Jumaat, 31 Mei 2013

Pembudayaan Ilmu: Muqadimah

Perkataan budaya berhajat kepada kelompok manusia yang ramai bukan sekadar individu tertentu.Tidak terhad hanya kepada profesyen perguruan mahupun ahli akademik.Bahkan sasarannya adalah setiap individu masyarakat.

Memetik tulisan Robert M.Hutchins, bekas presiden dan canselor University of Chicago mengenai Athens:

"Di Athens, pendidikan bukanlah suatu kegiatan yang terbatas pada masa-masa tertentu, ditempat-tempat tertentu, atau pada peringkat umur tertentu.Pendidikan merupakan matlamat utama masyarakat.Kota raya mendidik manusia.Manusia di Athens dididik oleh budaya, oleh paideia."(1)

Al-Quran dan Budaya Ilmu

Agama Islam telah membuka wawasan baru kepada masyarakat yang buta huruf tentang kepentingan ilmu.Al-Quran mengajak manusia membaca, sedar akan kuasa penulisan, merenung dan mengkaji alam ciptaan Tuhan.Wahyu pertama yang diturunkan oleh Allah SWT, bermaksud:

"Bacalah (wahai Nabi) dengan nama Tuhanmu yang telah menciptakan (sekalian makhluk), menciptakan manusia daripada segumpal darah.Bacalah! dan Tuhanmu Yang Maha Mulia, Yang mengajar manusia melalui pena, Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya." (Surah Al-A'laq: 1-5)

Galakan agama agar manusia berfikir lalu menghubungkan antara ayat Allah al-maqru', yakni Al-Quran dan ayat Allah al-manzhur, yakni alam sekeliling tidak dikenali oleh masyarakat Arab sebelum Islam sehingga Ibnu Abd Al-Barr (wafat 463 H) menyatakan bahawa ilmu itu adalah firman Allah SWT dan sabda Rasulullah SAW.(2)

Allah SWT tidak pernah memerintahkan Nabi SAW untuk memohon ditambahkan sesuatu, melainkan dalam ilmu(3).Betapapun manusia mencedok ilmu, ditebang pokok-pokok didunia buat pena, lautan dijadikan dakwat untuk berkhidmat kepada ilmu masih belum menjejaskan lautan ilmu yang dalam.

"Dan berdoalah dengan berkata: Wahai Tuhanku, tambahilah daku dengan ilmu”. (Surah Taha: 114)

Menuntut ilmu tiada tarikh penamatnya.Setelah tamat berguru dengan seorang ilmuwan, berpindah pula ke ilmuwan yang lain, dari sebuah buku ke buku yang lain sehinggalah seterusnya.Maklumat yang diterima meluaskan pemahaman dan menenangkan jiwa.Dapat dibezakan perkara pokok dan ranting, antara utama dan yang lebih utama, sehingga berjiwa besar pemilik ilmu menghadapi kelompok yang berbeza dengannya.

"Dan setiap orang yang memiliki ilmu, ada lagi di atasnya yang lebih mengetahui." (Surah Yusuf: 76)

Imam Al-Syafie (wafat 204 H) bersyair:

Tiapkali masa itu mendidikku,
Aku melihat kekurangan pada akalku,
Apabila bertambah suatu ilmu,
Bertambah aku tahu akan kejahilan diriku.

Nabi SAW Membanteras Buta Huruf

Nabi Muhammad SAW adalah individu pertama yang berusaha membanteras buta huruf dalam masyarakat Arab, semenjak tahun kedua hijrah, sekalipun dalam serba kekurangan.Peluang memiliki tawanan perang dalam kalangan musyrikin Quraisy pada perang Badar telah dimanfaatkan bagi mengajar anak-anak orang Islam menulis dan mengira.

Nabi SAW telah menafsirkan buta huruf dengan tidak mampu menulis dan mengira.Hal ini berbeza diantara suatu suasana dengan suasana yang lain.Pada masa kini, mempelajari asas-asas komputer telah menjadi keperluan kepada majoriti masyarakat Muslim di dunia.(4)

"Allah meninggikan mereka yang beriman diantara kamu dan golongan yang diberikan ilmu pengetahuan dengan beberapa darjat..." (Surah Al-Mujadilah: 11)

Knowledge Is Power!

Kekuatan sesebuah negara banyak bergantung pada budaya ilmu dalam kalangan masyarakatnya.Sumber kekayaan bumi yang melimpah ruah tidak menjamin kekuatan sesebuah negara tanpa kekuatan ilmu dan kepakaran.Malahan, mereka akan ditimpa kemunduran kerana terpaksa bergantung kepada negara luar.

Dalam sejarah, tentera Mongol memiliki kekuatan militari yang sangat kuat dengan semangat penaklukan yang tinggi.Dibawah kepimpinan Genghis Khan, beliau berhasil menyatukan suku-suku Mongolia lalu menyerang kerajaan-kerajaan China, Rusia, Parsi dan beberapa wilayah Islam sehingga jatuhnya Kota Baghdad ditangan mereka pada abad ke-13 Masihi.(5)

Pun begitu, Mongol tidak memiliki kebudayaan ilmu yang utuh.Setelah melakukan pelbagai kerosakan, beberapa aspek peradaban di wilayah-wilayah Muslim tetap diisi dan dikembangkan oleh masyarakat Muslim.Bahkan satu-persatu pemimpin Mongol akhirnya memeluk Islam.

Maka kita tidak hairan, kemajuan Eropah dan Amerika dalam segenap bidang pada masa kini akhirnya membawa mereka kepada Islam.Setelah banyak tipu daya dilakukan kepada Islam dan umatnya, ia tetap menjadi agama yang paling pantas berkembang di barat.

"Dialah (Allah SWT) yang telah mengutuskan Rasul Nya dengan hidayah petunjuk dan agama yang benar, supaya dimenangkannya atas segala agama yang lain, walaupun para musyrikin tidak membencinya." (Surah Al-Saff: 9)

Bersambung

Nota

Penulisan ini tidak membezakan antara 'ilmu' dan 'maklumat' disamping tidak mentakrifkan ilmu.Ibnu Al-A'rabi Al-Maliki berkata, "Ilmu itu lebih jelas daripada sebuah penjelasan."Demikian pendirian yang diambil oleh Imam Al-Ghazali (wafat 505 H).

Rujukan

1.Wan Mohd Nor Wan Daud, Budaya Ilmu Satu Penjelasan.
2.Ibnu Abd Al-Barr, Jami' Bayan Al-I'lmi wa Fadhlihi
3.Ibnu Hajar Al-A'sqalani, Fath Al-Bari Syarh Sahih Al-Bukhari
4.Yusuf Al-Qaradhawi, Al-Sunnah Masdaran li al-Ma'rifah wa al-Hadharah
5.http://www.hidayatullah.com/read/10521/27/01/2010/mongol,-penakluk-yang-tertaklukkan.html

Ahad, 12 Mei 2013

Jauh Perjalanan Luas Pengalaman

Syair Imam Al-Syafie' RH (wafat 204H):
 
ما في المقامِ لذي عقلٍ وذي أدبِ مِنْ رَاحَة فَدعِ الأَوْطَانَ واغْتَرِبِ
سافر تجد عوضاً عمَّن تفارقهُ وَانْصِبْ فَإنَّ لَذِيذَ الْعَيْشِ فِي النَّصَبِ
إني رأيتُ وقوفَ الماء يفسدهُ إِنْ سَاحَ طَابَ وَإنْ لَمْ يَجْرِ لَمْ يَطِبِ
والأسدُ لولا فراقُ الأرض ما افترست والسَّهمُ لولا فراقُ القوسِ لم يصب
والشمس لو وقفت في الفلكِ دائمة لَمَلَّهَا النَّاسُ مِنْ عُجْمٍ وَمِنَ عَرَبِ
والتَّبْرَ كالتُّرْبَ مُلْقَى في أَمَاكِنِهِ والعودُ في أرضه نوعً من الحطب
فإن تغرَّب هذا عزَّ مطلبهُ وإنْ تَغَرَّبَ ذَاكَ عَزَّ كالذَّهَبِ

Tidak layak bagi mereka yang punya akal dan peradaban untuk berehat-menetap di suatu tempat, maka tinggalkanlah tanah airmu dan mengembaralah,

Bermusafirlah, kamu akan berjumpa pengganti kepada manusia yang telah kamu tinggalkan dan berusahalah kerana kelazatan hidup itu pada berpenat-lelah,

Sesungguhnya aku telah melihat air yang berhenti itu merosakkan kejernihannya, sekiranya ia mengalir maka jernihlah, sekiranya tidak mengalir maka tercemar ia,

Dan singa jika tidak berpisah daripada sarangnya tidak akan mendapati mangsa, dan anak panah jika tidak berpisah daripada busur tidak akan sampai sasaran,

Dan matahari jika sentiasa kaku pada ufuknya pasti dipandang sepi oleh Arab dan A'jam, bongkah emas tidak ubah seperti ketulan tanah, dan kayu gaharu jika terbiar di hutan samalah nilainya seperti kayu biasa,

Jika kayu gaharu itu dikeluarkan, maka hebatlah permintaannya, demikianlah juga bongkah emas jika sudah berpisah daripada tanah, jadilah ia emas yang tinggi nilainya!

Bermusafirlah!

-Terjemahan Budak Baru Belajar-