010 akan meninggalkan kita...saya menyeru pada diri saya dan anda semua marilah kita memperbaharui iman kita dengan membanyakkan menyebut kalimah    
 لا إله إلا الله
sepertimana yang dianjurkan oleh Nabi SWT kepada kita.Memperbaharui iman bukanlah bersempena tahun 2011 yang akan tiba dalam beberapa hari lagi, bahkan ia dituntut sepanjang masa.

Semoga kita dirahmati Allah SWT dalam kehidupan, dikurniakan taufiq dan hidayah, dimatikan dan dikumpulkan bersama golongan para solihin.Selamat tinggal 2010, ahlan wasahlan 2011.

Wallahua'lam


Khamis, 16 Disember 2010

"Encik, bila Encik nak naikkan gaji saya?"


Assalamualaikum WBT..

sedikit perkongsian hikmah dari seorang yang sudah terlebih dahulu makan garam daripada kebanyakan kita.. dari blog orangmudamalaysia.blogspot.com.. Biarpun seorang senior, beliau menamakan blog beliau "Orang Muda Malaysia," kerana tujuan beliau berblog kebanyakannya adalah untuk menyampaikan hikmah, pesanan dan nasihat buat orang-orang muda...

Jom kita baca artikel beliau (yang dicopy dengan keizinan):

"Encik, gaji saya bila nak naik?" Tiba-tiba sahaja Z bertanya kepada saya di suatu pagi di premis niaga. Saya terkejut dan separuh hairan kerana menerima soalan itu dari Z.

Bukanlah memeranjatkan untuk seorang kakitangan sesebuah perniagaan bertanyakan bila kenaikan gajinya yg seterusnya. Bukan pula saya tak mahu menaikkan gaji kakitangan. Soalan itu mengejutkan saya kerana Z belumpun sampai sebulan bertugas sebagai juruteknik komputer bersama saya. Memang dia nampak rajin dan selesaikan banyak tugasannya dengan kadar yang agak pantas dalam sebulan itu. Kalau sudah berbulan-bulan begitu, hampir pasti akan saya pertimbangkan segera kenaikan gajinya. Namun soalan kenaikan gaji dari orang muda yang belumpun sebulan bertugas itu saya rasakan agak keterlaluan. Barangkali beliau 'pulun' sungguh sebulan itu sekadar nak tunjuk rajin supaya gajinya cepat dinaikkan.

Sekadar untuk mengorek lebih dalam, saya balas soalan itu dengan satu deret soalan pula. Serangan balas lah kiranya. "Nak naik gaji? Kan belum sebulan pun kerja di sini, takkan dah nak minta naik gaji? Mengapa cepat sangat nak naik gaji? Saya sebagai pengurus rasakan awak belum layak untuk dinaikkan gaji!". "Tapi bukan ke encik yang kata saya akan dinaikkan gaji berdasarkan prestasi? Saya dah buat banyak kerja dengan baik setakat ini, patutlah kalau saya mintak naik gaji!" Z menjawab pantas dengan suara yg sedikit tinggi. "Saya perlukan banyak duit... Nak bayar sewa rumah, nak bayar bil handphone, nak belanja-belanja makwe, ......, ..... " Z bercerita panjang tentang tujuannya minta dinaikkan gaji.

"Kalau awak teruskan prestasi seperti selama ini, saya tentu akan naikkan gaji awak tak lama lagi. Yang pastinya bukan sekarang. Kalau rasa duit tak cukup, tak payah pakai handphone. Kalau rasa duit tak ada, tak usah sibuk nak belanja makwe. Belanja ikut gaji awak lah, bukan minta saya naik gaji sebab awak nak belanja. Lagipun, baru tak sampai sebulan kerja memang tak layak naik gaji. Kita ada peraturan di sini, bukan boleh buat sembarangan", hujah saya panjang lebar. Kami terus bersoal-jawab selama beberapa lama selepas itu. Dipendekkan cerita, Z berhenti kerja lebih kurang seminggu selepas menerima gajinya yang pertama. Saya rasa sungguh lega.

Saya juga pernah berhadapan kerenah 'berani' dan kurang beradab seorang kakitangan wanita. Y seorang lepasan SPM, juga seorang muda, dalam lingkungan 21 tahun kalau tak silap. Apa yang berlaku, saya dapat kesan beliau menggunakan telefon perniagaan untuk menghubungi teman lelakinya semasa saya bertugas di luar. Saya dapat hidu sesuatu yang tidak kena bila pada satu bulan tu bil telefon perniagaan melonjak kepada hampir RM800, sedangkan tak pernah nilai bil melebihi RM350 sebelum itu. Bila disemak 'nombor-nombor ganjil dan mencurigakan' daripada senarai dalam bil telefon, saya hubungi satu persatu pemilik nombor. Sah, pekerja itu yang menyebabkan bil naik. Saya arahkan dia bayar semuala RM600 nilai bil yang dapat dikesan berkait dengannya. Selebihnya yang tidak dikesan berbulan-bulan sebelum itu, Allah sahaja yang tahu! Berkerut dahi saya memikirkan jawapan Y tentang salah lakunya itu, "Apa salahnya saya gunakan telefon tu... kan tiap-tiap bulan memang nak bayar juga bilnya kalau saya pakai ataupun tidak?" Jawapan yang pelik dan tidak cukup cerdik. Tak pasti apa orang muda ini fikirkan.

Pernah pula seorang pelajar praktikal (latihan industri) sains komputer sebuah IPTA datang menjalani latihan di perniagaan saya. Biasalah tu, memang saya menerima ramai pelajar untuk latihan industri dari pelbagai IPT. Yang buat saya terkedu ialah sikapnya yang terlebih berani. Beberapa bulan selepas J (yang dalam pengajian peringkat diploma Sains Komputer) menjalani latihan, sebuah jabatan kerajaan meminta dibangunkan sebuah perisian komputer untuk kegunaan mereka. Sebaik sahaja saya mula berbincang dengan J untuk merancang pembangunan perisian itu, J dengan selamba menyuarakan, "Untuk program(perisian) ini, berapa encik nak jual kepada jabatan tu? Saya nak bahagian saya minima separuh daripada harga jualan encik!"



Mulanya saya sangka dia bergurau, tapi nyata bila ditanya beberapa kali, beliau memang serius. Huh, dalam hati saya berkata-kata. "Alahai, baru nak praktikal dah pandai nak mintak bayaran. Kerja pun belum tahu cantik mana, dah cuba tunjuk power!" Hasil program yang diciptanya tak berfungsi betul pun setelah lima bulan dikerjakan, namun tetap sibuk tanya "Bila encik nak bagi bayaran saya?" Disebabkan kes dia, saya tak pernah lagi dah ambil pelajar praktikal dari IPT itu, Serik sangat rasanya, cukuplah seorang itu.

Banyak lagi kesnya, terutamanya yang melibatkan pelajar praktikal. Ada yang selalu tidur di tempat tugasannya, tapi tak pula tahu malu bertanya-tanya di hujung bulan, "Encik, tak ada elaun ke untuk saya?" Ada yang tidak mahu membantu melayan pelanggan kerana katanya dia ditugaskan di bahagian lain. Ramai juga yang tidak mahu patuh arahan, tapi sibuk minta saya surat recommendation 'cemerlang' bila tamat latihan industri. Contohnya, pernah sekali itu seorang staf lelaki pergi menghantar barang tempahan sebuah jabatan dalam keadaan memakai cermin mata hitam dan topi beret di kepala.

Ada juga staf yang mencuri pelanggan perniagaan saya, dalam keadaan menggunakan kedai dan kemudahan saya. Kita yang bayar segala kemudahan, dia pula yang yang dapat keuntungan sedang gajinya juga ddibayar majikan. Macam-macam gelagat yang memalukan dan menjengkelkan. Padanlah ramai penganggur di kalangan orang Melayu, hatta graduan IPT sekalipun, andai inilah sikap yang diamalkan. Siapa yang mahu ambil orang-orang begini sebagai pekerja? Kalaupun diambil, majikan mana pula yang mahu simpan lama-lama pekerja yang macam ini?

Itulah antara pengalaman peribadi saya berhadapan dengan kerenah-kerenah negatif orang muda di perniagaan saya, Saya bentangkan pengalaman-pengalaman saya ini supaya orang-orang muda ambil pengajaran daripadanya. Buktikan kehebatan dan ketekunan kita dalam apa pun tugasan dan aktiviti hidup. Tunjukkan prestasi cemerlang di tempat kerja atau di manasahaja. Tunjukkan adab dan sopan dalam organisasi, dan pastikan tugasan yang diberikan kepada kita dibereskan dengan sempurna. Jangan jadi orang bermasalah dan jangan pula membawa masalah kepada orang lain. Ia boleh memalukan maruah keluarga, bangsa dan agama.



Bagi orang muda yang berkerjaya, tak perlulah kita asyik tanya majikan "Encik, bila saya nak naik gaji?" Jangan ingat soalan yang sebegitu menyebabkan orang akan mencapaikan hajat kita untuk naik gaji. Andai kita berjaya buktikan keupayaan dan kesungguhan kita dlam kerja, majikan yang waras dan prihatin tentu akan nyatakan sendiri, "A bin B, saya rasa awak dah layak untuk dinaikkan gaji!"

Apa yang penting, sentiasalah tingkatkan kualiti diri dan berikan sumbangan. Anda akan dapat ganjarannya, bila tiba masanya. Kalaupun kita kita tidak dapat kenaikan gaji atau kenaikan pangkat yang kita layak terima, yakinlah bahawa nilai diri kita tetap meningkat. Andai kita tinggalkan majikan yang menyekat peningkatan kita yang sepatutnya itu, ramai lagi majikan lain yang tahu menghargai keupayaan dan kesungguhan kita.

Muhammad Wilayah Ilmiah: Secara keseluruhannya artikel ini menceritakan tentang sikap. Bagaimanakah kita? Adakah kita sudah bersikap matang dalam muamalat harian? Adakah kita cukup berakhlak untuk mengakui kesalahan apabila kita yang salah misalnya? Dan sebagainya.. Sesungguhnya memperbaiki sikap adalah antara sebab Rasul SAW diutuskan.. Tetapi tidak kurang, terutamanya pada ramai generasi muda, didapati krisis sikap yang merisaukan.. Wallahu a'lam..

Selasa, 14 Disember 2010

Hari Asyura

Menyelak lembaran sejarah gelap umat Islam cukup menyebabkan hati kita menggigil ketakutan bercampur celaru.Tidak kurang juga daripada manusia yang menitiskan air mata dalam menyelami peristiwa-peristiwa berdarah yang tercatat pada tinta sejarah umat Islam.

Bulan Muharram adalah bulan menyatakan kebenaran dan bulan mengisytiharkan perang pada kelompok tirani.

Sunnah perjuangan dan kejayaan pada hari Asyura itu berjalan sepanjang zaman.Demikianlah yang dapat kita ketahui melalui petunjuk Hadis Nabi SAW.Diriwayatkan oleh Ibnu Abbas RA katanya:

Sewaktu Rasulullah SAW tiba di Madinah, baginda mendapati golongan Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Ketika ditanya tentang puasa itu, mereka menjawab: Hari ini adalah hari kemenangan yang telah diberikan oleh Allah kepada Nabi Musa AS dan kaum Bani Israel dari Firaun. Kami merasa perlu untuk berpuasa pada hari ini sebagai suatu pengagungan kami padaNya. Lalu Rasulullah SAW bersabda:

Kami lebih berhak ke atas Nabi Musa daripada kamu (dalam hal ini.)

Kemudian baginda memerintahkan para sahabat supaya berpuasa pada hari tersebut. (Hadis Bukhari, Muslim, Abu Daud, Ibnu Majah dan Tirmizi) Kesemuanya di dalam Kitab Puasa.

Sunnah perjuangan menentang kemungkaran itu berjalan sepanjang zaman hinggalah tumpahnya darah cucunda Nabi SAW yang mulia Sayyidina Hussein.

Sebagaimana Allah SWT memberikan kejayaan kepada Nabi Musa AS pada hari itu, demikianlah 10 Muharram  Allah SWT memberikan kejayaan kepada Sayyidina Hussein.

Bukankah Sayyidina Hussein itu terkorban dalam peperangan tersebut?Ya!!!Sayyidina Hussein terbunuh bahkan kepalanya dipenggal oleh tangan yang hina dan jijik.Jangan ditutup jenayah perang ini.Malulah anda untuk meminta syafaat daripada Nabi SAW sekiranya tidak mencintai cucundanya.

Bahkan jangan lupa firman Allah SWT yang bermaksud:

"Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) mereka yang terbunuh dalam perjuangan membela agama Allah itu: orang mati; bahkan mereka itu hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya"(Surah Al Baqarah:154)

Demi Allah, darah yang tumpah itu tidak sia-sia.Bahkan darah itulah yang menjadi sumbu kepada umat ini untuk menghidupkan revolusi menegakkan Islam diatas keruntuhan jahiliyyah.Bukanlah sikap umat Muhammad berdiam diri terhadap kemungkaran dan mengalah  walau dengan jumlah yang sedikit.

Bukanlah di ruang sempit ini tempatnya untuk kita menghimpun 1001 falsafah perjuangan di Karbala.Daya tarik dan pesona kisahnya harus dikaji oleh umat Islam terutama generasi muda.Plot penceritaan, kepahlawanan pemimpin dan pengikutnya, kesucian matlamat dan segalanya tampak berbeza berbanding kisah epik peperangan yang lain.

Umat Islam adalah umat yang mencintai Nabi SAW dan Ahlul Bait.Firman Allah SWT dalam Al Quran yang bermaksud:

"Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah tentang ajaran Islam yang aku sampaikan itu, (yang aku minta) hanyalah kasih mesra (kamu) terhadap keluargaku"(Surah As Syura:23)

Bahkan menjadi rukun dalam solat 5 waktu kita untuk berselawat kepada Nabi SAW  dan Ahlul Bait.Imam-imam mazhab yang terkenal itu semuanya dikenali sebagai keluaran madrasah Ahlul Bait.

Imam Ahmad bin Hanbal ketika ditanya tentang hukum melaknat pembunuh Saiyidina Hussein, beliau menjawab:

"Bagaimana aku tidak melaknat orang yang dilaknat oleh Allah?"Kemudian beliau membaca firman Tuhan yang bermaksud:

"Maka apakah kiranya jika kamu berkuasa, kamu akan membuat kerosakan di muka bumi dan memutuskan hubungan kekeluargaan, mereka itulah orang-orang yang dilaknati Allah dan dituliskan-Nya telinga mereka dan dibutakan-Nya mata mereka."(Surah Muhammad:22-23) 

Imam Abu Hanifah dan Imam Malik bin Anas, guru kepada Imam Syafie, merupakan anak murid kepada Imam Jaafar As Sadiq.Beliau merupakan cucu-cicit keturunan Rasulullah SAW, dan bersambung jurai kekeluargaan dengan Saiyidina Abu Bakar RA di sebelah ibunya.

Sebahagian daripada kelompok yang mengangkat slogan 'Memurnikan Aqidah dan Kembali kepada Sunnah' mungkin terlepas pandang dalam  soal kecintaan kepada Ahlul Bait ini.Kita lebih mengenali 'orang lain' daripada keluarga Rasulullah SAW yang mulia.

Dunia Sunni, khususnya di Malaysia jarang mendengar riwayat kisah Saiyidatina Fatimah Az Zahra, puteri kesayangan Rasulullah SAW.Apatah lagi kisah tentang cucu baginda Saiyidina Hasan dan Saiyidina Hussein.Sedangkan anda mendakwa anda mencintai Nabi Muhammad SAW...

Cinta apa sekiranya tidak ditegakkan rukunnya?Rukun cinta itu adalah cemburu!!!Anda langsung tidak cemburu dengan kelompok Syiah yang lebih kehadapan dalam soal ini...

Wallahua'lam

Jumaat, 10 Disember 2010

Hijrah Satu Sunnatullah




Fitrah manusia, setiap orang mahu berubah. Yang gemuk, mahu menjadi kurus. Yang kurus, ingin lebih berisi. Yang miskin, ingin menjadi kaya. Yang kaya ingin bertambah kaya. Yang kurang cerdik ingin menjadi cerdik. Yang cerdik ingin bertambah cerdik. Yang gelap mungkin ingin menjadi cerah, dan ada juga yang cerah ingin menjadi lebih gelap (sedikit). Yang tidak berjawatan mahu berjawatan, dan yang berjawatan, mahu berjawatan lebih tinggi.

Bukan sahaja manusia. Zaman juga berubah. Andai kita tidak mampu berubah selaras dengan perubahan zaman, maka kita akan tewas. Lihat apa yang terjadi kepada makhluk Tuhan yang bergelar dinasour. Andai kita sudah sampai ke zaman dewasa, tetapi tidak mahu berubah dari zaman keanak-anakan, maka pasti kita tidak akan cemerlang.

Itu sunnatullah. Secara umumnya, satu-satunya benda yang tidak berubah ialah setiap perkara berubah.

Imam Syafi'e menyebut yang air apabila tidak bergerak, akan rosak. Singa yang tidak mahu bergerak, akan mati kelaparan. Panah yang tidak mahu bergerak, tiada manfaatnya. Bererti adalah sunnatullah bahawa sesuatu yang statik, tidak bergerak atau tidak berubah akan gagal memberi manfaat, bahkan boleh membawa kepada kerosakan dan mudarat.

إن الله لا يغير ما بقوم حتى يغير ما بأنفسهم

Maksudnya: Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehinggalah mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka. (Ar-Ra'd, 13:11)

Berbalik kepada tajuk ma'al hijrah.

مع الهجرة

Apa itu ma'al hijrah?

Bersama Hijrah!

Ertinya kita menyambut tahun baru Islam dengan mengenang peristiwa Hijrah Rasulullah SAW seolah-olah kita bersama Rasulullah SAW dalam peristiwa tersebut.

Kita mungkin sudah maklum kisah peristiwa hijrah.


"Rasulullah meninggalkan kota Mekah setelah mendapat perintah dari Allah, untuk berhijrah ke Madinah. Bersama baginda SAW adalah Abu Bakar RA. Keluarnya baginda dari Mekah, baginda terselamat daripada cubaan membunuh baginda SAW oleh para pembesar Quraisy. Maka mereka menawarkan 100 ekor unta sebagai ganjaran untuk mereka yang berjaya menangkap baginda SAW, hidup atau mati.

Rasulullah SAW dan Abu Bakar RA berlindung ke Gua Thur. Walaupun Madinah berada di arah utara, baginda memilih untuk berlindung di Gua Thur yang berada di selatan Mekah kerana para SB dan mata-mata Quraisy pastinya mencari-cari Rasul SAW di jalan ke Madinah, iaitu di utara. Dengan Abdullah Bin Abu Bakar sebagai pengintip baginda, apabila kemeriahan "Ops Cari Muhammad" sudah reda, maka barulah mereka mengorak langkah meneruskan perjalanan ke Madinah.

Dalam perjalanan, mereka dijumpai oleh Saraqah Bin Malik, tetapi setiap kali lelaki itu cuba menghampiri mereka, kuda yang dinaikinya terperosok ke dalam tanah, membuatkannya yakin akan perlindungan Allah ke atas rasul-Nya dan beriman kepada Rasul SAW.

Baginda SAW tiba di Madinah selepas berhari-hari di padang pasir, dan disambut meriah oleh para penduduk Madinah. Baginda melakukan tiga perkara sebagai asas kepada Kerajaan Islam pertama di dunia, di Madinah, iaitu pertama, mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar, kedua, membina masjid, dan ketiga, membina Perlembagaan Madinah."

Jadi di atas adalah ringkasan kisah hijrah Rasul SAW. Biarpun di zaman ini kebanyakan kita tidak mempunyai keperluan untuk meninggalkan tanah airnya, berhijrah seperti Rasul SAW, tetapi semangat hijrah itu secara umumnya masih kekal wujud dalam bentuk perubahan ataupun perpindahan daripada keadaan yang buruk ataupun kurang baik kepada yang lebih baik. Contohnya dalam hal pengislahan diri.

Kerana Rasul SAW bersabda bahawa tiada hijrah lagi selepas Fathul Makkah. Tetapi ini adalah hijrah lahiriah, sedang hijrah maknawi terus-menerus berlaku dalam diri, dalam mengubah diri kepada kebaikan.

Masih ingat kisah lelaki yang sudah membunuh 100 orang? Apabila dia ingin bertaubat, orang soleh yang ditanyanya menasihatkannya agar BERPINDAH, kerana asal kampungnya adalah kampung yang penuh kemaksiatan kepada kampung yang didiami orang-orang soleh. Dan hasil usaha hijrahnya itulah, Allah memasukkannya ke dalam syurga, biarpun dia mati di tengah-tengah perjalanan.

Mari kita kaji tentang hijrah. Apa elemen-elemen penting yang ada dalam hijrah? Bukan sahaja hijrah lahiriah (perpindahan), tetapi yang lebih relevan dengan kebanyakan kita sekarang adalah hijrah maknawi.


1) NIAT

إنما الأعمال بالنيات, وإنما لكل امرئ ما نوى. فمن كانت هجرته إلى الله ورسوله, فهجرته إلى الله ورسوله. فمن كانت هجرته لدنيا يصيبها
أو امرأة ينكحها, فهجرته إلى ما هاجر إليه

Maksudnya: "Sesungguhnya setiap amalan itu adalah (dikira) dengan niat, dan sesungguhnya bagi setiap orang (balasan berdasarkan) apa yang diniatkan. Maka barangsiapa yang hijrahnya untuk Allah dan Rasulnya, maka hijrahnya kepada (redha) Allah dan Rasul-Nya. Maka barangsiapa yang hijrahnya untuk dunia yang bakal diperolehinya, atau wanita yang bakal dikahwininya, maka hijrahnya kepada apa yang dia (niatkan) berhijrah kepadanya. (Hadith Muttafaq Alaih)

Ertinya apa wahai saudara-saudara sekalian? Sebarang perubahan, tidak lain dan tidak bukan WAJIB diniatkan kerana Allah, dan bukan kerana kepentingan atau motif-motif lain. Bahkan CINTA (wanita) yang hari ini dijaja besar-besaran kononnya sebagai sesuatu yang suci tidak dikira ikhlas. Disebut jelas di dalam hadith.

"Aku lakukan ini demi cintaku kepada ________(insert girl's name here)."

Jangan tertipu. Tiada nilai pun di sisi Allah jika tidak diniatkan kerana-Nya. Di hari akhirat, kekasih tidak akan mengaku kekasih melainkan yang bersama di bawah naungan Arasy Allah SWT.

Bahkan disebut jelas dalam hadith. Mengapa tidak disebut kerana wang, kuasa atau lain-lain, tetapi disebut wanita? Sebab manusia mudah tertipu kononnya apabila kerana cinta kepada wanita pujaannya dia menyangka itu matlamat yang suci. Sedangkan tidak di sisi Allah SWT.

Begitu juga dengan motif-motif duniawi yang lain. Bahkan kalimah إخلاص (ikhlas) itu sendiri bermaksud suci daripada bercampur-aduk dengan yang lain. Mudah disebut, tetapi sukar untuk direalisasikan, tetapi mesti diusahakan.

"Aku lakukan kerana Allah... (dan kerana ingin dipuji).." Rosak! Tak cukup ikhlas.
"Aku lakukan kerana Allah.. (dan manalah tahu, kalau-kalau orang yang aku tolong ini belanja makan).." Juga tidak mencapai tahap ikhlas.
"Aku lakukan kerana Allah.. juga sebagai contoh buat manusia lain.. tetapi kerana Allah, bukan untuk menunjuk-nunjuk." Ini dibenarkan. Motif dua dalam satu, tetapi kedua-duanya kerana Allah. Bahkan barangkali dia mendapat dua pahala.

2) KESANGGUPAN

Ini juga tidak kurang pentingnya. Ada sahaja golongan yang tidak sanggup berhijrah.

إن الذين تتوفاهم الملائكة ظالمي أنفسهم قالو فيم كنتم, قالو كنا مستضعفين في الأرض, قالو ألم تكن أرض الله واسعة فتهاجروا فيها, فأولئك مأواهم جهنم, وساءت مصيرا

"Sesungguhnya orang-orang yang dicabut nyawanya oleh malaikat dalam keadaan menzalimi diri sendiri (ertinya Muslimin yang tidak mahu berhijrah ke Madinah), mereka (para malaikat) bertanya, 'Bagaimana kamu ini?' Mereka menjawab, 'Kami orang-orang yang tertindas di Bumi (Mekah).' Mereka (para malaikat) bertanya, 'Bukankah Bumi Allah itu luas, sehingga kamu dapat berhijrah di Bumi itu?' Maka orang-orang itu tempatnya di neraka Jahannam, dan itu seburuk-buruk tempat kembali." (Quran, An-Nisa', 4:97)

Dan ayat seterusnya memberitahu dimaafkan golongan yang memang tidak berkemampuan untuk berhijrah, tetapi yang menjadi tumpuan utamanya adalah bagaimana dengan golongan yang mampu tetapi tidak mahu? Tidak sanggup?

Sebagai contoh, tidak sanggup berubah dari pemakaian yang tidak syar'ie kepada yang syar'ie? Tidak sanggup berubah dari sistem riba kepada sistem yang halal? Tidak sanggup berubah dari kerja yang haram atau syubhah kepada kerja yang halal? Tidak sanggup berubah dari selalu berkata yang dusta atau keji kepada tidak berkata-kata kecuali kebaikan?

Bumi Allah itu luas. Peluang untuk berubah sentiasa ada selagi kita diberi kemampuan.

Janganlah menunggu sehingga tiba saat kita mati dalam keadaan menzalimi diri sendiri. Jangan-jangan ayat di atas itu rupa-rupanya dialog anda dengan malaikat! Na'udzubillah.

3) PENGORBANAN

Ya, seperti yang disebut dalam post yang lalu, mengenai pengorbanan demi Allah SWT. Tidak jarang perintah Allah memerlukan kepada pengorbanan yang besar. Begitu juga perubahan diri dari yang kurang baik kepada yang lebih baik. Pasti ada yang perlu dikorbankan.

Barangkali kawan-kawan yang akan menjauh apabila kita berubah ke arah kebaikan. Barangkali ego kita yang terkorban. Barangkali harta kita. Barangkali jawatan. Barangkali hobi kegemaran kita. Barangkali hiburan yang kita sayangi.

Tetapi yakinlah yang Allah pasti menggantikan dengan yang lebih baik, seperti kisah Nabi Ibrahim AS (rujuk artikel lepas). "Allah tidak akan sekali-kali mensia-siakan kita."


Suhaib ar-Rumi, yang ditahan Quraisy ketika berhijrah sehingga beliau dilepaskan setelah memberitahu mereka di mana simpanan hartanya yang bertimbun, kerana beliau seorang korporat yang kaya. Kalau di zaman kita, itu umpama bagi kad ATM bersama nombor PIN agaknya. Tetapi baginya, tiada masalah, asalkan dia dapat bersama perjuangan Islam. Sehingga turun ayat Quran kerana apa yang berlaku kepada beliau ini.

ومن الناس من يشري نفسه ابتغاء مرضات الله، والله رءوف بالعباد

Maksudnya: "Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya untuk mencari keredhaan Allah. Dan Allah Maha penyantun dengan hamba-hamba-Nya." (Al-Baqarah, 2:207)

Suhaib ar-Rumi menceritakan, apabila dalam perjalanan, beliau terserempak dengan Rasul SAW, baginda bersabda, "Untunglah perniagaanmu wahai Suhaib!" Lalu Suhaib kagum, kerana peristiwa itu belum diceritakannya lagi kepada sesiapa. Mulianya pengorbanan itu sehingga Tuhan yang menguasai galaksi-galaksi mengkhabarkannya kepada Rasulullah SAW serta-merta selepas itu.

Ramai lagi sahabat lain sanggup meninggalkan segala-galanya demi hijrah. Adakah ada alasan atau keuzuran untuk mereka tidak sanggup berhijrah atas alasan terlalu berat? Terlalu susah? Terlalu merugikan? Darurat? Mereka bakal kehilangan segala-galanya? Rujuk ayat Quran dalam bab kesanggupan di atas. Mereka tidak dimaafkan, sebaliknya mereka dimasukkan ke dalam neraka, kerana atas keengganan tersebut, mereka terpaksa melibatkan diri memerangi Muslimin, dipaksa oleh Quraisy, dan mereka terbunuh. Kecuali jika benar-benar mereka tidak ada jalan untuk berhijrah, yakni langsung tiada kemampuan.

Andai kita hidup di zaman Rasul SAW, sanggupkah kita melakukannya? Kita di zaman ini diuji dengan ujian yang jauh lebih ringan, iaitu kesenangan. Tak mati pun, insya-Allah jika dipindah wang kita dari sistem riba kepada sistem yang syar'ie misalnya, tetapi adakah kita tidak sanggup semata-mata kerana caj yang lebih tinggi? Tak mati pun, misalnya, jika kita ditinggalkan kawan-kawan kerana ingin berubah ke arah kebaikan. Tak mati pun, misalnya, jika diumpat orang ramai kerana tiba-tiba berubah cara pemakaian ke arah yang lebih baik. Itu semua kecil apabila sudah kukuh keimanan kita kepada Allah SWT. Dan Allah SWT tidak pernah mensia-siakan hamba-Nya.

4) STRATEGI

Islam tidak tertegak semata-mata kerana keajaiban dan semangat. Tidak.

Sebaliknya Rasulullah SAW menyusun pergerakannya dengan penuh strategik dan sistematik. Kenapa ke selatan, ke Gua Thur, tidak terus ke utara? Mengapa diutus Abdullah Bin Abu Bakar untuk mengintip? Mengapa diletaknya Saidina Ali sebagai pengganti tempat tidur?

Kerana Rasul SAW bekerja mengikut sunnatullah. Sebagai contoh bagi umatnya bahawa setiap perkara perlu kepada strategi, atau kita akan tewas.

Azam untuk berubah, setiap tahun baru. Mengapa selalu gagal? Kelemahan tekad itu satu perkara, tetapi adakah setiap azam itu sudah kita rangka dengan sistematik, dengan strategi supaya azam itu praktikal, realistik dan mampu dicapai dalam tempoh yang ditetapkan?

Misalnya, katakanlah saya berazam untuk hafaz 3 juzu' Quran setahun. Bagaimana ingin mempraktikalkannya? 3 juzu' 60 muka surat, jadi secara puratanya 6 hari satu muka surat perlu dihafal. Tetapi bagaimana jika sibuk? Mungkin bukannya setiap hari kita dapat mencapai matlamat? Jadi kita cuba sasarkan 5 hari, satu muka. iaitu 1 muka 15 baris, jadi 1 hari 3 baris. 1 hari lagi sebagai berjaga-jaga, andai 1 hari kita terlupa, dapat diganti. Kemudian bila waktu untuk melakukan hafazan? Setiap hari, diperuntukkan masa selepas subuh sehingga terbit matahari, misalnya. Kemudian lebih baik apabila dapat dicatat dan direkod kemajuan hafazan setiap hari. Barulah namanya perancangan yang sistematik.

Ya. Anda perlu bertindak. Mungkin azam-azam akan membuatkan hidup anda lebih sibuk, tetapi jika tidak mahu begitu, tidak perlulah anda memasang azam jika anda sendiri tahu (secara sedar atau separa sedar) yang anda tidak mahu melaksanakannya.

Mungkin tidak semua strategi kita berjaya (seperti biarpun Rasul SAW bersembunyi di Gua Thur, baginda hampir-hampir ditemui Quraisy), tetapi di situlah pentingnya inovasi. Jika resipi yang anda guna tidak menghasilkan kuih yang sedap, adakah dengan menggunakan resipi yang sama, anda mengharapkan kuih yang sedap? Ubah strategi.

5) TAWAKAL

Berserah kepada Allah. Ada sahaja perkara yang di luar kawalan kita, yang tidak mampu dijangka, seperti dalam kisah hijrah tadi. Siapa sangka apabila melalui jalan selatan, dapat dihidu oleh Saraqah Bin Malik? Tetapi diselamatkan juga oleh Allah SWT. Siapa sangka persembunyian di Gua Thur,walau telah dipadam tapak kaki oleh kawanan kambing Amir Bin Fuhairah, tetap dikesan 'tracker' Quraisy? Tetapi diselamatkan juga Allah SWT.

Ertinya, bertawakallah kepada Allah setelah selesai kita berusaha dan merancang sebaiknya.

فإذا عزمت فتوكل على الله، إن الله يحب المتوكلين

Maksudnya: "Dan apabila engkau sudah berazam, maka bertawakkallah kepada Allah. Sungguh, Allah mencintai orang yang bertawakal." (Ali-Imran, 3:159)

ومن يتوكل على الله فهو حسبه، إن الله بالغ أمره

Maksudnya:"Dan barangsiapa bertawakal kepada Allah, maka cukuplah Allah baginya, sesungguhnya Allah akan menyempurnakan urusannya." (At-Tolaq, 65:2)

Sesungguhnya syaitan sering kali menakut-nakutkan kita agar tidak berhijrah, tidak berubah, dengan pelbagai hujah yang 'bernas.' Tetapi apabila kita sudah berserah kepada Allah, insya-Allah kesusahan akan dipermudahkan Allah. Apa yang ditakuti insya-Allah tidak menjadi realiti. Apa yang menimpa insya-Allah diringankan Allah. Dan jika kita ditimpa kesusahan kerananya, insya-Allah, kita dikurniakan kekuatan oleh Allah untuk bertahan dengan tenang.


6) ISTIQAMAH

Setelah berpindah ke Madinah, Rasul SAW tidak berehat atau mendiamkan diri. Sebaliknya baginda merancang, bekerja keras, dan terus-menerus membina negara Islam. Ertinya, selepas anda berhijrah, ia tidak berakhir di situ.

Anda perlu merancang bagaimana agar natijah hijrah itu berkekalan.

Anda perlu berusaha agar natijah hijrah itu berkekalan.

Anda barangkali perlu bekerja keras agar natijah hijrah itu berkekalan.

Kerana dugaan dan cubaan tidak akan berakhir.

Quraisy yang dahulu gagal menangkap Rasulullah SAW dengan cara polis kini memerangi baginda dengan cara tentera.

Dahulu cabaran hanya dalam bentuk musuh yang terang-terangan kini baginda perlu berhadapan dengan musuh yang terang-terangan dan yang tersembunyi.

Dahulu untuk menguruskan Muslimin, barangkali mudah kerana mereka tidak ramai tetapi berdisiplin, sebaliknya kini Muslimin sudah bertambah ramai dan ramai yang baru mengenal Islam.

Maka hijrah bukan penamat perjuangan. Bahkan ia adalah fasa baru perjuangan, yang masih lagi menuntut pengorbanan dan usaha.

Sebagai contoh, orang yang baru sahaja berubah, meninggalkan maksiat, contohnya penagih dadah yang baru sahaja pulih, dia perlu istiqamah menghadapi dugaan supaya tidak kembali kepada maksiat itu semula.

Orang yang baru sahaja ingin bertukar imej dari pakaian yang tidak syar'ie kepada pakaian yang menutup aurat secara sempurna, sudah tentu perlu istiqamah kerana ujian pasti akan terus-menerus datang. Kalaulah dia mengangkat bendera putih, pastinya dia kembali kepada keadaan sebelumnya.

Itulah kehidupan. Satu perjuangan. Dalam perjuangan tiada kestatikan. Perlu ada perubahan dari semasa ke semasa. Maka berazamlah. Hayatilah hijrah Rasul SAW dan para sahabat baginda dengan sebenar-benar penghayatan. Barulah anda boleh menggelar 1 Muharram ini Ma'al Hijrah. Jika tidak maka ma'al Hijrah akan hanya tinggal nama. Tiada beza dengan cuti-cuti lain, yang berlalu dengan penuh kesia-siaan.

Wallahu a'lam.

Khamis, 9 Disember 2010

Gurindam Hijrah

Gurindam Dua Belas Raja Ali Haji


Barangsiapa tiada memegang agama,
Sekali-kali tiada boleh dibilangkan nama,
Barangsiapa mengenal Allah,
Suruh dan tegahnya tiada ia menyalah,
Barang siapa mengenal dunia,
Tahulah ia barang yang terpedaya,
Barang siapa mengenal akhirat,
Tahulah ia dunia mudarat.

Barangsiapa mengenal yang tersebut,
Tahulah ia makna takut,
Barangsiapa meninggalkan sembahyang,
Seperti rumah tiada bertiang,
Barangsiapa meninggalkan puasa,
Tidaklah mendapat tempat selesa,
Barang siapa meninggalkan zakat,
Tiadalah hartanya beroleh berkat,
Barang siapa meninggalkan haji,
Tiadalah ia menyempurnakan janji.



Apabila terpelihara mata,
Sedikitlah cita-cita,
Apabila terpelihara kuping,
Khabar yang jahat tiadalah ia damping,
Apabila terpelihara lidah,
Niscaya dapat daripadanya faedah,
Bersungguh-sungguh engkau memeliharakan tangan,
Daripada segala berat dan ringan.

Apabila perut terlalu penuh,
Keluarlah fi'il yang tiada senonoh,
Anggota tengah hendaklah ingat,
Di situlah banyak orang yang hilang semangat,
Hendaklah peliharakan kaki,
Daripada berjalan yang membawa rugi.

Jika hendak mengenal orang berbangsa,
Lihat kepada budi dan bahasa,
Jika hendak mengenal orang yang berbahagia,
Sangat memeliharakan yang sia-sia,
Jika hendak mengenal orang mulia,
Lihatlah kepada kelakuan dia,
Jika hendak mengenal orang yang berilmu,
Bertanya dan belajar tiadalah jemu,

 

Jika hendak mengenal orang yang berakal,
Di dalam dunia mengambil bekal,
Jika hendak mengenal orang yang baik perangai,
Lihat pada ketika bercampur dengan ramai.

Cari olehmu akan sahabat,
Yang boleh dijadikan obat,
Cari olehmu akan guru,
Yang boleh tahukan tiap seteru,
Cari olehmu akan kawan,
Pilih segala orang yang setiawan.


Apabila banyak berkata-kata,
Di situlah jalan masuk dusta,
Apabila banyak berlebih-lebihan suka,
Itulah tanda hampirkan duka,
Apabila kita kurang siasat,
Itulah tanda pekerjaan hendak sesat.














#Perhatian:Gurindam ini sebahagiannya diedit oleh penulis.
 Salam Ma'al Hijrah

Khamis, 2 Disember 2010

Ma'al Hijrah 1432 dan Palestin



Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum WBT.

Kami mengucapkan selamat tahun baru hijrah kepada seluruh umat Islam di Malaysia khususnya. Sebagaimana sudah menjadi tradisi setiap menjelang tahun baru maka setiap orang akan menanam azam untuk melakukan perubahan ke arah kebaikan. Bersempena dengan tahun baru hijrah 1432, kita mengajak seluruh umat Islam untuk memberi perhatian kepada umat Islam di tanah suci Al-Quds yang kini sedang menghadapi penindasan dan penjajahan. Di saat kita meletakkan sasaran untuk meningkatkan pencapaian dalam pelbagai bidang yang diceburi dan memperbaiki taraf hidup, saudara-saudara kita berhadapan dengan persoalan bagaimana untuk meneruskan kehidupan itu sendiri dalam keadaan dinafikan hak mereka yang paling asas sebagai manusia. Mereka disekat dari mendapat bekalan makanan, air bersih untuk minuman, ubat-ubatan dan bahan bakar. Mereka juga tiada jaminan keselamatan tempat tinggal kerana bila-bila masa sahaja tanah mereka akan dirampas, mereka dihalau keluar dan rumah mereka dirobohkan. Bahkan nyawa mereka sentiasa berada dalam keadaan bahaya akibat terdedah kepada serangan Israel yang boleh dilancarkan tanpa amaran dan secara tiba-tiba.

Inilah senario yang sedang dihadapi oleh rakyat Palestin di saat kita menyambut Maal Hijrah. Bagi mereka tahun baru hijrah hanya menjanjikan satu kepastian iaitu perjuangan untuk pembebasan Baitul Maqdis dan Masjid al-Aqsa pasti diteruskan. Itulah azam yang tertanam kukuh di dalam setiap umat Palestin. Cita-cita untuk melihat tanah suci al-Quds kembali ke pangkuan umat Islam tidak pernah luput dari ingatan mereka. Bahkan inilah azam yang tidak pernah luntur dalam diri para pejuang sejak 65 tahun yang lalu. Semangat jihad yang terus membara disanubari mereka menjadi obor yang menerangi seluruh dunia Islam dan menyuntik kekuatan meski berhadapan dengan pelbagai pengkhianatan dan pembelotan dari kalangan pemimpin-pemimpin Negara Islam yang berkepentingan yang bersekongkol dengan pihak musuh.

Jika diamati, setiap orang akan merasa insaf bagaimana mungkin sebuah umat yang diperangi oleh kuasa tentera yang ke empat terbesar di dunia dan mendapat sokongan padu dari kuasa besar dunia Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah dapat bertahan puluhan tahun lamanya. Bahkan Bangsa-bangsa bersatu yang sering memihak kepada kepentingan zionis kerana didalangi oleh Amerika dan sekutu-sekutunya sering gagal membela kepentingan dan hak rakyat Palestin. Apakah rahsia kekuatan mereka sehingga mereka tidak berganjak langsung dari prinsip perjuangan meskipun diasak dengan begitu hebat oleh Zionis, Negara kuasa besar bahkan sesetengah Negara Arab yang menjadi boneka kepada kepentingan Amerika.

Semua ini menuntut umat Islam di Malaysia untuk mengambil inspirasi dari satu perjuangan yang amat menakjubkan. Apakah yang mendorong satu umat yang tidak punya kekuatan tentera dan senjata untuk berhadapan dengan Israel yang mendapat bantuan hampir tiga billion USD setahun dalam bentuk pelbagai senjata terkini. Bahkan mereka bukan sahaja berhadapan dengan jet pejuang, kereta kebal, peluru berpandu, bom pintar, pesawat ‘predator’ kawalan jauh, tetapi mereka turut dihujani dengan bom fosforus putih yang diharamkan. Kemusnahan kepada nyawa, harta benda dan tempat tinggal tidak dapat dibayangkan. Tetapi semua ini hanya meningkatkan semangat juang dan menyemarakkan lagi jihad di bumi Palestin. Pastinya umat yang berjuang di atas dasar jihad yang benar tidak akan dapat ditundukkan oleh mana-mana kekuatan di bumi ini. Meskipun seluruh dunia menalakan senjatanya kepada umat yang sedemikian, mereka tidak akan mampu menumpaskan satu umat yang kekuatannya datang langsung dari Allah SWT.

Hari ini di saat rakyat Gaza sedang bergelut dengan persoalan hidup dan mati, para pejuang menyibukkan diri mereka dengan mempersiapakan generasi akan datang. Lima puluh peratus anak-anak Gaza berhadapan dengan masalah kurang zat makanan. Sebahagian besar dari mereka tidak dapat meneruskan persekolahan. Bukan sahaja bangunan sekolah sudah ranap menyembah bumi, bahkan kertas dan alat tulis juga tidak dapat dibekalkan akibat sekatan Israel dan penutupan sempadan Gaza dengan dunia luar. Namun dalam serba kekurangan dan kedaifan ini, mereka tidak pernah putus pergantungan dengan Allah SWT. Mereka tetap meletakkan harapan penuh yakin bahawa masa depan Palestin sudah dijamin di dalam Islam. Oleh itu salah satu agenda yang penting yang diberikan perhatian penuh para pejuang ialah membina generasi pelapis. Mereka ditarbiyah dengan al-Quran. Mereka ditarbiyah untuk menjadi para hufaz dan membawa al-Quran di dalam dada-dada mereka. Pada musim panas yang lalu mereka Berjaya menghasilkan 30,000 para hufaz cilik dari kalangan anak-anak lelaki dan perempuan. Sebahagian dari mereka bergelar hufaz hanya dalam tempoh tiga bulan atau lebih pendek dari itu. Program melahirkan generasi Rabbani ini akan menjamin kelangsungan jihad untuk mempertahankan tanah suci dan Masjid al-Aqsa. Dengan nukleus para rijal yang mempunyai kualiti tarbiyah imaniah ini, benteng-benteng pertahanan umat di bumi al-Quds akan terus dijamin terpelihara dari pencerobohan dan pengkhianatan golongan yang cuba mengkhianati perjuangan ini.


Kita mengajak umat Islam untuk mengimbau perjuangan umat Islam di Palestin sempena Maal Hijrah. Apakah kaitan peristiwa Hijrah Nabi SAW dengan perjuangan yang ditempa oleh umat Islam zaman ini terutama di Tanah Suci Al-Quds. Apakah hubungkait peristiwa besar di dalam perjuangan Nabi SAW 1,400 tahun yang lalu dengan kesinambungan perjuangan umat Islam pada hari ini. Pastinya peristiwa Hijrah bukan hanya satu peninggalan sejarah tetapi satu panduan yang terus relevan sepanjang zaman. Perjuangan Nabi SAW adalah kemuncak segala perjuangan di antara hak dan batil, di antara kebenaran dan kepalsuan. Allah SWT telah menjadikan resam perjuangan yang batil sentiasa berada di pihak yang kuat dari sudut zahir dan luarannya. Semua itu menjadi ujian kepada orang-orang yang beriman agar mereka tidak silau dan goyah melihat kekayaan dan kekuatan pendukong-pendukong kezaliman.

Nabi SAW berhadapan dengan penindasan dan penyeksaan golongan penguasa Quraish selama 13 tahun menerajui perjuangan menegakkan kalimah Allah dan kebenaran di bumi Mekah. Mereka merupakan golongan minoriti yang sentiasa diasak oleh pemuka-pemuka Quraish yang berkuasa, berpengaruh dan kaya-raya. Golongan inilah yang memegang tampuk kekuasaan dan tidak pernah henti-henti menyakiti Rasulullah SAW dan orang-orang yang beriman. Sebahagian mereka syahid di tangan penguasa-penguasa ini dan apa yang mampu dilakukan oleh Rasulullah SAW hanyalah menyuruh para sahabatnya bersabar. Apabila semua penyeksaan dan penindasan ini tidak berjaya melemahkan keimanan maka mereka telah mengambil satu pendekatan di luar batas-batas persaudaraan bahkan di luar batas kemanusiaan. Umat Islam diboikot dan dikepung selama tiga tahun lamanya. Mereka tidak dibenarkan menghubungi dan menyambung silatur rahim meskipun dengan ahli keluarga yang terdekat. Bekalan makanan disekat sehingga ada umat Islam yang meninggal dunia akibat kebuluran. Bahkan Saidatina Khadijah RA dikatakan meninggal akibat kesan dari kekurangan makanan.

Namun umat Islam tetap bertahan dan tidak sekali-kali menggadaikan keimanan mereka hanya untuk mengalas perut yang pedih menahan lapar. Mereka tetap bertahan meskipun anak-anak merintih pada waktu malam menahan lapar. Tangisan yang memilukan pada waktu malam telah mendorong orang-orang Quraish yang masih punya hati untuk membekalkan makanan secara sembunyi-sembunyi supaya tidak diketahui orang lain. Allah SWT telah menguji Rasulullah SAW sehingga kemuncak dan kemudian memberi kelegaan kepada umat Islam dengan campur tangan Allah SWT sendiri.

Berakhirnya boikot rupa-rupanya menjanjikan dugaan yang lebih berat kepada Rasulullah SAW. Kematian dua orang yang paling disayangi dan yang paling kuat menyokong dan melindungi Rasulullah SaW iaitu isteri dan bapa saudaranya, Abu Talib sudah tentu meninggalkan kesan yang amat besar pada jiwa Rasulullah SAW.

Dalam keadaan menanggung sedih itu Rasulullah SAW tidak berputus asa dan tetap menjalankan amanat dakwah yang dipikulkan ke atas dirinya. Kunjungannya ke Taif bukan disambut dengan baik bahkan dilempari dengan batu sehingga menanggung luka yang berat. Pada saat sedemikianlah Allah SWT memperjalankan Nabi dalam satu peristiwa yang menakjubkan iaitu Isra’ dan Mikraj. Perjalanan ke Masjid al-Aqsa dan kemudian ke Sidratul Muntaha adalah langkah pertama ke arah kemenangan yang bakal datang. Kembalinya Rasulullah SAW disusuli dengan siri-siri pertemuan dengan penduduk Yathrib. Rasulullah Saw dinanti-nantikan oleh penduduk Yathrib dan diangkat sebagai pemimpin di Madinah. Peristiwa hijrah adalah kunci kepada kemenangan ini.

Dalam konteks perjuangan rakyat Palestin pada hari ini, peristiwa hijrah adalah satu jaminan dari Allah SWT bahawa kemenangan pasti akan berpihak kepada pejuang kebenaran. Kekuatan fizikal dan sokongan antarabangsa yang dinikmati oleh Israel tidak akan melindungi regim haram itu dari kemusnahan. Sebagaimana kepungan dan boikot ke atas Rasulullah SAW gagal maka begitu juga sekatan ekonomi dan kepungan ke atas Gaza akan gagal dengan kuasa Allah SWT. Sebagaimana komplot dan persekongkolan golongan yahudi dan munafiq di Madinah begitu juga persekongkolan regim-regim Arab bersama zionis untuk menekan gerakan Hamas dan gerakan Islam di Palestin akan menemui kegagalan. Golongan Ahzab moden yang diterajui oleh Amerika Syarikat akan gagal sebagaimana gagalnya golongan Ahzab dalam peperangan Khandak. Keyakinan yang bulat inilah yang terus memercikkan api kebangkitan rakyat Palestin.

Kini persoalannya ialah apakah peranan umat Islam sejagat? Apakah kita hanya sekadar menonton dan member ulasan-ulasan yang kadangkala terpisah dari realiti sebenar. Ramai umat Islam di luar sana merasa sangsi dengan janji Allah SWT. Mereka bukan sahaja mengambil sikap tidak peduli dengan apa yang menimpa tanah suci al Quds bahkan tergamak mencemuh para pejuang dengan kata-kata nista dan penghinaan. Sebabnya ialah umat Islam tidak kembali kepada persoalan dasar iaitu melihat perjuangan yang berlaku ini dalam konteks Al-Quran dan sunnah. Mereka mengukur kekuatan musuh dengan penilaian kebendaan lalu membuat kesimpulan bahawa perjuangan rakyat Palestin adalah usaha yang sia-sia.

Kami menyeru seluruh umat Islam supaya kembalilah kepada Allah dan Rasulnya dalam menilai perjuangan umat Islam di Palestin. Kemenangan sebenarnya telah ditetapkan oelh Allah SWT bagi hamba-hambanya yang berjihad dengan ikhlas dan penuh keimanan. Sebagaimana yang disebut lewat hadis-hadis sahih Rasulullah SAW bahawa umat ini akan terus berjuang sehingga Allah member kemenangan mutlak kepada mereka. Apabila ditanya oleh sahabat di manakah mereka itu, dijawab oleh Rasulullah SAW, mereka itu berada di Baitul Maqdis. Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW memberi jaminan bahawa pengkhianatan golongan yang berkhianat tidak akan memudaratkan mereka. Mereka akan tetap menjadi golongan yang menang. Golongan ini disebut oleh Rasulullah berjuang di pintu-pintu Dimasq (Damsyik) dan pitu-pintu al-Quds (Baitul Maqdis).

Sempena Maal Hijrah 1432 ini kami menyeru seluruh umat Islam supaya meletakkan satu azam untuk bersama di dalam jihad mempertahankan tanah suci. Umat Islam diseru memperuntukkan sebahagian dari penghasilan mereka untuk perjuangan pembebesan al-Quds. Barangsiapa yang memberi bekal kepada para mujahidin maka dia juga adalah mujahidin. Dengan hadis Nabi SAW ini, kami mengakhiri perutusan Maal Hijrah ini dengan harapan agar seluruh umat Islam bersama berganding bahu berjuang dengan segala daya dan upaya untuk menyokong jihad di bumi Palestin.

#Diadaptasi dari Perutusan Maal Hijrah Palestine Centre of Excellence (PACE) (sebuah NGO bertujuan membangkitkan kesedaran tentang Palestin)