Isnin, 26 Disember 2011

Islam-Kristian:Suatu Diskusi

Jumaat yang lepas, usrah kami berbincang tentang hukum mengucap selamat kepada penganut agama Kristian sempena Hari Natal.Masing-masing memberikan pandangan, sesuai dengan kefahaman dan pengalaman mereka.

Sebagai fasilitator, saya tidaklah menghidangkan solusi yang tuntas mengenainya, melainkan sekadar mencuit semangat rakan-rakan untuk berusaha mencari jawapannya sendiri.Demikianlah yang diimpikan oleh rakyat Malaysia, melihat anak bangsanya yang punya idealisme, mampu berdikari dalam segenap urusan dan bergerak seiring bersama ilmu dan semangat.

Kemurnian Tauhid & Bertegas Dengannya

Umat Islam diajar supaya bersikap tegas dalam urusan aqidah.Tidak harus dikorbankan kemurnian Tauhid, iaitu mengesakan Allah SWT dan mensucikanNya dari segala sesuatu, atas nama apa sekalipun.Tauhid adalah tauhid, syirik adalah syirik dan kedua-duanya tidak akan bercampur sama sekali.

Demikianlah yang tergambar melalui sikap Al-Quran dalam Surah Al-Kafirun, sehingga diakhiri dengan ayat yang bermaksud:

"Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku!"(Surah Al-Kafirun:6)

Mencampur adukkan hak dan batil bererti memenangkan yang batil.Mencampur adukkan antara tauhid dan syirik bererti memenangkan yang syirik...umat Islam berlepas diri dari sikap ini.

Kristian di Mata Muslim

Sebetulnya kekufuran itu berada dalam satu kumpulan sekalipun nama mereka berbeza.Walaupun begitu, Al-Quran menjelaskan sikap penganut agama Kristian yang berbeza berbanding penganut agama-agama lain terhadap orang Islam, berdasarkan firmanNya yang bermaksud:

"Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada  yang beriman ialah golongan Yahudi dan golongan musyrik. Dan demi sesungguhnya engkau akan dapati golongan yang dekat sekali kasih mesranya kepada mereka yang beriman ialah yang berkata: “Bahawa kami ini ialah orang Nasrani” yang demikian itu, disebabkan ada di antara mereka pendita-pendita dan ahli-ahli ibadat dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong."(Surah Al-Maidah:82)

Dalam sirah Nabi SAW, para sahabat berdukacita dengan kekalahan Rom ke atas Parsi.Kata Ibnu Abbas RA:

"Para musyrikin bergembira dengan kemenangan Parsi ke atas Rom kerana mereka adalah penyembah berhala.Manakala orang Islam berharap agar Rom dapat mengalahkan Parsi kerana mereka (Rom) adalah golongan Ahli Kitab"(Tafsir Ibnu Kathir, Surah Ar-Rum)

Sehinggalah turun Surah Ar-Rum memberi khabar gembira dengan kemenangan Rom beberapa tahun setelah dikalahkan, Allah SWT berfirman yang bermaksud:

"...Dan pada (hari kemenangan Rom) itu, bergembiralah golongan Mukminin"(Surah Ar-Rum:4)

Dakwah Islam kepada Ahli Kitab

Mencari titik persamaan tidaklah bererti menyatukan agama.Tidak mungkin mereka yang beriltizam dengan suatu agama dapat membenarkan agama yang lain.Diskusi antara agama tidak lebih bertujuan menjaga kerukunan beragama dan kehidupan masyarakat yang harmoni.Lebih penting, dijelaskan prinsip-prinsip Islam dalam soal aqidah, Allah SWT berfirman yang bermaksud:

"Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu Kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah dan kita tidak menyekutukanNya dengan sesuatu dan jangan pula sebahagian daripada kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan tuhan-tuhan selain dari Allah”. Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) barpaling, maka katakanlah kepada mereka: “Saksikanlah, sesungguhnya kami adalah orang Islam!”(Surah Ali-Imran:64)

Bahkan, umat Islam dihalalkan memakan sembelihan Ahli Kitab, firmanNya yang bermaksud:

"Dan makanan (sembelihan) mereka yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi kamu dan makanan (sembelihan) kamu adalah halal bagi mereka..."(Surah Al-Maidah:5) 

Telah sepakat ahli ilmu bahawa diharuskan seorang lelaki Muslim bernikah dengan wanita Ahli Kitab, samaada Kristian atau Yahudi, berdasarkan firmanNya yang bermaksud:

"Dan (dihalalkan kamu berkahwin) dengan wanita-wanita yang menjaga kehormatan, dalam kalangan wanita yang beriman dan juga wanita-wanita yang menjaga kehormatannya, dalam kalangan wanita yang diberikan Kitab terdahulu daripada kamu..."(Surah Al-Maidah:5)

Kelahiran Nabi Isa AS

Tarikh 25 Disember yang disangka sebagai tarikh tarikh kelahiran Nabi Isa AS, tidaklah disepakati oleh sejarahwan.Selain itu, tarikh permulaan Masihi yang digunakan umum kononnya sempena tahun kelahiran Isa Al-Masih juga masih diragui.Pelbagai hujah yang dinyatakan oleh pakar, antaranya merujuk kepada Perjanjian Baru dan zaman pemerintahan Herodes.

Walaubagaimanapun, umat Islam masih bertoleransi dengan golongan yang tidak bersepakat dalam tarikh kelahiran Nabi Isa AS.Namun begitu, telah wujud dalam kalangan cendekiawan Kristian yang menafikan kewujudan Nabi Isa AS.Mereka menyamakannya dengan tokoh-tokoh khayalan yang wujud dalam mitos sejarah.

Umat Islam berlepas diri dari sikap sebegini.Tidak dinamakan Muslim sehinggalah diakui kewujudan dan kenabian Isa AS.Bahkan, Al-Quran merakamkan pujian Nabi Isa AS mengenai hari kelahirannya, yang bermaksud:

"Dan segala kesejahteraan dilimpahkan keatasku pada hari aku dilahirkan dan pada hari aku dimatikan serta hari aku dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat)"(Surah Maryam:33)
Wallahua'lam

Sabtu, 10 Disember 2011

Memahami Jiwa Halus Manusia

Bersama dengan rakan-rakan Mahasiswa Amman mempelajari khat Arab.Alhamdulillah, ketika menuntut di Maktab Mahmud Alor Star, saya sempat belajar beberapa jenis khat seperti nasakh, raqa'ah dan thuluth selama tiga tahun.Secara peribadi, sangat meminati kehalusan seni ini sekalipun tidak berbakat di dalamnya.

"Bakat boleh diasah kalau berminat dan ada kesungguhan,"kata seorang rakan.

Alam & Seni Yang Mencuit Manusia

Setiap manusia dikurniakan jiwa halus oleh Allah SWT dalam dirinya.Dengan jiwa halus ini, mereka bermonolog dan bertindak balas terhadap suasana.Adakalanya hati yang gundah terhibur dengan bunyian burung,  tiupan lembut angin di pantai diiringi desiran daun-daun kelapa.Luangkanlah masa melihat bulan purnama di waktu malam...anda akan memahaminya.

Semua itu anugerah Tuhan sebagai Pencipta, mencipta alam tanpa campur tangan makhluk, memberi inspirasi dalam hidup manusia untuk menghargai keindahannya.Orang mukmin ketika melihat keindahan lantas berkata:

“Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menciptakan (alam) ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada azab neraka."(Surah Ali Imran:91)

Jiwa halus ini sebahagiannya diterjemahkan dalam bentuk lukisan, nyanyian, gesekan alat muzik, penulisan syair dan lain-lain.Bagi ahli sejarah, medium inilah digunakan untuk mentafsir keadaan sesuatu zaman dan persekitarannya.

Seni itu adik-beradik falsafah.Saya tidak pernah menyebelahi sebahagian ahli falsafah yang memang menjadi punca utama timbulnya budaya rancu dalam kalangan umat Islam.Walaubagaimanapun, masih ramai dalam kalangan mereka yang melantunkan hikmah hasil pancaran nurani yang bersih.

Tidak dinafikan, sebahagian seni yang diluahkan oleh seseorang adakalanya sukar untuk ditafsirkan.Justeru, ramai juga dalam kalangan cendekiawan yang melulu dalam menghukum tanpa diselidik dengan teliti.Lebih malang, golongan ini tidak didekati lantas dilabel...'ahli falsafah si pemilik bid'ah!'

Dakwah Walisongo di Nusantara

Walisongo bukanlah nama yang asing dalam kalangan masyarakat Nusantara.Dakwah mereka yang tidak memusuhi budaya dan tradisi berjaya merubah masyarakat Jawa yang tegar beragama Hindu kepada agama Islam.Walisongo meraikan minat masyarakat Jawa terhadap seni, dengan bergamelan dan wayang-wayang kulit berunsur Islami.

Setelah timbul minat rakyat, Walisongo mengambil kesempatan mengajar syahadat, wudhu', solat dan beberapa hukum agama.Disamping tidak dinafikan ada beberapa perkara yang mungkin kita tidak sependapat, namun kebijaksanaan Walisongo berdakwah secara hikmah ini layak dipuji oleh generasi kini.

Dan mereka yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, ampunkanlah (dosa kami) dan (dosa) saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman...(Surah Al-Hasyr:10)



Cinta: Jiwa Halus Manusia

Kita sangat mengenali Ibnu Hazm Al-Andalusi sebagai ilmuwan Islam yang ulung.Seorang ahli Feqh yang masyhur dizamannya dengan mendokong jalur zahiri (literal) dalam memahami teks Syariah.Menariknya, ketegasan beliau dalam beberapa hukum di dalam agama tidak menafikan jiwa halusnya berbicara tentang seni cinta!Jika berkesempatan, bacalah 'Thuq Al-Hamamah' karya Ibnu Hazm...

Bilakah Muhammad mengharamkan cinta,
Adakah pernah dihina umatnya yang bercinta,
Janganlah engkau berlagak mulia,
Menyebut cinta sebagai dosa!

(Ibnu Hazm, Thuq Al-Hamamah)

Erich Fromm dalam bukunya, The Art of Loving, menganggap manusia moden merupakan golongan yang paling menderita.Mereka diajar untuk dicintai bukan untuk mencintai.Kesannya, anak muda menghabiskan masa dan wang berkubang dalam lembah maksiat.Dalam rumahtangga, para isteri bersusah payah menguruskan tubuh badan sehingga memperjudi nyawa.Ahli politik tidak segan-silu berdusta dan memanipulasi wang demi cintakan kerusi.

Semua usaha mereka itu masih tidak dapat menghalang diri daripada kekecewaan dan putus asa.

"Sudah tiba masanya kita belajar untuk mencintai,"sambung Erich Fromm.

Belajar Mencintai Allah & Rasul

Al-Quran menyifatkan orang beriman dalam ayat 165 Surah Al-Baqarah, bermaksud:

"...adalah mereka yang beriman itu bersangatan cinta (mereka) kepada Allah..."

Mereka yang mencintai Allah SWT sudah tentu mencintai Rasulullah SAW & mengikuti petunjuknya:

"Katakanlah (wahai Muhammad), jika benar kamu mencintai Allah maka ikutlah aku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani."(Surah Ali Imran:31)

Suatu hari, seorang lelaki telah datang berjumpa Nabi SAW lalu bertanya, "Bilakah saat (kiamat) itu?"

Maka Nabi SAW pun berkata, "Apakah yang telah kamu sediakan untuk menghadapinya?"

Lelaki tersebut berkata, "Aku tidaklah menyediakan bekalan amalan yang banyak melainkan aku sangat mencintai Allah dan RasulNya.

Lantas Nabi SAW bersabda, "Seseorang itu bersama orang yang dicintai pada hari kiamat"(Riwayat Bukhari & Muslim)

Saiyidina Anas b Malik RA yang meriwayatkan hadis ini berkata, "Tiadalah suatu perkara yang lebih menggembirakan hati kami melainkan setelah mendengar hadis ini.Aku mencintai Rasulullah SAW, Abu Bakar dan Umar, maka aku sangat berharap agar Allah menghimpunkan aku bersama mereka walaupun amalanku tidaklah setanding amalan mereka.

Penutup

Saya tidak bercadang menulis kesemua persoalan tentang jiwa halus manusia.Cukuplah dengan diutarakan 2 cabang utamanya iaitu seni & cinta.Para pendakwah harus bijak dalam menangani kedua-duanya sesuai dengan semangat agama.Kita menginginkan wajah Islam yang tampil ramah berhadapan dengan masyarakat, bukan Islam yang 'dibentuk' ekslusif,  bukan juga Islam yang cuai akibat 'liberalisasi', tetapi Islam yang dikehendaki oleh Allah & Rasul.Yang pasti, ia memandu jiwa halus manusia...

Wallahua'lam